BMW Motorrad Malaysia Memperkenalkan Barisan Motosikal Terbaharu: BMW S 1000 RR, BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS

Kuala Lumpur, 1 November 2019 – BMW Motorrad Malaysia telah merungkaikan barisan motosikal premium baharu pada hari ini yang terdiri daripada BMW S 1000 RR, BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS untuk Menjadikan Hidup Sebuah Pengembaraan buat para peminat BMW Motorrad di seluruh negara.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Sebagai peneraju industri automotif premium, kami terus berikhtiar untuk menyuntik inovasi ke dalam produk kereta serta motosikal kami untuk mempersembahkan hanya kualiti yang terbaik dari segi kuasa, prestasi dan keefisienan buat para pelanggan kami agar mereka dapat merasakan pengalaman pemanduan dan tunggangan yang lebih baik – sama ada di atas litar lumba mahupun di jalan raya. Portfolio kami yang terdiri daripada motosikal premium terus melakar pencapaian demi pencapaian yang menjadi tanda aras dalam industri permotoran sejak lebih dari satu abad. Hari ini, motosikal premium kami yang terbaharu untuk segmen Sport dan Roadster sedia untuk ditunggang oleh pelanggan-pelanggan kami di Malaysia!”

“Sehingga ke hari ini, kami telah merekodkan lebih daripada 800 unit motosikal BMW Motorrad yang berjaya diserahkan di seluruh negara. Ia bukan sahaja mencerminkan permintaan kukuh ke atas motosikal kami di Malaysia, malah minat warga Malaysia yang semakin berkembang dalam arena permotoran, dan kami berasa teruja untuk menyaksikan lebih ramai warga Malaysia Menjadikan Hidup Sebuah Pengembaraan,” tambah beliau.

Owen Riley, Ketua BMW Motorrad Malaysia sementara itu berkata, “Kelajuan, ketangkasan dan prestasi membentuk asas setiap motosikal BMW Motorrad. Dalam segmen Roadster, barisan motosikal kami dirumus dengan daya tahan yang tinggi; sama seperti motosikal Superbike kami dalam segmen Sport yang memfokuskan kelajuan serta kelincahan, sepertimana ia telah menjurus kepada kemenangan pelumba-pelumba BMW sejak lebih dari sedasawarsa yang lalu, termasuk kemenangan yang dilakar di Alpe Adria International Motorcycle Championship pada September tahun ini. Tiga model baharu yang kami persembahkan pada hari ini pastinya akan terus memberi nafas kepada legasi ini sementara ia merekodkan pencapaiannya yang tersendiri.”

BMW S 1000 RR terbaharu – legenda di atas litar lumba.

Pembangunan baharu dimulakan dari sifar, BMW S 1000 RR terbaharu kini lahir sebagai generasi ketiga. Komponen enjin dan suspensi telah melalui proses pembangunan yang komprehensif untuk kekal menjadi penanda aras dalam sektor superbike, lengkap dengan reka bentuk serba sporty yang mengagumkan.

BMW S 1000 RR didatangkan dengan susun atur baharu pada rangka utamanya – “Flex Frame”, ia membentuk tangki bahan api yang tampak lebih langsing serta seksyen trim ruang tempat duduk untuk membekalkan keselesaan dan sokongan yang lebih baik, termasuk cengkaman untuk bahagian lutut penunggang. Kesemua elemennya direka secara konsisten untuk memastikan prestasi optimum dapat dikecapi dalam apa jua situasi. Sudut hadapan Superbike baharu ini memperlihatkan siluet yang langsing dan diperkemas. Dengan kombinasi seksyen hadapan yang berparas rendah, ia menzahirkan sebuah penampilan yang tampak lebih ringan, dan serba atletik.

Lengkap dengan rungkup yang pendek, tubuh jentera ini berkedudukan di antara roda dengan sepenuhnya, lantas membuahkan siluet Superbike yang paling ‘sporty’ pernah disaksikan. Lampu hadapan yang terintegrasi menampilkan teknologi LED tanpa reflektor, ia menggabungkan cahaya rendah dan tinggi dalam satu elemen yang kompak. Pakej M Sport pula melengkapi BMW S 1000 RR baharu dengan Tempat Duduk M Sport yang eksklusif, serta lampu brek yang mempunyai spesifikasi negara, dan set roda gentian karbon “M” – menyerlahkan lagi penampilan sporty jentera ini.

Hadir dengan tahap prestasi yang baharu, BMW S 1000 RR dikuasakan oleh enjin sebaris 4 silinder yang terkini. Enjin canggih tersebut mempunyai kapasiti berjumlah 999 cc serta output maksimum yang lebih tinggi, berjumlah 152 kW / 207 kk pada paras 13,500 rpm, dengan kelajuan tertinggi melebihi 200 km/j. Jentera baharu ini juga hadir dengan tork yang lebih tinggi, berjumlah 113 Nm pada paras 11,000 rpm, ia mengguna pakai 6.4 liter bahan api bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km. BMW S 1000 RR turut dilengkapi dengan bateri ringan “M” yang bebas penyenggaraan dengan saiz kuasa berjumlah 12 V / 8 Ah. Bukan itu sahaja, BMW S 1000 RR didatangkan dengan BMW ShiftCam Technology yang membekalkan variasi pemasaan injap serta lejang injap pada komponen salur masuk.

Menerusi ruang salur masuk yang dikemas kini, sistem enjin dan ekzos yang lebih ringan menyumbang kepada jumlah berat jentera ini yang dikurangkan daripada 208 kg kepada 193.5 kg, lantas meningkatkan prestasi keseluruhannya. Generasi baharu komponen suspensi elektronik Dynamic Damping Control (DDC) juga merupakan sebahagian daripada motosikal ini. Dibangunkan secara khusus buat BMW S 1000 RR, DDC berkenaan tidak memerlukan sebarang kompromi dari segi penetapan sistem suspensi.

BMW S 1000 RR terbaharu juga didatangkan dengan empat mod tunggangan sebagai standard – “Rain”, “Road”, “Dynamic” dan “Race”. Tambahan lagi, Superbike ini bakal menampilkan “Pro Modes” yang menawarkan tiga lagi mod tunggangan – “Pro 1”, “Pro 2” dan “Pro 3”. Kesemuanya membolehkan adaptasi tersendiri ke atas fungsi-fungsi kawalan dapat dibuat seperti DTC, ABS Pro dan pengesanan “DTC Wheelie”, termasuk keluk pendikit (pelarasan tork) dan Brek Enjin. Kawalan Pelancar (Launch Control) juga disediakan untuk memastikan kenderaan ini dapat dilancarkan dengan sempurna di litar lumba, berserta dengan “Pit Lane Limiter” yang dapat dikonfigurasikan untuk membolehkan kelajuan yang tepat dikecapi di laluan henti. Penukaran gear tinggi dan rendah yang boleh dibuat dengan pantas tanpa klac disumbangkan oleh HP Shift Assistant Pro, yang juga ditawarkan sebagai standard.

Panel instrumen BMW S 1000 RR baharu turut disuai semula, ia menampilkan skrin TFT 6.5 inci yang menawarkan tahap kebolehbacaan yang tinggi – walaupun dalam situasi pencahayaan yang kurang sesuai. Ia dihubungkan dengan “Multi Controller” pada panel bar hendal di sebelah kiri dan ia boleh dioperasikan dengan segera, selamat dan mudah. Skrin paparan yang disuaikan secara peribadi juga menawarkan pelbagai kegunaan kepada penunggang. Skrin “Pure Ride” memaparkan semua informasi yang diperlukan untuk kegunaan lazim di atas jalan raya, manakala tiga skrin “Core” ditujukan untuk digunakan di litar lumba.

Ia dibelakangi oleh rekaan dinamik yang menampilkan warna-warna BMW M. Pelet warna BMW Motorsport merangkumi “Racing Blue”, “Lightwhite” dan “Racing Red” yang menonjolkan DNA perlumbaan BMW M.

Meneroka haluan baharu dengan BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS.

Jentera BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS terbaharu dikuasakan oleh enjin ‘boxer’ yang dibangunkan semula secara signifikan untuk membuahkan kuasa dan tork lebih tinggi – iaitu sebuah kemajuan yang diterajui oleh BMW Motorrad, ia bakal menunjangi industri permotoran pada tahun-tahun yang akan datang.

Hadir dengan reka bentuk Style HP yang rapi, BMW R 1250 R memperlihatkan kualiti jentera Roadster yang lasak bersama kombinasi warna Lightwhite, Racing Blue dan Racing Red. Lightwhite mewarnai rangka utama, pelitup roda hadapan serta ia disinambungkan dengan grafik pada elemen trim di bahagian sisi tangki bahan api, serta di seksyen belakang. Kontras yang tulen diberikan oleh rangka utama dalam warna matte hitam serta set roda tuangan yang disadur dalam warna hitam “Night Black”. Keterampilan serba sporty diserlahkan lagi melalui tiub gelangsar fork (fork slider) bersadur material perak, angkup brek emas, dan spoiler enjin digubah menggunakan keluli tahan karat.

BMW R 1250 RS terbaharu pula hadir dengan “Style Exclusive” yang menampilkan kemasan yang elegan pada bahagian tubuhnya dalam warna biru “Imperial Blue”. Kepala silinder melitupi rangka utama dalam warna kelabu matte “Agate Grey” yang membuahkan kontras yang lebih tajam. Dengan tempat duduk yang menampilkan corak rekaan timbul berwarna hitam pada seksyen belakang, rangka utama yang disadur dalam warna matte hitam memberikan motosikal ini sebuah penampilan yang tampak kemas. Pelitup roda hadapan, elemen trim radiator, trim bahagian atas, pelitup tangki bahan api dan seksyen sisi belakang berwarna Imperial Blue. Sementara itu, angkup brek emas dan tiub gelangsar hadir dalam warna perak. LED lampu tunggangan waktu siang kini ditawarkan sebagai standard bagi kedua-dua jentera ini.

BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS dikuasakan oleh enjin ‘boxer’ dengan kapasiti berjumlah 1,254 cc yang mampu menjana output mencecah 100 kW / 136 kk pada paras 7,750 rpm, serta puncak tork berjumlah 143 Nm pada paras 6,250 rpm.  Enjin baharu tersebut menawarkan kadar emisi yang ditambah baik, ia merekodkan 110 g/km, serta tahap penggunaan bahan api berjumlah 4.75 liter bagi setiap 100 km, disinambungkan dengan profil bunyi yang benar-benar memuaskan. Untuk tujuan ini, BMW ShiftCam Technology digunakan buat pertama kali, ia membekalkan variasi pemasaan injap serta lejang injap pada komponen salur masuk.

Di samping itu, aci sesondol salur masuk kedua-dua model juga direka semula untuk menzahirkan proses pembakaran yang lebih efektif, dan perubahan teknikal seperti pembekalan minyak yang dioptimumkan, injap injeksi dwijet serta sistem ekzos baharu membezakan jentera-jentera ini daripada iterasi model yang terdahulu. Kedua-dua motosikal berkenaan hadir dengan dua mod tunggangan sebagai standard agar motosikal tersebut dapat disesuaikan mengikut kemahuan penunggang. Kawalan Stabiliti Automatik (Automatic Stability Control) yang standard membekalkan tahap keselamatan tunggangan yang tinggi menerusi fungsi cengkaman yang cemerlang. Bantuan Kawalan Permulaan Curam (Hill Start Control) juga merupakan ciri standard, ia membolehkan pengguna jentera ini berhenti dan memulakan perjalanan di bahagian jalan yang curam.

BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS turut dilengkapi dengan “Riding Modes Pro”, ia menampilkan mod tunggangan tambahan, “Dynamic” dan “Dynamic Pro”, serta Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control atau “DTC”) yang membekalkan kadar pecutan yang lebih efisien dan selamat, khususnya Kawalan Brek Dinamik (Dynamic Brake Control) yang menawarkan ciri-ciri keselamatan tambahan ketika membrek dengan mengelakkan pecutan secara tidak sengaja daripada diaktifkan.

Kedua-dua jentera tersebut kini membawakan “Connectivity” sebagai kelengkapan standard, sebuah kluster instrumen multifungsi dengan skrin TFT 6.5” berwarna penuh. Menerusi BMW Motorrad Multi-Controller, ia bermakna penunggang boleh mengakses fungsi kenderaan dan keterhubungan dengan segera dan mudah. BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS turut dilengkapi dengan fungsi Tunggangan Tanpa Kunci (Keyless Ride) agar para pengguna dapat mengamati sebuah pengalaman yang serba baharu dan menyenangkan.

Dengan pelancaran kedua-dua model ini, BMW Motorrad telah melengkapkan perungkaian enjin 1,250 cc yang baharu dengan BMW ShiftCam Technology ke dalam pasaran.

Perkhidmatan Pembiayaan.

Dengan Pelan Pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan BMW S 1000 R terbaharu bermula daripada RM1,690.00 setiap bulan, BMW R 1250 R terbaharu bermula daripada RM 1,250.00 setiap bulan, dan BMW R 1250 RS terbaharu bermula daripada RM 1,300.00 setiap bulan. Angka yang dinyatakan ini adalah berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh 4 tahun.

Para pemilik juga boleh menikmati manfaat-manfaat tambahan dengan rangkaian servis baharu yang terkemuka seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Program Lanjutan Waranti yang ditawarkan oleh BMW Motorrad Malaysia. Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati di https://www.bmwmotorrad.com.my/en/service/services/warranty.html.

Harga jualan (di atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti Terbaharu Bertempoh 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) motosikal-motosikal BMW Motorrad yang terbaharu ialah:

BMW S 1000 RR Terbaharu           :           RM138,500.00

BMW R 1250 R Terbaharu              :           RM102,500.00

BMW R 1250 RS Terbaharu           :           RM106,500.00

GALERI