CFmoto 250 SR Serba Baharu

Kecil-kecil cili padi, itulah yang admin rasa dengan jentera CFMOTO 250cc ini. Hadir dengan reka bentuk yang menarik, jentera ini dijangka boleh pergi jauh dalam industri permotoran negara kita memfokuskan mereka yang meminati dan baru berjinak-jinak dengan motosikal “supersport”. Motosikal ini dikeluarkan oleh Zhejiang CFMOTO Power Co. Ltd. di China dan dipasang dan dipasarkan di Malaysia oleh KTNS Holdings. Dua versi dihasilkan bagi model ini iaitu Limited Edition dengan harga RM17,000.00 dan standard, RM15,000.00.

Agak lama juga admin tak bawa motosikal “sport” atau tunduk, semenjak PKP bermula sebenarnya. Kebiasaannya motosikal begini agak seronok jika ia ditunggang dengan agresif terutamanya di jalan berselekoh. Bukan menunggang seperti penunggang MotoGP, cukup sekadar mengikut keupayaan diri dan kesesuaian keadaan jalan raya. Yang pasti, keseronokan melayan jentera sebegini dengan kuasa yang mudah dan mampu dikawal dengan baik. Walaupun CFMOTO 250 SR ini dikuasai dengan enjin 249.2cc silinder tunggal, DOHC dengan sejukan cecair yang menghasilkan 28PS pada 9,750rpm dan 22Nm pada 7,500 rpm yang dihantar ke roda belakang melalui kotak gear 6 kelajuan, ia adalah memadai dengan saiz dan reka bentuknya.

Mula-mula menguji jentera ini, admin tidak mengharapkan apa-apa yang istimewa dengan model ini. Maklumlah, kerja pun menguji bermacam-macam jenis motosikal baik kecil atau besar, dengan sesaran enjin 250cc sahaja admin tidak mengharapkan sesuatu yang “WOW!”. Tetapi jangkaan ini ternyata meleset. Motosikal cilik ini memang “WOW!” dari segi keseronokan menunggang terutamanya bila di selekoh, dengan bersahaja kita boleh melayannya. Menarik! Tak goyang, cuma brek sahaja perlu diperbaiki terutamanya brek bahagian hadapan yang kurang daya pemberhentian seperti yang diharapkan daripada sebuah motosikal “supersport”. Bagi sebuah jentera 250cc, anda akan mendapat pakej reka bentuk menarik dan pengendalian yang mantap terutamanya untuk mereka yang gemarkan gaya tunggangan agresif jentera “supersport”. Cuma admin tak berani nak komen daripada segi ketahanan enjin kerana motosikal ini baru sahaja berada di pasaran Malaysia. Menunggang di lebuhraya pula amat selesa. Sesekali ia boleh mececah kelajuan 155km/j dan ini sudah memadai untuk kelajuan di jalan lurus bagi jentera seperti ini.

Reka bentuknya yang padat dan ramping membuatkan agak mudah untuk mengawalnya walaupun di dalam kesesakan jalan raya terutamanya di bandar lebih-lebih lagi di waktu puncak. Harus diingat ini bukan sebuah “superbike” yang nak di”pepah” kata bahasa bebudak hari ini hingga ke tahap maksimum. Pengalaman menunggang jentera ini sudah cukup membuatkan anda puas menyusuri jalan raya terutamanya di selekoh-selekoh dengan penuh yakin, itu yang penting. Anda akan teruja dengan pengendalian CFMoto 250SR ini, setaraf dengan jentera dari Jepun dalam segmen yang sama. Antara strategi yang boleh mengukuhkan dan menaikkan nama jentera ini di kalangan peminat motosikal adalah dengan meletakkan ia di arena perlumbaan Malaysia dan bersaing dengan jentera-jentera seperti Yamaha R25, Kawasaki Ninja 250 dan KTM RC 250 yang mendominasi trek perlumbaan kini. Admin nak juga lihat model ini memasuki perlumbaan dan melihat kekuatan serta kecemerlangan jentera ini di arena perlumbaan. Melihat kepada keupayaan dan pengendalian jentera ini, ia mampu memberi saingan jika betul-betul serius.