MINI Malaysia Memperkenalkan Dua Varian MINI Cooper S Countryman Edisi Terhad yang Baharu.

Kuala Lumpur, 30 September 2020 – MINI, jenama automotif premium kompak yang tercanggih di Malaysia, telah merungkaikan dua varian MINI Cooper S Countryman Sports edisi terhad yang terbaharu pada hari ini – sekali gus meluaskan lagi portfolio mereka yang terdiri daripada kenderaan kompak yang mengujakan di Malaysia.

“Sejak kami memperkenalkan MINI Cooper S Countryman Sports pada tahun 2018, model tersebut telah memegang takhta sebagai salah satu model yang paling popular dalam portfolio MINI di peringkat tempatan. Sepanjang dua tahun ia ditawarkan di sini, kami berjaya menyerahkan lebih daripada 800 unit di Malaysia. Model sporty ini juga mencakupi 75% daripada jumlah keseluruhan kenderaan MINI yang diserahkan pada tahun 2019. Angka-angka tersebut membuktikan kejayaan model ini dalam pasaran tempatan, dan kami berbesar hati untuk memperkenalkan dua lagi ahli baharu pada hari ini. Varian MINI Countryman Sports dengan Blackline Package serta MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof menekankan komitmen kami untuk meluaskan portfolio kami buat para peminat MINI Countryman di seluruh negara,” ujar Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

MINI Countryman Sports dengan Blackline Package menawarkan iras yang lebih sporty lagi bergaya, ia menampilkan elemen-elemen berkrom seperti komponen gril hadapan dan jata MINI yang kini tersedia dalam warna Piano Black yang menawan. Varian eksklusif ini juga hanya dihadkan kepada 38 unit sahaja di Malaysia.

MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof pula memperkayakan sensasi kebebasan yang benar-benar mengujakan untuk diamati ketika jentera ini dipandu.  Kedua-dua varian MINI Countryman Sports ini bakal dikuasakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo dua liter yang mampu menjana 192 kk dengan nilai tork berjumlah 280 Nm.

Dua varian baharu, satu pengalaman yang mengujakan.

MINI Countryman Sports dengan Blackline Package menaik taraf elemen penggayaan pada ruang eksterior model popular ini – beralih daripada trim krom kepada kemasan Piano Black yang elegan. Elemen-elemen ini meliputi gril hadapan, trim lampu hadapan dan lampu belakang, hendal pintu, jata MINI di hadapan dan belakang, termasuk jata COUNTRYMAN dan COOPER S. MINI Countryman Sports dengan Blackline Package bakal disediakan dalam warna hijau (British Racing Green) atau warna putih (Light White), kedua-duanya disinambungkan dengan bumbung hitam.

Varian kedua – MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof menawarkan kenikmatan pemanduan bumbung terbuka, lantas memperkayakan lagi ambien interior dengan tembusan lebih banyak cahaya serta udara segar.

Pacuan MINI berkuasa tinggi.

Kedua-dua varian MINI Countryman Sports ini menampilkan enjin empat silinder berkapasiti dua liter dengan MINI TwinPower Turbo yang berkuasa tinggi, ia menjana 192 kk dan puncak tork berjumlah 280 Nm. Jentera sporty ini mampu membuat pecutan abad dalam masa 7.5 saat, dan mempunyai kelajuan tertinggi mencecah 225 km/j. Ia digandingkan dengan Transmisi Automatik ‘Dual Clutch Sports’ Tujuh Kelajuan yang membekalkan keupayaan penukaran gear yang pantas, menyelesakan dan berbekalkan efisiensi teroptimum.

Transmisi dwiklac ini juga membolehkan fungsi mula/henti enjin digunakan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api ketika kenderaan ini tidak bergerak. Di samping itu, fungsi pacuan neutral (coasting) disediakan sebagai standard dalam mod pemanduan MID dan GREEN; lantas membolehkan jentera ini menyelusur pada kelajuan melahu (idling) untuk mengurangkan penggunaan bahan api, di mana rangkaian pemacu (drivetrain) dipisahkan ketika kelajuan diperlahankan.

Interior yang penuh dengan sofistikasi dan inovasi.

Bahasa reka bentuk pada ruang interior kedua-dua varian ini memperlihatkan sofistikasi dengan tema hitam yang dikekalkan olehnya. Material bumbung dilitupi dengan Antrasit, serta Kerusi Sport pula bermaterialkan Leather Cross Punch yang mewah dalam warna Carbon Black. Sentuhan sofistikasi yang terakhir ditawarkan melalui Permukaan Interior John Cooper Works dalam warna Piano Black.

Jentera baharu ini dilengkapi dengan Tuil Pemilih Elektronik yang akan kembali ke posisi asalnya selepas pertukaran dibuat antara mod memandu, neutral dan mengundur. Mod Sport boleh diaktifkan dengan menggerakkan tuil pemilih ke arah kiri dalam mod memandu, ia membekalkan stail pemanduan yang lebih sporty serta membenarkan intervensi manual.

Bukan itu sahaja, MINI Cooper S Countryman Sports juga membawakan Sistem Bunyi Harman Kardon 12 Pembesar Suara Berprestasi Tinggi dengan DSP Amplifier dan teknologi Kelas D, ia menjana kuasa akustik yang tulen dengan 360 watt.

MINI terbesar ini juga pastinya akan hadir dengan ruang yang lebih besar untuk keselesaan dan versatiliti. MINI Cooper S Countryman Sports menawarkan ruang muatan yang luas dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat, bumbung yang tinggi, serta lantai but yang boleh dilaras; semuanya untuk membekalkan ruang kaki dan kepala yang menyelesakan untuk pemandu serta penumpang, yang juga dapat menikmati ruang bahu khas di tempat duduk belakang.

Maklumat hibur yang lebih hebat dengan MINI Connected.

Kedua-dua varian MINI Countryman Sports ini hadir dengan Sistem Navigasi MINI 8.8 inci yang boleh dioperasikan melalui skrin sentuh, konsol sentral, atau kawalan suara. Kenderaan ini juga didatangkan dengan kad SIM 4G yang terintegrasi. Para pemilik boleh menghubungkan peranti iPhone mereka tanpa sambungan wayar pada kenderaan ini dan menggunakan MINI Visual Boost untuk mengakses pelbagai ciri kefungsian telefon pintar tersebut melalui Apple CarPlay. Kemudahan pengecasan tanpa wayar turut disediakan untuk memastikan telefon pintar pengguna sentiasa sedia untuk digunakan.

Kenderaan ini juga dilengkapi dengan MINI Connected yang terkini, ia menawarkan pelbagai perkhidmatan digital seperti Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call), MINI TeleServices dan Servis Jarak Jauh (Remote Services). Fungsi ini membolehkan perancangan mobiliti diintegrasikan dengan lancar dalam rutin digital harian pengguna.

MINI Countryman Sports dengan Blackline Package dan MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof kini disediakan di semua pusat pengedaran MINI bertauliah di seluruh negara.

Bantuan Tepi Jalan MINI (MINI Roadside Assistance).

Kedua-dua varian MINI Countryman Sports ini diliputi oleh program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 5 Tahun oleh MINI Malaysia, ia ditawarkan untuk semua kenderaan MINI bersama pelbagai perkhidmatan komprehensif yang merangkumi Bantuan Kemalangan 24 jam, 365 hari setahun; Talian Bantuan dan Kecemasan; Servis Penundaan Percuma dan sekiranya perlu (lebih daripada 200 KM dari tempat kediaman); Kenderaan Ganti; Mobiliti Lancar (Seamless Mobility); Akomodasi; Solusi Servis Mobiliti serta servis Repatriasi.

Program Bantuan Tepi Jalan MINI (MINI Roadside Assistance) boleh diakses dengan menghubungi talian 1800-88-8808.

Servis Dalam Talian MINI.

Kini lebih mudah untuk membuat janji temu. Program servis dalam talian yang baharu ini membolehkan para pelanggan menjadualkan servis keperluan mereka secara langsung dengan wakil pengedar MINI bertauliah pilihan masing-masing melalui www.service.mini.my.

Pembiayaan MINI.

Dengan ‘Balloon Financing’ daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan MINI Countryman Sports dengan Blackline Package bermula daripada RM 2,778.00 setiap bulan, dan RM 2,828.00 setiap bulan bagi MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Harga jualan varian-varian MINI Countryman Sports ini yang disyorkan dengan Pengecualian Cukai Jualan (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans) ialah:

   MINI Countryman Sports dengan Blackline Package:                     RM 243.280.38

   MINI Countryman Sports dengan Panoramic Sunroof:                    RM 247,280.38 

Maklumat lanjut mengenai kedua-dua varian MINI Countryman Sports ini boleh didapati di www.mini.my.