Honda CB500F. Permulaan untuk orang baru

Tak tahu nak komplen apa mengenai Honda CB500F. Pertama kali bila diuji, dirasakan bagai ada chemistry yang menarik. Bagi mereka yang mula berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi, Honda CB500F boleh dikatakan antara pilihan yang sesuai kerana ia sebuah jentera yang mudah tetapi selesa untuk ke mana jua destinasi.

Pengendaliannya cukup mudah dan agak selesa ditunggang kemana sahaja yang kita mahu. Ini kerana kuasa yang dihasilkan enjinnya tidak begitu agresif seperti abangnya – CBR. Yelah, tak semua orang mampu mengendalikan motor berkuasa tinggi dengan baik dan cekap tetapi CB500F ni lain. Rasa cukup yakin dengan pengendaliannya, macam dah ada pengalaman bertahun-tahun dengan dia.

Dengan kedudukan menunggang klasik, anda akan menghargai posisi menunggang CB500F. Anda boleh duduk tegak, tanpa lengan anda menyokong berat badan secara berlebihan. Ia adalah pilihan yang tepat apabila anda menunggang di sekitar bandar atau berulang-alik ke tempat kerja. Posisi penumpang juga cukup selesa dan tidak memenatkan.

CB500F amat mesra pengguna kerana tidak mempunyai sistem yang rumit. Dari enjin yang mudah diselenggara sehinggalah ke panel meter dan suspensi yang selesa membuatkan kita rasa nak ride lebih kerap. Cuma satu je, bila dah pakai helmet full face, hampir tidak kedengaran bunyi enjin CB500F ini. Maknanya bila kita sampai ke rumah, jiran sebelah pun tak sedar bila kita balik. Aman je kawasan kejiranan kita.

Honda CB500F dikuasai oleh enjin dua silinder berkembar selari 471cc sejukan cecair, DOHC 8 injap serta gear 6 kelajuan pacuan akhir dengan rantai. Rangka pula dari tubular steel diamond dengan box section swingarm. Tangkinya boleh mengisi 16.7 liter petrol, cukup untuk perjalanan tanpa henti bagi mengisi semula dengan kerap. Ketinggian CB500F pula adalah 785mm, sesuai bagi kebanyakan penunggang Asia khususnya di Malaysia dan berat motosikal ini lebih kurang 190kg, cukup mudah dikawal terutama di dalam bandar yang sibuk.

Bila bercakap tentang ongkos, pelaburan permulaan untuk memilikinya juga tidak membebankan dengan harga yang di tawarkan bagi model tahun 2018 dari RM31,363.00 dengan 2 tahun jaminan atau 20,000 kilometer, yang mana terdahulu. Mampu milik bagi mereka yang meinginkan pengalaman dalam mengendali motor berkuasa tinggi. Bila dah mahir, boleh lah mike beralih ke motor yang lebih besor ye.

#boonsiewhonda #hondamalaysia #cb500f #enjindotcom #thepowerofdreams