SUV Mercedes-Benz GLA200 dan GLA250 Dilancarkan

Setelah hampir setahun dilancarkan di pasaran dunia, akhirnya variasi terbaru SUV Mercedes-Benz GLA 200 dan GLA 250 telah dilancarkan secara maya di pasaran Malaysia pagi tadi oleh Dr. Claus Weidner, Presiden & CEO Mercedes-Benz Malaysia.

Ada 3 ciri utama yang terdapat di dalam model baru ini ialah:-

1.  Watak Baru

Model 2021 ini mempunyai watak yang lebih sporty dan progresif.  Grille hadapan yang lebin besar memberikan gambaran seolah-olah ianya sebuah SUV yang besar.  Model GLA 200 Progressive Line dijana oleh enjin bercaj turbo 1.3 liter 4 silinder yang memberikan 163 kuasa kuda dengan tork sebanyak 250 Nm.  Penghantaran klac berkembar dengan 7 kelajuan ini mampu memberikan pecutan yang diperlukan samada pemanduan di bandar mahu pun perjalanan merentas negeri.  Model GLA 250 AMG Line pula diberikan suntikan tenaga yang lebih padu iaitu enjin 4 silinder bercaj turbo 2.0 liter yang mengeluarkan kuasa kuda sebanyak 224 beserta tork 350 Nm dengan transmisi klac berkembar 8 kelajuan.  Mantul sungguh variasi AMG ini!  Yang pasti, watak dan wajah baru GLA ini lebih maskulin dan menarik!

2.  Senang & Selesa

SUV GLA 200 dan 250 ini direkacipta untuk memberikan pengalaman pemanduan yang senang dan selesa.  Sistem MBUX (Mercedes-Benz User Experience system) memberikan pemandu kuasa penuh untuk mengawal ciri-ciri yang terdapat di dalam SUV ini samada melalui suara atau skrin sesentuh.  Kalau telefon bimbit Apple ada “Hi Siri!”, Mercedes-Benz ada “Hey Mercedes!”  Sekarang Unkel tak perlu lagi bercakap seorang diri di dalam kereta.  Model terbaru ini mempunyai ketinggian lebih 10 sentimeter dari model yang lama manakala panjang SUV ini telah dipendekkan sedikit.  Dimensi baru ini memberikan ciri pemanduan yang lebih dinamik samada di jalanraya mahupun “off road”.  Pembaca perlu merasainya sendiri jadi Unkel nasihatkan lepas sarapan esok bergegaslah ke pusat jualan Mercedes-Benz yang berhampiran unduk uji pandu.

3.  Keselamatan

Kedua-dua model GLA 200 dan 250 ini dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan terbaru ciptaan Mercedes-Benz.  Antaranya adalah “sistem brek aktif” yang membolehkan SUV ini membrek dengan sendiri sekiranya berada terlalu hampir dengan sebarang objek atau orang dihadapannya.  Model GLA 250 juga dilengkapi dengan “blind spot system” yang membolehkan SUV ini mengesan kenderaan lain yang berada terlalu hampir dengan SUV ini.  Ciri-ciri keselamatan ini berupaya mengurangkan risiko kemalangan dan memberikan ketenangan agar pemandu dan penumpang dapat menikmati pemanduan dan perjalanan mereka.

Model GLA 200 Progressive Line dijual pada harga RM244,192.82 manakala model GLA 250 dijual pada harga RM285,336.66.

Cukuplah coretan Unkel disini sahaja.  Unkel nak tidur awal supaya esok Unkel boleh beratur di bank rimau untuk buat permohonan pinjaman kereta!