DUA CAWANGAN TOYOTA MOTOR DIUBAH MENJADI PENGEDAR UNTUK KECEMERLANGAN OPERASI

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan dua daripada cawangannya sendiri di Lembah Klang telah diubah statusnya menjadi pengedar untuk mempertingkatkan lagi kecemerlangan operasi bermula 1 Julai 2020. Ini merupakan susulan kepada pengumuman syarikat pada awal Oktober 2017 dan November 2018 berkenaan peralihan majoriti operasi cawangan runcit syarikat kepada pengedar dan pihak berkepentingan lainnya.

Pengedar dari Lembah Klang, Laser Motor PJ Sdn Bhd akan mengambil alih cawangan Seksyen 19, Petaling Jaya sementara Fokus Sentral Sdn Bhd akan mengambil alih cawangan di Cheras. Ini membolehkan UMWT memberi perhatian serta meningkatkan tumpuan terhadap aktiviti-aktiviti lain yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar, sementara pengedar pula terus memberikan layanan terbaik dan memastikan kepuasan pelanggan sentiasa dipenuhi.

“Adalah sangat penting bagi UMWT untuk terus memenuhi jangkaan serta tahap kepuasan yang tinggi pelanggan,” ujar Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy.

“Saya sangat teruja untuk bekerja dengan lebih erat bersama pengedar-pengedar kami untuk berkongsi visi UMWT, dengan konsep yang menjanjikan “Best In Town”, yang turut bermaksud untuk memberikan perhatian lebih tertumpu kepada pelanggan. Walaupun susunan semula ini menandakan perubahan besar buat UMWT, pelanggan kami tidak perlu risau kerana tahap perkhidmatan sedia ada tidak akan dikompromi, sebaliknya akan menjadi lebih baik di masa hadapan,” tambah beliau. Pengumuman ini juga menjanjikan usaha yang lebih menarik melibatkan sokongan kepada pelanggan-pelanggan UMWT serta turut menggalakkan semangat keusahawanan yang kuat untuk mencipta nilai baru yang membawa manfaat kepada ekonomi setempat. Pelanggan yang memerlukan maklumat berkaitan rangkaian jualan dan lepas jualan Toyota boleh melayari laman toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol 1800-8-TOYOTA (1800-8-869682).