BMW Malaysia persembahkan BMW M2 baharu, juga hadir dengan varian BMW M2 Pro.

BMW Malaysia hari ini telah mengumumkan ketibaan BMW M2 baharu di pasaran Malaysia, dengan kemudahan pratempahan dalam talian yang kini telah dibuka, berselaras dengan kehadiran tahun baharu 2023 dan tersimpulnya ulang tahun ke-50 BMW M GmbH. Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Tahun 2022 merupakan titik sejarah yang mengujakan bagi kami, dan ia telah menjadi lebih istimewa dengan sambutan ulang tahun BMW M GmbH yang ke-50. Dengan sebilangan model sulung M Performance yang diperkenalkan pada tahun tersebut – seperti BMW i4 M50 dan BMW XM – kini kami memperkenalkan kenderaan BMW M generasi baharu yang berprestasi tinggiyang merangkumi kepuasan pemanduan yang sebenar.”


Beliau menambah, “Kompak, lincah dan jitu, BMW M2 baharu memuaskan segala keinginan
pemandu yang beraspirasi dan berjiwa sporty. Berasaskan DNA sukan permotoran BMW M,
jentera ini menterjemahkan kepakaran litar lumba kami di jalan raya. Dengan pembukaan tirai
tahun yang baharu dan tersimpulnya detik sejarah yang begitu penting untuk BMW M di
Malaysia, kami ingin meraikannya dengan perungkaian generasi BMW M2 yang baharu.”
Hadir dengan iras yang menonjolkan sifat ketangkasannya, BMW M2 merupakan coupé
kompak berpintu dua kami yang paling gah pernah dibangunkan untuk kelasnya. Seperti BMW
M3 dan BMW M4, BMW M2 baharu turut berkongsi elemen-elemen yang menjadikannya
cemerlang, hadir dengan teknologi casis yang dibawakan dari litar lumba ke jalan raya. Yang
jelas sekali, BMW M2 kini memiliki ketinggian dan garisan bumbung yang lebih rendah.
Dimensinya yang kompak, dipadankan dengan ciri aerodinamik M yang hebat, jentera ini
memperlihatkan segala sudutnya dengan lebih jelas di samping arkus roda yang tampak
mengembang, sekali gus mencungkil perwatakannya yang sporty dan berasaskan prestasi.
Dengan sekilas pandang sahaja, anda dapat membayangkan Kenikmatan Pemanduan
Sempurna yang dijanjikan oleh jenama ini. Gah, menawan dan tersendiri.


Dari hadapan, BMW M2 baharu membawakan rekaan gril ‘kidney’ yang baharu, distingtif dan
tidak berbingkai, bilah-bilahnya boleh dilihat tersusun secara mendatar. Melengkapkan iras
jentera ini yang gah ialah komponen apron dan salur masuk udara bersaiz besar dan seakan
bersegi empat, yang menonjolkan keperluan enjin dan sistem brek ke atas daya penyejukan
yang tinggi. Turut hadir bersama ialah lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan
lampu puncak, di samping sayap depannya yang diperbuat daripada aluminium bagi mengurangkan berat coupé berprestasi tinggi ini. Melengkapkan bahagianhadapan ialah sebuah bonet dengan kubah kuasa yang lebih menyerlah.


Dari sisi, BMW M2 baharu dilihat memanfaatkan permukaan-permukaan yang besar serta
konsep segi empat untuk konfigurasi pembahagian kereta yang klasik disebut sebagai “three-
box”. Ditonjolkan dengan skirt sisi yang lebar serta arkus roda yang mengembang, BMW M2
tampak lebih ekstrovert selain mendekati seni reka bentuk BMW klasik dengan cara yang
inovatif. Sementara itu, BMW M2 juga menampilkan angkup brek biru dan set roda aloi ringan
M berciri dwiruji dan dwiwarna 930 M berserta pasangan saiz tayar yang berbeza – 19 inci
untuk hadapan dan 20 inci untuk belakang. BMW M2 dengan Pro Package pula hadir secara
eksklusif bersama brek M Compound dalam rona merah berglos tinggi serta set roda aloi
ringan M berciri dwiruji dalam warna hitam 930 M, juga dengan pasangan tayar bersaiz 19
inci untuk hadapan dan 20 inci untuk belakang.


Di bahagian belakang, BMW M2 baharu didatangkan dengan bibir spoiler untuk meningkatkan
daya turun aerodinamik, berserta komponen peresap dan paip ekzos berkembar M yang
menyerlahkan ketangkasan jentera ini. Dibawakan secara standard bagi BMW M2 baharu
ialah Garisan Bayang M berglos tinggi, berserta konten lanjutan yang disediakan secara
eksklusif untuk BMW M2 Pro. Juga eksklusif untuk BMW M2 dengan Pro Package ialah M
Carbon Roof dan juga M Lights Shadowline.


Dari segi dimensi, kepanjangan BMW M2 baharu berukuran 4,580 mm, lebar berukuran 1,877
mm dan ketinggian berukuran 1,403 mm, manakala jarak rodanya pula berukuran 2,747 mm.
Berbanding iterasi yang terdahulu, ia bersamaan dengan peningkatan sebanyak 119 mm bagi
panjangnya, 33 mm bagi kelebarannya dan 54 mm dari segi jarak roda, manakala ketinggiannya pula telah dikurangkan sebanyak 11 mm. Bagi ruang muatan, BMW M2 membekalkan kapasiti berjumlah 390 liter – agak besar bagi sebuah jentera coupé – yang boleh ditingkatkan lagi dengan melipat tempat duduk belakang dengan pembahagian 40/20/40. Menggandingkan ketangkasan dengan BMW Curved Display. Ruang kokpit BMW M2 baharu mencuri perhatian dengan orientasi serba sportynya, yang kini diperkayakan lagi dengan BMW Curved Display berserta skrin paparan ‘M specific’, memuatkan generasi BMW M iDrive yang terkini. Dengan BMW Curved Display, SkrinPaparan Informasi dan Skrin Paparan  Kawalan telah disatukan menjadi satu unit paparan, yang berorientasikan pemandu bagi mengoptimumkan pembekalan maklumat dan operasi skrin sentuh.


Sebagai standard, BMW M2 baharu menampilkan kerusi M Sport berkuasa elektrik dengan
pendakap sisi, membekalkan sokongan lateral yang optimum semasa membelok dalam
kelajuan tinggi. Jata M beriluminasi juga dipamerkan di penyandar kepala tempat duduk
hadapan. Kelengkapan standard bertema sport yang lain meliputi stereng kulit M dengan
padel penukar gear di samping butang Mod M berwarna merah, material bumbung M
Anthracite, trim interior M Aluminium Rhombicle Anthracite, kotak gear M Steptronic lapan
kelajuan, Butang Tetapan dan Mod M bagi konsol sentral, di samping Papar Pandu (Head-Up
Display) – yang disediakan buat julung kali di dalam BMW M2 – bersama seni rekaan ‘M
specific’ dan warna aksara M oleh BMW. Eksklusif untuk BMW M2 dengan Pro Package ialah
Tali Pinggang Keledar M dan Trim Interior M ‘Carbon Fibre’.


Selain itu, BMW M2 baharu juga didatangkan secara standard dengan cahaya ambien,
penyaman udara automatik tiga zon, pakej kompartmen simpanan, pakej cermin interior dan
eksterior, serta cermin pandang belakang dengan fungsi anti silau automatik. Di ruang kabin belakang, dua tempat duduk yang teracu secara berasingan kini mempunyai ruang kaki yang lebih luas berbanding generasi BMW M2 yang terdahulu, disumbang oleh jarak roda jentera ini yang lebih panjang. Kepuasan pemanduan yang sebenar. Sumber pemanduan BMW M2 yang memuaskan merupakan enjin sebaris enam silinder M TwinPower Turbo berkapasiti tiga liter. Menerusi umbi kejuruteraan jenama ini dalam sukan permotoran, BMW M2 baharu mampu menjana kuasa sebesar 460 kk (330 kW) dan juga 550 Nm tork, disumbang oleh beberapa pengoptimuman utama, seperti aci engkol yang lebih ringan, sistem pembekalan/penyejukan minyak berpandukan prestasi litar lumba dan injeksi bertekanan tinggi bernilai 350 bar. Dipasangkan dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, enjin ini mampu menujah BMW M2 baharu dari posisi henti hingga 100 km/j dalam masa 4.1 saat sahaja, dengan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j. Bukan itu sahaja, para pengguna juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan M Driver’s Package yang boleh meningkatkan kelajuan tertinggi kenderaan ini kepada 285 km/j, ia boleh dimuatkan semasa atau selepas pembelian jentera tersebut, yakni di mana-mana pusat pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara.


BMW M2 ini juga menerima manfaat daripada kinematik gandar yang baharu, hasil
sumbangan casis yang sebahagian besarnya telah dibangunkan semula dari peringkat asas.
Di samping kelebaran trek tayar yang dipertingkatkan, gandar hadapan dengan sangga spring
bersendi dua dan komponen selangka jentera BMW M2 juga kini diperbuat daripada aluminium untuk menurunkan berat kenderaan ini. Suspensi belakang dengan ciri sambungan berlima juga telah ditambah baik secara signifikan berbanding model yang terdahulu. Mendefinisikan BMW M, BMW M2 turut hadir dengan kejituan stering yang lebih cemerlang, melengkapi sistem pacuan roda belakangnya yang responsif. Kelincahan dan pengendalian yang luar biasa dijamin biarpun dalam kelajuan tinggi – turut disumbang oleh jarak roda jentera ini yang telah dipertingkatkan. Bagi menyempurnakan pengalaman pemanduan berprestasi tinggi yang sebenar, Active M Differential dimuatkan pada gandar belakang, yang membekalkan daya cengkaman tinggi, justeru menjamin tujahan yang lebih baik dan juga selamat dalam apa jua kondisi pemanduan.


Kelengkapan standard yang lain bagi BMW M2 baharu termasuk brek angkup tetap dengan enam piston, Adaptive M Suspension dan juga sistem M Drive Professional. Kemudahan keterhubungan yang optimum dengan Sistem Operasi BMW 8. BMW M2 baharu membawakan BMW Live Cockpit Professional berserta BMW Curved Display secara standard. Kombinasi skrin paparan yang baharu ini meliputi skrin paparan instrumen digital 12.3 inci dan Skrin Paparan Kawalan 14.9 inci. Digandingkan dengan Sistem Operasi BMW 8 terkini yang hadir bersama aneka ‘widget’, pemandu berupaya untuk melihat pelbagai maklumat mengenai kenderaan mereka dipaparkan dalam masa nyata. Di samping itu, sistem multimedia bersepadu dalam BMW Curved Display menawarkan sambungan Bluetooth®/WiFi serta dua port USB untuk pemindahan data dan kemudahan pengecasan peranti mudah alih. Sementara itu, Pengemaskinian Perisian Berjarak Jauh pula memastikan BMW M2 baharu sentiasa memiliki perisian yang terkini. Kemudahan keterhubungan yang lain dalam BMW M2 baharu mencakupi Panggilan Kecemasan Pintar, Telekhidmat, Perkhidmatan ConnectedDrive, Connected Package Professional, Pengintegrasian Telefon Pintar dan Talam Pengecas Tanpa Wayar. Untuk hiburan di dalam kereta, BMW M2 baharu didatangkan dengan sistem pembesar suara HiFi, manakala BMW M2 Pro pula dilengkapi dengan sistem bunyi keliling Harman Kardon. Sebagai kemudahan tambahan, BMW M2 baharu juga membawakan sistem Comfort Access.


Sistem bantuan pemandu yang serba pintar membekalkan para pemilik BMW M2 baharu
sebuah pengalaman pemanduan yang lebih santai dan selamat. Dilengkapi secara standard
ialah Bantuan Memandu, ia mencakupi kemudahan seperti Amaran Pengeluaran Laluan,
Amaran Penukaran Laluan, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek (amaran
perlanggaran dan pejalan kaki dengan fungsi pembrekan bandar), Amaran Perentasan Trafik
Belakang, Pencegahan Perlanggaran Belakang serta info Had Kelajuan dengan Bantuan Had
Kelajuan manual. Turut disertakan bersama ialah Bantuan Memarkir, yang meliputi fungsi
Bantuan Parkir, Kawalan Jarak Parkir Aktif (PDC), Bantuan Mengundur, Bantuan Parkir
Lateral dan Kamera Bantuan Mengundur. Kawalan Luncur dengan Fungsi Pembrekan juga
disediakan secara standard.


Tawaran warna eksterior bagi kedua-dua varian BMW M2 baharu terdiri daripada Zandvoort
Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire, dan Toronto Red, manakala upholsteri
interior disediakan dalam bentuk Leather Vernasca berwarna hitam dengan sorotan eksklusif,
Leather Vernasca dalam warna hitam dengan sulaman berkontras biru dan Leather Vernasca
dalam warna Cognac dengan sulaman dekor.


Anggaran harga runcit (atas jalan, tanpa insurans) bagi BMW M2 baharu dan BMW M2
Pro baharu dengan Pakej Waranti & Servis Lanjutan Bertempoh 5 Tahun ialah:
BMW M2 Baharu RM 598,800.00 .BMW M2 Baharu dengan Pro Package RM 642,800.00
Para pelanggan digalakkan untuk menghubungi wakil pengedar pilihan masing-masing untuk
mendapatkan maklumat lanjut mengenai BMW M2 baharu. Pratempahan dalam talian bagi
BMW M2 baharu kini dibuka melalui https://shop.bmw.com.my/.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *