HERO REMAJA DALAM MISI MENYESELESAIKAN MASALAH ALAM SEKITAR

Putrajaya, 22 Ogos 2019 — UMW Toyota Motor hari ini melancarkan program Toyota Eco Youth 2019 dengan matlamat untuk mendidik pelajar-pelajar berkaitan pemuliharaan alam sekitar. Dalam masa yang sama, ia juga bertujuan untuk melatih mereka menjadi pelopor dalam usaha-usaha perlindungan alam sekitar ke arah kualiti hidup yang lebih baik.

Memberikan pendedahan dan peluang adalah perkara penting untuk membina sebuah masyarakat yang mempunyai kesedaran alam sekitar di masa hadapan. Dengan ini, UMW Toyota Motor menganjurkan program Toyota Eco Youth (TEY) sejak 2001, yang merupakan satu usaha sama antara syarikat dengan kementerian pendidikan. TEY bermatlamat untuk memupuk peri pentingnya pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda, agar mereka terus konsisten dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan kelestariannya di masa hadapan.

Ikut serta di dalam usaha ini ialah myHarapan, yang akan menjadi rakan sekerja bagi TEY 2019.

Sebagai sebahagian daripada usaha global, Toyota Motor Corporation telah memperkenalkan Toyota Environmental Challenge 2050 dengan sasaran untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida, mengoptimumkan sumber air serta mewujudkan masyarakat yang giat mengitar semula dengan budaya yang lebih mesra terhadap bumi.

Perlindungan alam sekitar adalah komponen utama di dalam aktiviti tanggungjawab sosial UMW Toyota Motor dan pendidikan alam sekitar ini dibangun untuk menggalakkan remaja menjadi pelopor kepada usaha-usaha pemuliharaan habitat kita untuk mewujudkan kehidupan lebih berkualiti. Syarikat juga telah membelanjakan hampir RM7 juta untuk program ini sejak 2001.

Tema untuk tahun ini,”Menjadi Superhero Untuk Selamatkan Dunia” akan mengadunkan idea yang selari dengan perubahan pantas dunia digital hari ini dan menerajui keperluan untuk melahirkan kepimpinan berkesan sebagai pelindung kepada alam sekitar.

Menggariskan kepentingan siri penganjuran TEY ini, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata; “Usaha kami untuk menjayakan acara ini secara tahunan menunjukkan komitmen berterusan terhadap kepentingan untuk mendidik remaja bagi menggalas tanggungjawab dan bertindak sewajarnya untuk melindungi dan melestarikan alam sekitar.”

Beliau juga menambah; “UMW Toyota Motor telah mengambil beberapa langkah di kemudahan pengeluaran kami untuk mengurangkan jejak karbon. Mengurangkan pembebasan karbon merupakan langkah penting di dalam menghindari pemanasan global. Apa yang dipelajari oleh peserta di dalam program ini akan menjadi sangat berguna kepada mereka di masa hadapan kelak.”

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Gazali Bin Abas yang turut hadir dalam majlis sama turut menyokong pandangan berkenaan. “Kami selalu percaya pendidikan sangat penting. Kementerian Pendidikan sendiri telah banyak meletakkan kurikulum dan dasar yang memberi keutamaan untuk membangunkan siasah individu pelajar yang seimbang; berpengetahuan, beretika, berkemahiran dan bertanggungjawab dengan matlamat untuk mengetengahkan keupayaan berfikir yang kritis berbanding sekadar pembelajaran hafalan.”

Beliau turut menyatakan, program TEY selari dengan aspirasi kementerian serta penglibatan pelajar di dalam projek ini tidak hanya akan memberikan kesedaran, tetapi turut membantu menunjukkan pendekatan secara praktikal bagi teknik penyelesaian masalah cara Toyota.

Penyertaan bagi program ini terbuka kepada semua sekolah di seluruh Malaysia, termasuk sekolah swasta dan antarabangsa.

12 sekolah telah dipilih berdasarkan serahan video berkaitan pemeliharaan alam sekitar yang telah dihantar. Pelajar-pelajar dari semua sekolah ini akan mengikuti sesi bengkel selama tiga hari, untuk diberi pendedahan terhadap Kaedah Penyelesaian Masalah Toyota yang terkenal diseluruh dunia. Program ini bertujuan untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran dan ikhtiar hidup yang bernilai dan bermanfaat untuk digunakan sepanjang hayat.

Setiap pasukan dari sekolah terbabit akan diberikan masa tiga bulan untuk melengkapkan usaha berkaitan alam sekitar mereka serta cadangan projek dengan perbelanjaan sebanyak RM2,000 diberikan untuk memulakan projek.

Perjalanan projek itu pula akan ditinjau dan dinilai secara berterusan oleh pasukan khas dari UMW Toyota, yang akan memutuskan pemenang peringkat akhir pada penghujung tempoh program ini November 2019 nanti. Pasukan yang menang akan membawa pulang hadiah wang tunai menarik seperti berikut; tempat pertama ditawarkan hadiah wang tunai RM10,000, diikuti RM7,000 untuk tempat kedua, RM4,000 untuk tempat ketiga, RM2,000 untuk tempat keempat manakala hadiah saguhati pula bernilai RM1,000. RM500 juga masing-masing akan akan diberikan bagi setiap persembahan video terbaik dan juga guru sokongan terbaik