Benelli TRK 502

Impian untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi sudah menjadi agenda utama bagi peminatnya. Paling tidak pun, mereka bermula dengan motosikal 250cc. Ada yang minat dengan “sportsbike”, “adventure bike” dan sebagainya. Ikut selera masing masing.
 
Kali ini kita akan sentuh sebuah “adventure bike” yang pada pendapat admin mampu dimiliki oleh ramai peminat iaitu Benelli TRK 502. Ye, Benelli TRK 502. Sebelum ni admin hanya mendengar perkhabaran sahaja mengenai model ini. Akhirnya ENJIN DOTcom dipelawa oleh pihak MForce untuk menunggang uji model ini. Apa lagi, macam mendapat durian yang luruh, hanya tunggu untuk dikopek dan dijamah. Lama juga memendam perasaan.
 
Berbalik kepada cerita kita. Kebiasaannya motosikal “adventure” adalah tinggi bagi membolehkan ia dibawa ke mana sahaja kita kehendaki. Tidak bagi TRK 502 ini kerana ketinggian pelananya hanya 800 mm, amat bersesuaian bagi mereka yang tak berapa tinggi macam admin ni. Jangan kecam ye. Tetapi ini tidak bermakna orang yang tinggi akan berasa janggal ketika menunggang Benelli TRK 502 ini, tidak. Ketinggiannya sesedap rasa. Pelananya juga agak lembut dan selesa, tak mudah rasa kebas dan lenguh untuk perjalanan jarak jauh. Kedudukan “handle bar” yang rapat dengan penunggangnya membantu mewujudkan kedudukan yang selesa buat penunggang.
 
Jom gerak. Sebelum menghidupkan enjin lagi, admin sudah membayangkan bunyi ekzos yang dihasilkan. Ini adalah salah satu ciri yang admin suka tentang Benelli. Walaupun enjinnya 2 silinder selari, bunyi ekzosnya seakan enjin 4 silinder. Sama seperti Benelli Leoncino yang admin tunggang uji sebelum ini. Benelli sangat bijak memadankan sistem ekzos jentera mereka. Ketika berada di jalan raya di tengah bandar, pada permulaannya agak kekok dan sentiasa berhati-hati untuk mencelah. Maklumlah, Benelli TRK 502 ini hadir dengan pakej kotak penyimpanan kiri dan kanan, takut bergesel pula dengan kenderaan lain. Tidak ada masalah jika kita tahu menyesuaikan diri. Benelli TRK 502 ini bagi admin mudah dikendalikan pada kelajuan perlahan. Penukaran gearnya juga lancar. Terlepas sikit di jalan yang agak lengang, admin cuba menguji respon enjinnya. Tidak mengecewakan. Kita harus ingat, motosikal sebegini tidak memerlukan kuasa seperti sebuah “superbike”. Bila mengembara atau berjalan-jalan, kelajuan bukan perkara utama. Nanti terlepas kawasan dan pemandangan menarik pula.
 
Admin bersama rakan membuat perancangan untuk menilai secara keseluruhan prestasi Benelli TRK 502 ini. Ketika melalui jalan persekutuan, macam biasa ada jalan yang baik, ada juga beralun. Sistem suspensi Marzocchi Fork di bahagian hadapan dan juga monoshock Sachs boleh laras di bahagian belakang mengawal Benelli TRK ini dengan baik sekali. Mengambil selekoh juga terasa sangat yakin. Seronok pula layan selekoh. Paparan meter kemas dan amat mudah untuk dilihat. Sistem brek Benelli dengan cakera berkembar 320 mm dengan sistem ABS dari Bosch di bahagian hadapan dan juga cakera tunggal di bahagian belakang mampu memperlahan dan memberhentikan Benelli TRK 502 ini dengan baik.
 
Menunggang di lebuh raya pula boleh admin rasakan sangat selesa. Rintangan angin agak kurang kerana dihalang oleh penghadang angin hadapan yang agak tinggi dan berfungsi dengan baik. Tiada masalah untuk menunggang Benelli TRK 502 ini pada kelajuan 150km/jam. Nama pun mengembara dan berjalan-jalan, tak perlu nak laju-laju sangat. Jangan diikutkan sangat kebiasaan orang yang selalu tanya berapa top speed boleh pergi. Aduhai bang, macam admin cakap tadi. Kalau nak laju, guna superbike.
 
Kini, untuk memiliki sebuah motosikal “adventure” bukan lagi sukar seperti sebelum ini. Harga yang ditawarkan bermula daripada RM28,588,tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Aksesori standard dengan harga ini ialah 3 kotak penyimpanan barang, cukup bagi membawa barang-barang keperluan untuk pengembaraan anda dan jaminan dari Benelli adalah selama 2 tahun atau 20,000 km, mana yang terdahulu. Mengenai alat ganti yang biasanya menjadi persoalan peminat motosikal di Malaysia, Benelli Malaysia memberitahu ia tiada masalah dan dengan adanya Benelli Best Shop, mereka yakin akan dapat memberikan perkhidmatan lepas jualan yang terbaik kepada pemilik jentera Benelli.
 
Apa lagi, ayat racun daripada admin ni. Pergi tengok, sambar sebiji dan boleh terus mengembara. Tak payah nak intai-intai katalog untuk aksesori tambahan dah. Kalau ada pun, mungkin minima je.
 
Sila “like” & “share” Facebook ENJIN DOTcom & “follow” kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai “see first” di FB anda!
 
#benellimalaysia #benelli #benellibestshop #tenagamotor #enjindotcom #purapassionedal1911