Di pasaran motosikal berkuasa tinggi di Malaysia sekarang, “naked bike” atau motosikal yang tidak mempunyai fairing adalah antara gaya yang menjadi pilihan penunggang kerana ia menonjolkan rekaan enjin jentera itu dan kedudukan menunggang yang tidak terlalu menunduk.

Menunggang motosikal sebegini adalah lebih selesa dan lebih mudah dikawal ke mana-mana destinasi. Kalau sebelum ini Mr. Stick ENJIN DOTcom menguji BMW S1000RR, kali ini sebuah lagi model BMW diuji iaitu BMW S1000R. Perbezaan pada reka bentuknya adalah dengan ketiadaan fairing penuh sahaja, selebihnya adalah hampir sama dengan kembarnya BMW S1000RR.

Apabila mula-mula mendapat motosikal ini, agak berbeza perasaannya kerana menunggang sebuah jentera “supersport” yang “ditelanjangkan”. Kuasa dan tindak balasnya tidak banyak perbezaan, cuma BMW S1000RR lebih agresif kerana ia adalah sebuah “supersport” dengan gaya tunggangan yang berbeza.

Seronok sebenarnya menunggang jentera “naked bike” yang mempunyai kuasa sebegini bagi yang berpengalaman kerana sesekali kita akan merasakan “panggilan” untuk menunggang BMW S1000R ini secara agresif di jalan-jalan yang sunyi dan melayan selekoh dengan aman, tanpa merasa sakit pada pergelangan tangan dan pinggang. Ini terbukti apabila Mr. Stick mengujinya di jalan Kuala Klawang dan Bukit Tinggi, sukar nak dilepaskan.

Seharian menunggang sebuah jentera seperti ini tidak meletihkan sebenarnya jika kita pandai mengawal kelajuan dan kesesuaian cara menunggang terutamanya di dalam bandar. Nampak je berat tetapi apabila ditunggang dengan gaya yang tidak terlalu membongkok ia terasa mudah dengan pakej kuasa dan kelajuan dari BMW walaupun dalam kesesakan jalan raya. Kalau Mr. Stick, dia rasa seolah-olah menunggang sebuah supercub dicelah-celah kenderaan sambil menyanyi lagu “Rasa Sayang”…

Degupan jantung anda terasa seperti bersambung terus dengan takometer tatkala menunggang BMW S1000R. Itu yang dapat dirasakan apabila menunggang “naked bike” ini. BMW S1000R adalah jentera untuk anda guna secara harian dan boleh memenuhi pelbagai keperluan dan pada masa yang sama dapat memaksimumkan keseronokan dan menjadi agresif bila tiba waktu yang sesuai seperti menunggang di hari minggu. Enjinnya boleh menjadi galak dengan kuasa setinggi 121kW (165HP) yang membuatkan Mr. Stick tersenyum setiap kali menunggang sambil melihat dibelakangnya, sahabat kami “Dole” yang ketinggalan. Deruman yang mengasyikkan terhasil dari ekzos HP Titanium yang hadir standard bersama BMW S1000R.

BMW S1000R hadir dengan dua mod menunggang sebagai standard: “Rain” dan “Street”. Mod “Rain” memberikan kawalan pendikit yang lembut dan sistem ABS dan ASC disesuaikan dengan permukaan jalan basah. Sementara itu, mod “Street” mengoptimumkan tindak balas pendikit, sistem ABS dan ASC bagi tunggangan di atas jalan raya yang kering. Sebagai pilihan tambahan, anda boleh mempunyai dua mod tambahan: “Dynamic” dan “Dynamic Pro”. Sistem ABS Pro memberikan anda peluang kepada penunggang untuk menggunakan brek lewat yang sempurna walaupun ketika motor condong di dalam selekoh. Sistem DTC, membantu melancarkan kawalan dan sebagai sistem “pit lane limiter”.

Jadi, jika anda inginkan sebuah jentera yang boleh bersiar-siar dan sesekali ingin beraksi seperti juara, BMW S1000R mungkin anda boleh cuba dan alami keseronokan menunggangnya di jalan raya, di hari minggu bersama-sama kawan atau sebagai kegunaan harian anda. Mr. Stick pun pada mulanya jatuh hati dengan keupayaan jentera ini, tetapi disebabkan jiwa kelajuannya, hati beliau lebih berat kepada BMW S1000RR. Akan tetapi, sesebuah jentera itu ada kelebihan dan kesesuaian kepada setiap penunggang. BMW S1000R adalah jentera yang mempunyai ciri-ciri ini, santai dan agresif.

BMW S1000R berharga sekitar RM92,000 (tanpa insurans dan cukai jalan) di pasaran Malaysia. Ia sebuah model yang boleh dipertimbangkan untuk dimiliki dengan mengambil kira jenama yang terkenal dengan prestij dan kualiti. Bila balik kampung dan orang tanya balik naik apa? Jawapannya sungguh menyakinkan… “BMW”.

Sila “like” & “share” Facebook ENJIN DOTcom & “follow” kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai “see first” di FB anda!

#bmwmalaysia #bmw #bmwmotorrad #s1000r #enjindotcom #makelifearide #everydayadventure

GALERI