Dalam keadaan ekonomi yang kurang menentu ini, pasti ramai yang tidak mampu untuk membeli rumah berhampiran dengan bandaraya Kuala Lumpur. Kalau ada pun, rumah yang kecil dan mahal. Oleh sebab itu ramai yang memilih menetap luar dari Kuala Lumpur atau pusat bandar yang harga rumahnya mungkin rendah sedikit dan besar.

Maka bermulalah episod mengira dan mencongak kos perjalanan pula. Minyak, tol, penyelenggaraan kenderaan dan lain-lain, aduh pening juga ditambah dengan masa perjalanan dan stress menghadapi jem lagi jika memandu. Pi mai pi mai, tang tu juga. Naik kapcai, sakit belakang katanya. Jadi tak hairanlah jika di jalan raya kita sekarang sudah banyak kelihatan skuter berkapasiti sederhana besar di antara 200cc hingga 400cc.

Antara skuter yang perlu diberi perhatian ialah Honda NSS 300. Jenama Honda memang terkenal dalam menghasilkan kenderaan yang selesa dan enjin yang berkuasa. Tidak hairanlah apabila menunggang skuter NSS 300 ini, akan terasa keselesaan dan ketenteramannya seperti memandu sebuah Honda Accord versi dua roda. Dengan kedudukan penunggang yang rendah dan tempat duduk yang lebar, ia adalah yang terbaik dalam kelasnya. Sesuai sangat jika kita travel jarak jauh untuk ke tempat kerja.

Apabila kita menunggang dalam kawasan bandar dengan NSS 300 ini, kawalannya adalah mudah walaupun fizikalnya kelihatan besar. Stabil dalam kelajuan perlahan, tak stress nak mencilok kata orang muda. Jadi, kita akan sampai ke tempat kerja dalam keadaan lebih fresh dan tidak serabut akibat kepenatan. Admin berpendapat, NSS 300 sungguh sesuai dalam apa jua keadaan trafik.

Dari segi penggunaan minyak, ia sungguh menjimatkan bagi sebuah skuter dalam kelasnya. Jarak perjalanan boleh mencapai sehingga 30.8 km bagi penggunaan setiap 1 liter petrol. Jadi takdelah terkejut sangat dengan perubahan harga minyak sekarang ni. Enjin NSS 300 yang berkapasiti 279cc boleh memecut dari 0 hingga 100km dalam masa 11 saat. Puas hati bukan?

Enjin sejukan cecair, 279cc dengan empat injap menghasilkan 25 HP pada 7,500 rpm dan 26 Nm tork pada 5,000 rpm. Dengan pengurusan bahan api oleh sistem PGM-Fi Honda, NSS 300 membawa bahan bakarnya dalam tangki berkapasiti 11.6 liter. Ketinggian tempat duduk adalah 716mm dari tanah dan berat keseluruhan NSS 300 ini ialah 194 kg.

Pendek kata Honda NSS 300 ini adalah skuter yang sesuai untuk perjalanan di dalam bandar dan juga di lebuh raya. Memang enjoy!

Honda NSS 300 untuk pasaran Malaysia hadir dengan warna Candy Caribbean Blue, Pearl Himalaya White dan juga Seal Silver Metallic dan berharga dari RM30,727.00 dengan jaminan 2 tahun atau 20,000 km, yang mana terdahulu.

#boonsiewhonda #nss300 #enjindotcom #thepowerofdreams

GALERI