BMW F850 GS adventure bike

Di Malaysia, model motosikal ‘adventure’ semakin digemari dan bertambah popular,  sekaligus menjadi idaman peminat motosikal kini. Model motosikal ‘adventure’ banyak terdapat dalam pasaran Malaysia seperti KTM Adventure, Honda Africa Twin, Yamaha Super Tenere dan boleh dikatakan paling popular di kalangan penunggang Malaysia ialah BMW GS, yang banyak menguasai segmen ini. Umumnya, model ini adalah antara model yang diimpikan dan ada sahaja kelibatnya di mana-mana acara berkaitan motosikal di Malaysia. ENJIN DOTcom telah mendapat satu unit BMW F850 GS untuk diuji tunggang, kecil sedikit dari “abang”nya BMW GS1200 yang bagi penggemar sukan lasak dan kembara tak kira rupa bentuk muka bumi, ini adalah salah satu model yang harus dicuba!

BMW menyatakan enjin F850 GS ini berupaya menghasilkan 95 kuasa kuda pada 8,250 rpm dan tork 92Nm pada 6,250 rpm. Terdapat empat mod tunggangan pada BMW F850 GS: Dynamic, Road, Rain dan Enduro. Mod Enduro Pro adalah mod yang tidak boleh dipilih pada varian ini. Untuk kegunaan harian, admin rasa mod  Dynamic amat selesa kerana ia mirip seperti mod Sport yang biasanya terdapat pada motosikal lain, cukup bagi kita untuk mengawal dan berseronok dengan kuasa serta keupayaan BMW F850 GS ini. Setiap mod jelas terasa mengikut tindak balas pendikit.

Sepanjang perjalanan dari pesisir pantai Morib hingga ke Bagan Lalang yang sengaja dipilih kerana bentuk jalan raya yang mempunyai permukaan kasar dan beralun bagi menguji suspensi BMW F850 GS ini dengan tindak balas penunggang dan motosikal. Tak kira ketika di selekoh atau di jalan yang beralun, ia cekap dan selesa. Walaupun sesekali tak dapat mengelak lopak kecil, ia bukan masalah bagi BMW GS850 F. Kadang-kadang kita terlupa, ia adalah sebuah motosikal ‘adventure’ yang lasak bila melayan selekoh-selekoh di jalan raya. Ia sebenarnya direka untuk keadaan perjalanan yang lasak dan menjadikannya sebuah jentera yang serba boleh. Ia boleh menjadi menyeronokkan jika anda seorang yang suka dengan pengembaraan yang kadangkala memerlukan ia melalui jalan tanah merah atau berpasir. BMW F850 GS tiada masalah bagi tujuan ini dan keseronokan sebenar mengendalikan sebuah motosikal ‘adventure’ dapat dinikmati.

Perjalanan singkat itu sempat juga singgah di jeti pusat latihan perahu layar di Dikampung Batu Laut terdapat satu lokasi bagi peminat-peminat perahu layar untuk bermain perahu layar.Pusat Perahu Layar (Yatch Centre) Kg Batu Laut merupakan lokasi utama bagi pelajar-pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Laut dan Sekolah Kebangsaan Batu Laut yang merupakan peserta yang paling aktif pada masa kini untuk mempelajari teknik mengendalikan perahu layar.lokasinya dekat dengan jalanraya utama, agak mudah untuk kita singgah.Kalau tak singgah makan selepas melayan motosikal GS ni tak sah, kebetulan kami di Destinasi ENJIN DOTcom singgah ke KAFE CIKGU @ Kedai Kari Kambing Cikgu, sebuah kedai makan yang diusahakan oleh pasangan suami isteri iaitu Pn. Salinah dan En. Saadon. Kedai makan ini terletak di tepi Jalan Besar Kg. Kundang, Tanjung Sepat, Selangor. Selain daripada mengusahakan kedai makan, Pn. Salinah dan En. Saadon juga turut mengusahakan perniagaan katering.

Menu yang disediakan memang menarik, ditambah pula dengan kedai yang bersih serta makanan yang lazat-lazat. Lepas ni tak payah nak pergi jauh-jauh dah nak pekena kari kambing seperti di selatan Semenanjung.Waktu Operasi: 7.00 pagi – 4.00 petang setiap hari (kecuali hari Jumaat).

Lokasi: Bt. 36, Jln. Besar, Kg. Kundang, Tanjung Sepat, Selangor.


Satu perkara yang menarik motosikal GS ni adalah selain reka bentuk lebih segar dan moden adalah pakej yang disediakan.Motosikal Adventure ni terdapat Mod Dynamic ESA BMW F850 GS hanya boleh didapati pada Pakej Premium F 850 GS (2019) menawarkan 5 mod tunggangan: Dynamic, Rain, Road, Enduro dan Enduro Pro.Kombinasi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) menawarkan keselamatan tinggi kepada penunggang . Ia bergantung kepada semua alat elektronik canggih yang terdapat dalam Pakej Pilihan untuk beroperasi dengan baik. Penambahan utama pada Pakej Pilihan ialah TFT Display 6.5 inci, yang mengawal semua peralatan elektronik tambahan dan ia boleh dihubungkan terus ke telefon pintar anda! Ciri-ciri keselamatan asas dinaik taraf kepada ABS Pro dan Kawalan Daya Kawalan Dinamik.

Apa yang lebih penting daripada kelajuan tinggi jika dengan BMW F850 GS ini kita boleh menikmati perjalanan yang selesa dan santai pada kelajuan yang konsisten dan lasak bukan? Inilah masanya kita hayati pengalaman disepanjang perjalanan yang dilalui dan merakamkan setiap detik pengembaraan.

Apa yang dapat dikatakan mengenai keseluruhan model ini ialah, ia sebuah motosikal yang lebih menjurus kepada kegunaan bagi mereka yang minat tunggangan sebuah ‘adventure-touring’, tetapi boleh bertukar sifat ke ‘sport-touring’ dengan selesa pada bila-bila masa. Harga yang ditawarkan bagi BMW F850 GS bermula dari RM79,500.00. Sekarang anda ada pilihan untuk melompat dengan lebih tinggi…😂😆

GALERI