PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) BERPANJANGAN BERI KESAN KEPADA JUALAN, UMW TOYOTA MOTOR HARAPKAN PEMULIHAN DAN KELONGGARAN SEGERA DENGAN SELIAAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sejak 1 Jun 2021, banyak operasisektor perniagaan perlu ditutup. Hal ini juga telah memberi kesan kepada sektor automotif, mengakibatkan jualan kenderaan baru seluruh industri merudum bagi bulan Jun. Mengulas situasi berkenaan, Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran K. berkata, penutupan berterusan semua bilik pameran Toyota dan Lexus di seluruh negara bermakna tiada perniagaan yang boleh dilakukan. Dalam masa sama, pengeluaran kenderaan termasuk usaha rantaian bekalan serta logistik juga perlu dihentikan sementara. Walaupun menerima langkah kerajaan itu adalah untuk kebaikan negara, namun ia hadir dengan cabaran tersendiri buat syarikat.

“Kami masih mempunyai himpunan tempahan yang menggalakkan untuk pelbagai model. Walaupun begitu, kami berharap agar larangan pergerakan dapat dilonggarkan untuk membolehkan kami beroperasi dalam kapasiti terhad dan selamat. Kami selalu mematuhi semua SOP yang ditetapkan, seperti yang telah ditunjukkan tahun lalu,” ujarnya. Dengan bilik pameran kekal ditutup, pelanggan masih boleh mendapatkan perincian berkaitan model-model Toyota dan Lexus melalui laman web masing-masing toyota.com.my dan lexus.com.my. Mereka boleh mengetahui lebih lanjut tentang model-model yang ditawarkan di Malaysia serta pelan pembiayaan menarik bagi keperluan berbeza. Tempahan juga boleh dilakukan secara dalam talian.

Ravindran K. mengingatkan pelanggan berkaitan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang telah dilanjutkan hingga penghujung 2021 ini. Ia melibatkan kedua-dua model import dan pemasangan tempatan bagi Toyota dan Lexus, memberikan penjimatan yang menguntungkan buat pelanggan. “Kami galakkan pelanggan untuk membuat tempahan secara dalam talian kerana itu membolehkan kami merancang pengeluaran di dua kilang pemasangan untuk mengurangkan tempoh menunggu sebaik sahaja larangan pergerakan ini ditamatkan, untuk membolehkan pelanggan memanfaatkan insentif kewangan yang ada ketika ini,” tambah beliau. Sokongan lepas jualan terpilih masih tersedia Beberapa pusat servis UMW Toyota Motor terpilih terus beroperasi mengikut peraturan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, bertujuan untuk memastikan pemilik kenderaan boleh mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan. Bantuan 24/7 juga tersedia dan boleh didapati dengan menghubungi masing-masing di talian 1-800-888-247 (Toyota) dan 1800-225-3987 (Lexus).

“Di seluruh negara, pelanggan masih boleh mendapatkan bantuan kecemasan dan khidmat lepas jualan terpilih untuk kenderaan mereka,” jelas Ravindran K. Dengan menasihati pelanggan agar menghubungi pusat servis terlebih dahulu untuk membuat temujanji, beliau meyakinkan pelanggan sebaik sahaja mereka tiba di premis, semua langkah keselamatan telah diambil untuk menjamin kesihatan dan keselamatan semua yang terlibat. Kesan larangan berterusan “Walaupun kerajaan telah merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke dalam empat fasa, kita ketika ini masih lagi dalam Fasa 1, dengan larangan yang paling ketat. Keadaan semasa juga tidak membolehkan perancangan pemulihan berjalan mudah,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama. “Tambahan pula, perniagaan eksport turut akan terkesan memandangkan anak syarikat kami terlibat mengeksport dalam jumlah yang besar komponen automotifsebagaisebahagian daripada rantaian bekalan global Toyota. Jika situasi ini berlarutan, kami khuatir pelanggan kami di negara luar yang terlibat akan mencari pembekal lain, memandangkan mereka tidak boleh menangguhkan pengeluaran hanya kerana gangguan bekalan dari Malaysia. Ini akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara disebabkan keseluruhan perniagaan eksport menurun,” tambahnya.

Sementara itu,syarikat yang pada awal bulan ini telah mengumumkan pelaburan tambahan untuk memperluaskan lagi usaha ke arah neutraliti karbon melalui pengeluaran kenderaan elektrik hibrid, turut memberi isyarat bahawa dengan larangan yang berpanjangan terhadap kilangnya akan turut memberi kesan kepada rancangan berkenaan. Festival Toyota Gazoo Racing Tahun ini meyaksikan penganjuran acara Festival Toyota Gazoo Racing (TGR Festival) memasuki tahun keempat berturut-turut. Acara berkenaan semakin popular dan skala penganjurannya semakin berkembang setiap tahun, dengan tarikan utamanya ialah perlumbaan Vios Challenge yang merupakan satu-satunya perlumbaan one-make race di Malaysia. “Agak kurang bernasib baik, situasi pandemik dan PKP ketika ini tidak membolehkan penganjuran acara umum secara terbuka. Ini termasuklah sukan permotoran. Jadi, disebabkan itu musim keempat Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Vios Challenge terpaksa ditangguhkan. Ketika kami menganjurkan pusingan pertama yang mengujakan pada 2 Mac lalu di Litar Sepang, kami tidak sabar untuk membawakan pula pusingan kedua serta pengenalan Gazoo Racing Vios Sprint Cup dan Gazoo Racing Enduro Cup,” jelas Takeyama, yang merupakan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia. “Mari kita sama-sama memainkan peranan masing-masing dan berdoa agar angka kes Covid-19 menurun segera, untuk membolehkan kerajaan memberi kelonggaran bagi penganjuran acara umum secepatnya,” tambahnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *