PILIHAN BAHARU SPORTS TOURER, YAMAHA TRACER GT 900

Bagi kebanyakan mereka yang suka mengembara secara bermotosikal, mereka akan memikirkan banyak aspek untuk memiliki atau menambah baik model yang mereka miliki. Selain daripada harga, mereka akan memikirkan aspek ketahanan, keselesaan, alat ganti dan juga prestasi enjin. Ini adalah disebabkan pelaburan untuk memiliki sebuah ‘touring bike’ mestilah berbaloi dan tidak terlalu membebankan.

Kemunculan Yamaha Tracer GT 900 baru-baru ini telah memberikan lebih pilihan kepada mereka yang mencari atau pun ingin menaik taraf motosikal pengembaraan sedia ada. Jom tengok dulu Yamaha Tracer GT 900 ini.

Admin diberi peluang selama seminggu untuk menguji tunggang model ini oleh pihak Hong Leong Yamaha dan sepanjang waktu itu admin menikmati keseronokan dan keselesaan menunggangnya. Semasa mengambil kunci Yamaha Tracer GT 900 ini, admin membelek dahulu kemasan badan model ini. Tampak kemas dan admin fikirkan reka bentuk kini bukan atas nama reka bentuk sahaja tetapi juga harus praktikal. Ini menjadikan ia antara model ‘sport touring’ yang selesa dan mungkin menepati citarasa pengembara seperti admin ini. Ermmm, ye ke?

Ketika perjalanan di lebuh raya, ‘windscreen’ hadapan memberikan perlindungan dari rintangan udara dan mempunyai ciri aerodinamik yang baik. Admin hampir tidak merasakan rintangan angin dan ia boleh diubah ketinggian dengan mudah walaupun dengan hanya sebelah tangan.

Kedudukan ketika menunggang juga telah di tambah baik oleh Yamaha. Tempat duduknya telah ditambahkan ketebalannya sebanyak 5 mm dan dilebarkan sedikit. Bagi penunggang yang agak tinggi, tempat duduk ini boleh ditinggikan sebanyak setengah inci. Begitu juga bagi tempat duduk penumpang belakang juga yang telah diperbaiki berbanding model sebelumnya. Keselesaan tambahan ketika menunggang pasti boleh membuatkan penunggang untuk mengembara lebih jauh lagi. 

Pengendalian Yamaha Tracer GT 900 juga agak ringan dan mudah dikawal. Lengan ayun belakang telah dipanjangkan sebanyak 60 mm dan menjadikan wheelbase motosikal ini sepanjang 59.1 inci. Penambahan ini memberikan lebih keselesaan ketika menunggang. Tidak dilupakan kombinasi suspensi boleh laras dari KYB

Apa yang menarik untuk perjalanan jauh adalah Tracer GT 900 ini dilengkapi dengan fungsi ‘cruise control’ di sebelah kiri hendal bagi membolehkan penunggang berehat sedikit semasa menunggang untuk perjalanan jauh. Kelajuannya mudah diubah dengan menekan butang ‘cruise control’. Tak semua model ‘touring’ mempunyai fungsi sistem ‘cruise control’. 

Yamaha Tracer GT 900 menggunakan enjin crossplane 3 silinder sebaris 847 cc dengan sistem penyejukan cecair beserta ‘throttle body’ baharu memberikan respon yang baik. Enjin ini menghasilkan 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8500 rpm. Sistem ‘quickshifter’ baharu Yamaha Tracer GT 900 ini berfungsi padakelajuan 50 km/j hingga 160 km/j dalam gear 4, 5 dan 6 banyak membantu dalam mewujudkan perjalanan yang lancar. Terdapat 3 mod pengendalian dan 2 mod ‘traction control’ mengikut kesesuaian penunggang.

Pembaharuan lain yang terdapat pada model Tracer GT 900 ini juga adalah sistem meter TFT seperti yang digunakan pada ‘superbike’ Yamaha YZF R1 yang memberikan informasi jelas walaupun saiznya agak kecil dan paparan yang boleh disesuaikan semasa waktu siang dan malam. Pemanas di bahagian pemegang hendal juga merupakan ciri standard bagi model ini. Tangki bahan apinya boleh memuatkan hampir 21 liter bahan api membolehkan kita menunggang sehingga sejauh 320 kilometer.

Harga Yamaha Tracer GT 900 ini bermula dari RM58,888.00 tidak termasuk cukai jalan dan insuran menjadikan ia antara pesaing yang akan membuka mata mereka yang meninjau model sebegini. Yamaha Tracer GT 900 hadir dalam 2 warna pilihan, iaitu Kelabu dan juga Biru

‘Like’ dan ‘Share’ Facebook ENJIN DOTcom dan ‘Follow’ kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai ‘See First’ di FB anda!

#yamahatracergt900 #hongleongyamaha #tracergt900 #enjindotcom #revsyourheart