Kawasaki Vulcan 900

Pengalaman dalam menunggang berbagai jenis motosikal membuatkan kita beroleh pengalaman dan peluang untuk lebih mengenali sesebuah jentera itu. Kadangkala akan ada juga detik sukar untuk membiasakan diri seketika dengan sesebuah jentera kerana saiz, kuasa enjin dan jenis motosikal itu sendiri. Tambahan pula, bukan semua motosikal itu sesuai dengan gaya dan kebiasaan dalam tunggangan harian kita dan juga kecenderungan minat peribadi terhadap jenis motosikal itu. Dilema inilah yang terjadi kepada admin. Tetapi atas tuntutan tugas sebagai penghebah dunia automotif di media sosial ini dan juga sebagai seorang peminat motosikal, diberi pula peluang untuk menguji berbagai jenis jentera, admin kena la pandai-pandai biasakan diri. Minat admin adalah lebih kepada jentera superbike dan bila diberi peluang untuk menguji sebuah model santai (cruiser) seperti Kawasaki Vulcan 900 Classic ini, terasa perwatakan diri perlu berubah mengikut kesesuaian jentera yang diuji. Bukannya admin tak pernah menunggang model seperti ini, tetapi pemahaman konsep dan cara tunggangan sebuah easy rider seperti motosikal Harley Davidson adalah amat perlu kerana ia berbeza. Ini adalah kali kedua admin berpeluang menguji Kawasaki VN900 selepas kali pertama adalah sewaktu pelancarannya dahulu khas untuk wakil media. Kawasaki mencipta model Vulcan pada tahun 1984 dalam usaha untuk memasuki pasaran motosikal crusier Amerika dan berterusan sehingga kini. Model-model itu terdiri daripada tiga model bruiser boulevard, 900 Classic, 900 Classic LT dan 900 Custom. Walaupun nampak lebar dan besar terutama dari segi rekaan hendalnya, yang boleh membuatkan sesiapa yang tidak biasa merasa kurang yakin apabila menunggang. Kedudukan motosikal ini yang rendah dan kaki mudah diletakkan di atas jalan, menjadikan ia agak mudah bagi kita untuk mengawalnya. Kita tidak terjingkit-jingkit mencari sudut menegakkan dan mengimbangi motosikal lebih-lebih lagi di permukaan jalan yang tidak rata atau berbukit. Keadaan sukar yang sering kali dihadapi oleh penunggang yang mempunyai ketinggian rendah.

Admin sempat membawa Kawasaki Vulcan ini menyusuri jalan raya yang popular bagi kaki-kaki motosikal di sekitar Lembah Klang, iaitu di Lebuhraya Karak hingga ke Temerloh untuk merasai keselesaan menunggang sebuah cruiser. Di permulaan perjalanan, ia santai dan tidak mendatangkan apa-apa masalah untuk menunggang serta mengawal motosikal ini. Kelajuan antara 110km/j – 135km/j adalah cukup memadai, lancar menyusuri setiap jalan dan arah yang kita fokuskan. Satu perkara sahaja yang agak menganggu ketika menunggang motosikal ini jika kelajuannya meningkat secara berterusan. Kita akan terasa tamparan angin kuat bukan sahaja ke muka dan badan kita, tetapi juga ke kelangkang!!! Sebab tu le motosikal ini dinamakan motor kangkang, ia berjaya membuatkan admin rasa terseksa. Seperti yang admin tulis di atas, kita kena faham konsep sesebuah motosikal itu dibina. Bukan semua motosikal dibina untuk kelajuan dan ditunggang secara agresif, termasuk Kawasaki Vulcan ini. Jangan sesekali anda menunggangnya seperti menunggang sebuah superbike berkelajuan cahaya! Bagi penunggang yang gemarkan perjalanan jarak jauh, lari dari kesesakan bandaraya, Vulcan ini mungkin pilihan yang patut anda cuba. Jika anda adalah jenis penunggang yang suka melakukan perjalanan berterusan dari titik A ke Z tanpa henti, lupakan sahaja motosikal jenis crusier ini. Kawasaki Vulcan 900 adalah motosikal yang santai dan seronok jika perjalanan anda akan berhenti di setiap kawasan menarik sambil menghayati pemandangan sepanjang perjalanan yang anda tempuhi. Kawasaki Vulcan 900 Classic adalah sebuah motosikal yang ideal dengan tork yang banyak, mudah digerakkan walaupun beratnya 282 kg kerana pusat gravitinya yang rendah. Tak perlu tergesa-gesa bila menunggang motosikal ini dan anda pasti boleh menunggangnya di celah-celah kesesakan lalulintas. Ini bukan sebuah motosikal yang anda perlu tunggang secara agresif.

Ini tidak bermakna Kawasaki Vulcan 900 ini tidak sesuai ditunggang di dalam bandar. Boleh saja jika anda penunggang kental cuma ia tidak selancar menunggang sebuah moped. Menunggang sebuah crusier lebih kepada gaya dan personaliti seseorang itu. Kawasaki Vulcan ini pun tak terlepas daripada identiti ini, anda secara automatik akan berada di alam lain dengan santai menunggang sebuah motosikal cruiser. Kebanjiran pasaran dengan motosikal model baharu sedikit sebanyak menunjukkan permintaan dan kecenderungan peminat motosikal memilih model atau jenama yang menarik, terutamanya untuk memilih model crusier sebegini.

Model VN900B adalah model crusier dengan gaya boulevard, sama seperti penampilan Harley-Davidson Softail Deluxe atau Fat Boy. Ia dikuasai oleh enjin V-Twin sejukan cecair 903 cc, SOHC dengan 8 injap yang menghasilkan kuasa maksimum 50 PS pada 5,700 RPM dan tork 78 Nm pada 3,700 RPM dengan kotak gear lima kelajuan. Ia mempunyai panjang 97.0 inci (2.46 m) dengan jarak roda 64.8 inci (1.65 m) dan memiliki ketinggian pelana dari tanah, 26.8 inci (680 mm). Ukuran tayar hadapan ialah 130/90-16M/C (67H) dan belakang 180/70-15M/C (76H), sesuai buat sebuah crusier bersaiz sebegini.

Peralatan standard lain yang datang bersama Kawasaki VN900 juga ialah tangki bahan api 20 liter (yang terbesar di dalam kelasnya), papan lantai, brek cakera depan dan belakang, suntikan bahan api elektronik dan tali sawat untuk pacuan akhir. Tangki bahan api Kawasaki VN900 mempunyai rekaan yang sangat curvaceous dan dipadankan dengan meter paparan LCD pelbagai fungsi bersama dengan speedometer dan tolok bahan api. Harga yang ditawarkan oleh Kawasaki adalah bermula dari RM49,998.00 tanpa insurans dan cukai jalan.