MINI Malaysia Memperkenalkan MINI Electric Generasi Terkini.

Kuala Lumpur, 2 Jun 2021 – MINI, jenama automotif premium kompak yang tercanggih di Malaysia telah memperkenalkan MINI Electric yang baharu pada hari ini, ia didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri kefungsian moden serta bahasa reka bentuk yang menawan, sekali gus meluaskan lagi portfolio kenderaan elektrik MINI di dalam negara.

“MINI sinonim dengan cita, dan dengan cita ini kami mempersembahkan varian MINI Electric terbaharu yang buat julung kalinya diperkenalkan di Malaysia pada pertengahan bulan Ogos tahun lalu. Ia telah menjadi ikon portfolio MINI, dan kami berbesar hati untuk menyaksikan model ini menggarap kejayaan di Malaysia. MINI Electric baharu merupakan generasi kenderaan MINI yang seterusnya, ia akan menerapkan bahasa reka bentuk yang lebih progresif dan pada masa yang sama, masih menjiwai daya tarikan dan sejarah jenama ini,” ujar Hans de Visser Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

“Lebih daripada 250 kenderaan berelektrik MINI berjaya diserahkan sejak portfolio MINI berelektrik diperkenalkan di peringkat tempatan menerusi MINI Countryman Plug-In Hybrid pada tahun 2018. MINI Electric dengan sendirinya mencakupi lebih daripada 30 unit kenderaan yang telah menemui pemilik baharu sejurus ia dilancarkan pada tahun lalu. Ia merupakan sebuah kemenangan mobiliti elektro buat kita semua di MINI Malaysia, ia menunjukkan para pengguna semakin cenderung ke arah mobiliti elektro di dalam negara, serta turut membidik ke arah kenaikan penerimagunaannya dalam tempoh yang akan datang,” tambah de Visser.

MINI Electric baharu membawakan bahasa reka bentuk yang lebih segar, ia melambangkan peralihan MINI ke generasi yang seterusnya, sambil mengekalkan DNA MINI yang menjadikan jenama ini benar-benar ikonik. Kini disediakan dengan pelbagai kelengkapan sebagai standard, MINI Electric baharu juga tampil bersama varian-varian MINI 3 Door, MINI 5 Door dan MINI Convertible yang terkini – sedia untuk membawakan sensasi pemanduan ala go-kart yang sinonim dengan jenama ini.

Mobiliti bersifat lestari untuk semua.

MINI Electric yang terkini hadir dengan iras yang lebih segar tanpa mengkompromikan salasilahnya. Model ini menampilkan bampar hadapan baharu yang telah menggantikan lampu kabus dengan tirai udara untuk menaik taraf ciri aerodinamik. Wajah MINI Electric ini mempamerkan Jata S baharu yang berwarna kuning, ia menggantikan Jata E yang pernah digunakan sebelum ini. Palang keselamatan terletak di bampar hadapan dengan rona yang sama seperti tubuh jentera ini, manakala sebuah lingkaran yang berwarna hitam kini menyerlahkan komponen gril radiator yang berbentuk heksagon.

Lampu hadapan LED Adaptif (Adaptive LED) dengan Fungsi Matriks (Matrix Functionality) kini ditawarkan dengan perumah dalaman yang berwarna hitam berglos tinggi; dan MINI Electric baharu menampilkan ketutup sisi moden yang turut merangkumi indikator LED serta sisipan khas ‘Electric’.

Di seksyen belakang, pintu but yang sebelum ini berwarna Vigorous Grey digantikan dengan warna hitam, manakala bampar belakang mengekalkan gubahan yang asal. MINI Elektrik baharu masih didatangkan dengan set roda 17 inci dalam dwitona MINI Electric Power Spoke serta tayar ‘run flat’.

Keterujaan maksima, bebas karbon.

MINI Electric dikuasakan oleh versi motor elektrik segerak berkuasa tinggi yang dibangunkan oleh BMW Group – enjin elektrik gandar hadapan yang mampu menjana 135 kw/184 kk, termasuk unit bateri 12 modul berbentuk T dengan kapasiti bersih berjumlah 28.9 kWj. MINI Electric baharu turut membawakan puncak tork bernilai 270 Nm yang sama seperti model terdahulu, dan ia mempunyai emisi karbon sifar, selain mengguna pakai 17.6 – 15.2 kWj bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km. MINI berelektrik ini menawarkan kelajuan tertinggi mencecah 150 km/j dan mempunyai jarak operasi sejauh 232 km (WLTP). MINI Electric baharu juga mampu membuat pecutan abad dalam masa 7.3 saat.

Jentera ini terus menawarkan pelbagai alternatif pengecasan, sama ada di rumah mahupun fasiliti pengecasan awam. Ketika mengecas di stesen pengecasan DC, MINI Electric baharu hanya memerlukan kira-kira 36 minit untuk dicas dari kapasiti bateri sifar sehingga 80%. MINI Wallbox Plus menawarkan pengecasan sehingga 80% dalam tempoh dua jam setengah, sama seperti di stesen pengecasan AC awam. Progres pengecasan MINI Electric boleh dilihat dari bahagian dalam komponen penutup titik pengecasan, di Kluster Instrumen Digital (Digital Instrument Cluster) atau melalui MINI App.

Moden, menawan, praktikal.

MINI Electric baharu menawarkan bahasa reka bentuk interior yang lebih segar dengan geometri panel dekor di ruang kokpit yang kelihatan melandai secara horizontal menerusi trim dekor yang bersaiz besar. Pemandu dialukan dengan stereng berpenampilan baharu yang mempunyai ruji mendatar, serta butang multifungsi yang diintegrasikan pada permukaan rata dengan kemasan Piano Black.

Ciri-ciri baharu yang lain meliputi lohong udara dalam dan luar yang diintegrasikan dengan fasia kokpit, pencahayaan ambien baharu dalam bentuk lembaran lampu yang menyoroti geometri ruang interior, termasuk dekor bezel pintu dalam warna Piano Black, serta MINI Controller dalam kemasan yang juga berwarna hitam.

Rekaan panel hitam yang baharu untuk panel instrumen sentral turut dicerminkan pada MINI Navigation System 8.8 inci yang lengkap dengan MINI Connected, ia mengandungi fungsi-fungsi seperti Servis Rencam (Concierge Services), di samping Telekhidmat (Teleservices), Servis Jarak Jauh (Remote Services), Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call), MINI Dalam Talian (MINI Online) dan Apple CarPlay. Kenderaan ini juga membawakan Papar Pandu MINI (MINI Head Up Display) dan Sistem Bunyi 360 watt dengan 12 pembesar suara oleh Harman Kardon.

Fungsi keterhubungan, audio dan navigasi yang canggih juga disediakan untuk MINI Electric baharu dengan Kluster Instrumen Digital. Ia mampu memaparkan maklumat penting berkenaan dengan status pengecasan kenderaan seperti waktu berbaki, peratusan pengecasan, jarak operasi berbaki, suhu di luar kenderaan, berserta dengan Mod Pemanduan MINI (MINI Driving Mode) semasa.

Kepintaran digital, pembantu serba boleh.

MINI eDrive yang ditawarkan sebagai standard merupakan ciri teknologi canggih dalam MINI Electric – ia membolehkan kereta ini dipandu dengan lancar menerusi servis dan fungsi digital pintar. Green Driving Assistant (GDA) membekalkan fungsi yang bermanfaat seperti Pembantu Jarak Operasi (Range Assistant) yang menyediakan pelbagai solusi kepada pemandu ketika ketandusan bateri, maka pengguna boleh berlapang dada. Ia juga boleh menyarankan laluan yang lebih efisien (Green Route), mod pemanduan atau stesen pengecasan yang terdekat, agar pemandu dapat sampai ke destinasi masing-masing. Lingkungan jarak operasi juga akan memaparkan jarak bagi mod pemanduan yang dipilih pada peta navigasi.

Di samping itu, aplikasi MINI App yang baharu menawarkan MINI Electric sebuah pengalaman kepenggunaan yang lebih canggih, lantas melengkapi gaya hidup digital pemandu dan membolehkan mereka mengakses jentera MINI masing-masing pada bila-bila masa, sama ada untuk mengetahui status kenderaan atau membuat persiapan sebelum memulakan perjalanan. MINI App berfungsi sebagai pengantara universal bagi telefon pintar pengguna dan kenderaan tersebut. Ciri-ciri kefungsian yang disediakan meliputi akses jarak jauh ke atas status pengecasan kenderaan dan jarak operasi elektrik, termasuk rekod pengecasan, Servis Jarak Jauh untuk mengesan lokasi kenderaan dan mengunci atau menyahkunci pintu, menghantar panduan navigasi seperti lokasi stesen pengecasan dari telefon pintar terus ke kenderaan, serta menghidupkan sistem penyaman udara kenderaan dari jauh. 

Seperti generasi yang terdahulu, MINI Electric baharu juga dilengkapi dengan sistem Bantuan Memandu (Driving Assistant) sebagai standard. Pakej sistem bantuan memandu berasaskan kamera ini merangkumi info Had Kelajuan, berserta dengan fungsi bantuan lampu puncak digital. Sistem tersebut juga membawakan fungsi amaran pejalan kaki dan amaran kawalan penghampiran objek (approach control warning), lengkap dengan ciri pembrekan ringan (light city braking). MINI Electric baharu turut hadir dengan Bantuan Parkir (Park Assistant), Kawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) hadapan dan belakang, serta Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan.

Sebuah fungsi baharu bagi famili kenderaan MINI ini dan kini didatangkan sebagai standard bagi semua model-model MINI baharu, iaitu Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning) yang membantu pemandu mengekalkan haluan secara selamat pada kelajuan antara 70 dan 210 km/j. Untuk mencegah pemandu keluar dari laluan secara tidak sengaja, sistem tersebut akan meletakkan tanda pada pinggiran haluan dan menggera pemandu jika wujud risiko berlakunya penyimpangan dengan menggetarkan stereng.

Tawaran warna eksklusif untuk MINI Electric meliputi White Silver dengan Bumbung Hitam dan Aksen berwarna Energetic Yellow; British Racing Green dengan Bumbung Hitam dan Pelitup Cermin Sisi Hitam; serta Midnight Black dengan Bumbung Putih dan Aksen berwarna Energetic Yellow.

MINI Electric baharu akan disediakan di semua pusat pengedaran MINI yang bertauliah di seluruh negara mulai 2 Jun 2021. Namun, berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan terbaru, pusat-pusat pengedaran tidak dibuka untuk penglihatan fizikal dan pelanggan digalakkan untuk melihat MINI Electric baharu menerusi laman web MINI di http://www.mini.my/. Pelanggan juga boleh menghubungi pengedar pilihan mereka untuk maklumat lebih lanjut.

Para pelanggan juga boleh menempah MINI Electric baharu dengan bayaran RM 1,000 melalui platform MINI eShop di https://www.mini.my/en_MY/home/happenings/minionlineshop.html.

Bantuan Tepi Jalan MINI (MINI Roadside Assistance).

MINI Electric baharu diliputi oleh program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 5 Tahun oleh MINI Malaysia, ia ditawarkan untuk semua kenderaan MINI yang baharu bersama pelbagai perkhidmatan komprehensif yang merangkumi Bantuan Kemalangan 24 jam, 365 hari setahun; Talian Bantuan dan Kecemasan; Servis Penundaan Percuma dan sekiranya perlu (lebih daripada 200 KM dari tempat kediaman); Kenderaan Ganti; Mobiliti Lancar (Seamless Mobility); Akomodasi; Solusi Servis Mobiliti serta servis Repatriasi.

Program Bantuan Tepi Jalan MINI (MINI Roadside Assistance) boleh diakses dengan menghubungi talian 1800-88-8808.

Servis Dalam Talian MINI.

Kini lebih mudah untuk membuat janji temu. Program servis dalam talian baharu ini membolehkan para pelanggan menjadualkan servis keperluan mereka secara terus dengan wakil pengedar MINI bertauliah pilihan masing-masing melalui www.service.mini.my.

Pembiayaan MINI.

Dengan ‘Balloon Financing’ daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan MINI Electric baharu bermula daripada 2,418.00 setiap bulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

MINI Electric baharu hadir dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 4 Tahun oleh MINI, Waranti Bateri Voltan Tinggi 8 Tahun / 100,000 KM dengan Servis Berjadual Percuma. Harga Jualan yang disyorkan dengan Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:

MINI Electric Baharu                        RM 217,470.73 Maklumat lanjut mengenai MINI Electric baharu boleh didapati di www.mini.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *