Perjumpaan Santai Bersama Rakan Bikers Singapura

Kebiasaannya, jika kita membuat perancangan untuk ke suatu destinasi menarik lebih-lebih lagi membabitkan tempat yang ada makan-makan, ia mesti menjadi tarikan tambahan untuk menyertainya. Walaupun jauh atau lama mana pun menunggang, kita pasti akan berasa puas setelah tiba ke destinasi yang dirancangkan. Tambahan pula jika menunggang bersama teman-teman yang berkongsi minat yang sama iaitu motosikal. Ia sudah menjadi salah satu gaya hidup ramai orang di serata dunia dan juga di Malaysia tak kira peringkat umur dan jantina.

Kebetulan pada kali ini, admin berpeluang bersama beberapa orang rakan yang menunggang beberapa buah motosikal dari Malaysia, Ducati Multistrada 950, Triumph Tiger 800 XcX, Kawasaki Versys 650 dan Honda Transalp (atau lebih dikenali di kalangan orang lama sebagai Motor Unta). Perjalanan bermula setelah semua berkumpul di Shell R&R Seremban arah selatan. Sebelum bergerak, sedikit taklimat mengenai keselamatan dan perjalanan disampaikan walaupun kumpulan ini terdiri daripada penunggang yang berpengalaman. Sebagai manusia kita kena sering beringat dan berkongsi aspek keselamatan di jalan raya khasnya mengenai cara tunggangan. Konvoi bergerak menuju ke Plaza Tol Ayer Hitam untuk bergabung dengan kumpulan dari negara jiran kita, Singapura yang datang dengan Suzuki Hayabusa, Honda CBR 1000RR, Kawasaki ZX10R,Yamaha Fazer dan Yamaha T-Max 500. Disini, kami mengambil kesempatan berkenalan sedikit sebelum meneruskan perjalanan ke Restoran Kari Kambing 40 Hari di Yong Peng.

Restoran ini adalah nama yang tidak asing lagi bagi majoriti penunggang dan pengembara di Malaysia. Restoran Kari Kambing 40 Hari boleh dikatakan hampir penuh pada setiap hari minggu dengan pengunjung. Ada beberapa pilihan hidangan yang ditawarkan iaitu hidangan secara individu atau pun hidangan dalam dulang yang boleh dikongsi bersama.

Sepanjang pertemuan antara kami dengan rakan bikers dari Singapura, isi perbualan banyak menyentuh tentang aktiviti mereka di hujung minggu. Boleh dikatakan setiap 2 minggu, mereka akan merancang untuk masuk ke Malaysia mencari tempat-tempat makan atau tempat untuk berehat. Ada juga yang menunggang sehingga Kuala Lumpur dan pulang ke Singapura pada hari yang sama. Dalam hati admin, silap-silap mereka lagi banyak tahu tempat-tempat makan atau tempat rehat yang menarik di negara kita. Apa pun ketika di lebuh raya, admin berharap agar mereka berhati hati.

Selesai makan dan bersembang, kami sambung membelek motor masing-masing, perkara biasa bagi “Mat Motor”. Kalau dah minat motor tu, belek-membelek ni memang acara rutin ketika berjumpa sambil melihat dan berbincang tentang jentera dan gajet-gajet tambahan lebih-lebih lagi jika motosikal itu ditambah dengan aksesori yang mengancam. Ada rakan kita dari Singapura tertarik dengan Ducati Multistrada 950 dan Triumph Tiger XcX yang ditunggang oleh admin ENJIN DOTcom. Lebih kurang satu jam setengah kami bersama, tiba masa untuk berpisah. Setelah puas bersembang, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke destinasi masing-masing. Diharap ada lagi jemputan atau perjalanan dari rakan-rakan kita bersama admin ENJIN DOTcom dimasa akan datang.

Terima kasih kepada Ducati Malaysia dan Triumph Motorcycles Malaysia diatas kesudian meminjamkan jentera hebat mereka kepada ENJIN DOTcom bagi perjalanan ini.

Sila like & share Facebook ENJIN DOTcom follow kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai “see first” di FB anda!