Honda Vario 150

Keriangan menunggang yang berterusan, inilah perasaan admin ketika menunggang skuter baharu dari Honda. Kenapa admin berkata demikian? Bukan kerana ia laju, tetapi kerana ia amat mudah ditunggang dan dikawal setelah seminggu admin mencuba dalam pelbagai keadaan, dari kesesakan lalu lintas hinggalah hendak ke kedai pun rasa seronok. Selain daripada reka bentuk yang menarik serta warna Repsol yang menonjol yang menyerlahkan lagi penampilan skuter ini. Warna benar-benar memainkan peranan bagi penampilan sesebuah jentera itu bagi menarik perhatian peminat motosikal.

Honda Vario ini pada pendapat admin adalah lebih praktikal untuk kegunaan harian kerana saiz dan bentuknya yang kecil serta tempat letak kaki hadapan yang rata memudahkan pergerakan terutamanya kepada wanita yang berbaju kurung . Honda Vario kelihatan kurang ‘sporty’ dari jenama saingannya tetapi seperti yang diketahui, Honda dari dahulu lebih fokus untuk menghasilkan motosikal yang sesuai bagi kegunaan harian dan mengutamakan penggunanya. Contoh terbaik ialah Honda Cub yang begitu popular dan terus menjadi legenda hingga kini dihati orang ramai.

Ok, berbalik pada Honda Vario ini. Sesiapa yang biasa dengan motosikal besar dan bukan skuter atau cub, akan merasa janggal dengan kedudukan hendal skuter ini yang agak rendah sedikit ke bawah. Tetapi ini bukan suatu masalah kerana ia hanya memerlukan penyesuaian diri sahaja. Bagi penunggang yang memiliki fizikal yang tinggi, kaki yang agak panjang akan berada terlalu dekat dengan hendal dan ini mungkin akan menimbulkan gangguan terutamanya ketika membelok dan berhenti mengejut. Bagi yang berbadan comel seperti Mr. Stick, tiada masalah.

Honda Vario 150 ini mempunyai tindak balas yang agak cepat bagi sebuah skuter yang ‘cute’ sepertinya. Jika di lampu isyarat, ia selamba meluncur laju ketika lampu bertukar hijau. Kita masih merasa yakin dengan kuasa dari Honda Vario 150 samada di jalan tidak rata dan selekoh walaupun saiz tayarnya tidak selebar tayar skuter lain yang ada di pasaran.

Honda Vario 150 dipadankan dengan enjin 4 lejang silinder tunggal 150cc yang mampu menjana kuasa 13.1PS pada 8,500RPM dan tork maksimum 13.5Nm pada 5,000RPM. Transmisi automatik V-matic menawarkan hantaran kuasa yang lancar ke roda belakang manakala teknologi eSP dan Sistem Henti Lahu (ISS) memberikan prestasi tunggangan dan penjimatan bahan api.


Lampu hadapan adalah jenis dwi LED dengan lampu siang (DRL). Lampu belakang dan lampu isyarat juga adalah jenis LED dan panel meter LCD digital memaparkan maklumat dengan lebih jelas. Ruang simpanan di bawah tempat duduk sebanyak 18 liter mampu memuatkan helmet muka separuh dan barangan kecil lain. Dua poket simpanan pada bahagian hendal untuk capaian mudah, benar-benar berguna. Sistem kunci pintar Honda dengan sistem penggera anti kecurian dengan fungsi jawab balik serta suis penghidup pintar adalah antara ciri keselamatan tambahan standard pada Honda Vario 150. Peredam bunyi yang sporty dengan hujung ‘tip’ aluminium menyerlahkan lagi penampilannya dan dilengkapkan dengan rim 14 inci dengan brek cakera beralun.

Honda Vario 150 Standard boleh diperolehi dengan harga RM7,199 dan Honda Vario 150 Edisi Repsol dengan harga RM7,399 (harga asas tanpa cukai jalan dan insurans).