Moto Guzzi Malaysia Memperkenalkan Moto Guzzi MGX-21

KUALA LUMPUR, 10 April 2019 – Moto Guzzi Malaysia, melalui pengimport dan pengedar rasmi jenama Moto Guzzi di Malaysia, Didi Resources Sdn. Bhd., telah memperkenalkan model “Flying Fortress” mereka, Moto Guzzi MGX-21.

BUAT MEREKA YANG DAMBAKAN KETERUJAAN, MOTO GUZZI PERSEMBAHKAN MGX-21, SEBUAH MOTOSIKAL CRUISER MENGGIURKAN YANG LAIN DARIPADA YANG LAIN DARI MANDELLO.

MOTOSIKAL MOTO GUZZI BERTEKNOLOGI PALING MAJU INI DIDATANGKAN DENGAN PAKEJ KELENGKAPAN TERHEBAT, CIRI-CIRI YANG MEWAH, DAN REKA BENTUK YANG FUTURISTIK SERTA BERANI, YANG TERUKIR DI JIWA ANDA SELAMA-LAMANYA.

“Kami dengan bangganya meluaskan lagi rangkaian motosikal Moto Guzzi di Malaysia. Saya telah berpeluang untuk menunggang model MGX-21 pada tahun lalu di Tuscany, Itali, dan motosikal ini sesuai bagi mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza dan istimewa, dan motosikal Moto Guzzi akan menawan hati anda,” ujar Encik Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Resources Sdn. Bhd.

Model MGX-21 adalah motosikal “grand cruiser” 1,400cc paling tidak konventional, mewah, dan berteknologi tinggi yang telah dibina di Mandello del Lario. Ianya lambang unggul sebuah rangkaian yang bermula dari tahun 1921, sewaktu Moto Guzzi mula membina motosikal unik, yang dipasang seratus peratus dengan tangan, sebagai barangan pengumpul yang unik. Moto Guzzi merupakan salah sebuah jenama terhebat dalam dunia motosikal dan dengan sejarah selama hampir satu abad menghasilkan motosikal yang sering kali lebih maju dari zamannya, menempa haluan baharu ke hadapan yang kemudiannya diikuti oleh semua yang lain. Dari litar lumba sehinggalah ke jalan raya di seluruh dunia, syarikat ini tidak pernah mengkompromikan jiwa Itali mereka. Bersandarkan kepada nilai yang dikenali sejagat, Moto Guzzi kini boleh meluahkan pengaruh dan ransangan budaya bermotosikal secara lebih eksklusif dan peribadi. Motosikal MGX-21 adalah contoh terkini sifat original dan keberanian Moto Guzzi, sisi tradisional warisan mereka.

Model MGX-21 ini khusus bagi mereka yang meminati motosikal eksklusif, buat mereka yang boleh membayangkan keseronokan sebelum bermulanya perjalanan, cukup dengan mengagumi kehebatan yang akan dirasai daripada motosikal keluaran Itali yang berprestij ini, walaupun sewaktu ianya dalam keadaan pegun.

Motosikal MGX-21 ini seakan-akan memanggil anda untuk mengenakan helmet dan menunggang ke mana sahaja, tanpa arah tuju yang tertentu. Motosikal Moto Guzzi ini menawarkan satu cara yang berlainan dan unik bagi menikmati perjalanan motosikal: bukan sekadar tubuh badan penunggang sahaja yang telah digerakkan, sebaliknya jiwa penunggang turut terlibat dengan pengalaman indah dan penuh emosi ini. Ianya merupakan satu sensasi gabungan harmoni bersama dengan sebuah motosikal yang kekar. Ianya intipati asas sebuah perjalanan itu sendiri, terdiri daripada pengembaraan, kebebasan, dan penemuan.

Deruman dan getaran bahagian dalaman dapat dirasa meski pun sebelum anda mula melabuhkan punggung di atasnya, dan semakin berlipat ganda sewaktu enjin V-Twin 90º tersebut dihidupkan: dari tebing sungai di Lario ke penghujung dunia, perjalanan anda diiringi dengan ritma omboh besar pada enjin ‘big block’ Moto Guzzi.

Miguel Galluzzi, ketua jabatan PADC (Piaggio Advanced Design Center) di Pasadena, California, menerangkan asal-usul permulaan motosikal Moto Guzzi yang menakjubkan ini: “Bagaimanakan caranya untuk merentasi satu benua di atas sebuah Moto Guzzi? Ini adalah soalan pertama yang kami tanya pada diri sendiri dan jawapan yang ada pada ketika itu adalah dengan menunggang California 1400, sebuah motosikal klasik yang diperbaharui, baru-baru ini. Namun, kami inginkan sesuatu yang lebih daripada apa yang dapat kami bayangkan, idamkan, bagi bergerak lebih maju ke masa hadapan. Kami cuba membayangkan satu cara yang berbeza untuk mengembara, lebih ranggi. Dan kami bayangkan yang Moto Guzzi akan mereka bentuk dan membina motosikal bagger mereka sendiri. Tetapi bagaimana? Bagaimanakah rupa projek sebegini dengan ciri rekaan Itali? Jadi, fikiran saya beralih kepada para pakar dan mahakarya rekaan kami: Saya teringatkan Bertone, dan jentera Alfa Romeo BAT luarbiasanya dari tahun 50-an, sewaktu pereka hebat dari Itali ini menafsirkan citarasa Amerika terhadap bentuk yang ekstrem dan menterjemahkan impian yang hebat ini kepada keluli, dengan jayanya menggabungkan sifat kreativiti Itali dengan sikap pragmatik Amerika. Dan semestinya kami ada terfikirkan mengenai perjalanan tanpa batasan, dengan jalan yang lurus menuju ufuk yang jauh, serta cubaan mencipta rekod kelajuan di atas pamah garam yang luas, dan merantau tanpa tujuan dan secara bebas. Dari satu imej yang kabur ini, ia mula menjadi satu bentuk yang jelas, dan dengan itu, terlahirlah MGX-21.”

MOTOSIKAL CRUISER INI MENONJOL KERANA REKA BENTUKNYA, KUALITI BINAANNYA DAN KETELITIANNYA

Aspek yang amat ketara mengenai rupa bentuknya itu juga secara keseluruhannya menjadikan motosikal ini luarbiasa: ciri teknikal dan gaya model prototaipnya, yang telah mengagumkan semua sewaktu ianya mula dipersembahkan, telah dikekalkan sepenuhnya. Ini bukannya satu butiran yang kecil, memandangkan yang perubahan penting selalunya dibuat pada ketika antara sebuah versi prototaip sebuah motosikal dan model pengeluaran akhir. Dan dalam kes model MGX-21 ini, sejumlah perincian telah pun ditambah: MGX-21 telah menjadi sebuah motosikal touring yang besar, dengan sepasang pannier sisi yang tegar, yang tidak mencemari keaslian reka bentuk motosikal prototaip berkenaan, berintegrasi dengan harmoni di bahagian belakangnya. Dengan kapasiti simpanan 58 liter dan beg dalaman yang boleh ditanggalkan memastikan adanya ruang simpanan dan memberikannya sifat praktikal bagi pengembara. Bahagian luaran panniernya adalah karbon: pantulan pada permukaannya, hasil dari fiber yang digabungkan dengan grafik “total black” menjadikan motosikal MGX-21 ini motosikal paling gelap dan menawan dari Mandello. Ianya sebuah motosikal khusus bagi mereka yang menghargai estetik halus, sentuhan permukaan yang merangsangkan apabila mereka membelainya dan tekstur serta ketebalan yang bersilih ganti, yang meneroka secara halus rasa sebuah rekaan yang kaya dengan kandungan.

Reka bentuk bagi MGX-21 ini, seperti ke semua Moto Guzzi, amat menarik perhatian, bermula dengan kejuruteraan enjin V-Twin melintang 90º bersama dengan silinder besar yang bagaikan tersembul keluar dari tangki bahanapi, menjadikan pandangan sisi agak rendah dan lebih sekata. Warna merah pada penutup silinder utama aluminium membayangkan kuasa yang ada pada enjin ini. Rendah di belakang dan terangkat tinggi di hadapan, MGX-21 dari pandangan pertamanya lagi telah membayangkan yang ia mampu merantau jauh dengan lancar. Ianya bukan sebuah motosikal yang biasa, sebaliknya, merupakan sebuah motosikal yang akan menarik perhatian ramai dengan rupa bentuk originalnya dan gaya nokturnalnya yang penuh misteri, hasil ciptaan para pereka di PADC (Piaggio Advanced Design Center) di California. Perhatian rapi telah diberikan kepada kajian dan definisi rekaan “batwing”, reraup atas yang besar yang menyumbang besar kepada rupa paras futuristik motosikal ini. Bentuk dan fungsi sekali lagi bergabung dalam imbangan sempurna: analisis dinamik bendalir yang teliti bersama dengan simulasi CFD

(Computational Fluid Dynamics) dan berbilang sesi ujian dalam terowong angin telah memastikan ia mencapai tahap perlindungan angin yang maksimum, satu kualiti yang perlu dimiliki oleh motosikal yang akan digunakan untuk perjalanan jauh. Rupa bentuk di belakangnya juga hasil dari kajian yang sama dan mereka telah mempertingkatkannya dengan profil karbon dan lampu LED terterap berganda.

Bagi meraikan gaya yang berani, berkuasa, dan berkeperibadian ini, Moto Guzzi telah memberikan MGX-21 ini nama gelaran “Flying Fortress”. Flying Fortress ini juga menonjol dengan perincian yang teliti: gugusan lampu hadapannya menggunakan teknologi pencahayaan LED DRL,  di mana kawalan elektrikal pada palang pemegang dikemaskan dengan penutup keluli. Di samping menghargai tradisi yang mencecah satu abad, model MGX-21 ini menggapai ke arah masa hadapan, menggunakan bahan yang sering kali digunakan dalam motosikal lumba tercanggih. Pelbagai bahagiannya diperbuat daripada karbon, antaranya madgad hadapan, panel tangki bahanapi, penutup pannier sisi dan juga penutup enjin.

Motosikal MGX-21 didatangkan dengan roda aloi hadapan 21 inci, kini dilindungi dengan penutup karbon lentikular dengan bukaan kecil yang turut memberikan kelebihan teknikal kestabilan yang dipertingkatkan dan kemudahan pengendalian yang datang dengan aliran udara dari satu sisi hab ke sisi yang bertentangan sewaktu motosikal sedang bergerak.

MERCU TEKNOLOGI MOTO GUZZI

Model MGX-21 mengangkat tanda aras teknologi bagi Moto Guzzi. Motosikal cruiser dari Itali ini didatangkan dengan pakej sistem elektronik yang lengkap, yang mana, mengikut tradisi yang telah Moto Guzzi garap dengan model California 1400, didatangkan sebagai kelengkapan standard. Ianya sebuah pakej aksesori penunggang yang menjadikan perjalanan lebih selamat dan juga selesa. Sistem pengurusan enjin secara elektronik yang telah diperhalusi ini turut dilengkapi dengan pendikit elektronik “Ride-by-Wire” penuh yang mengawal 3 jenis pemetaan enjin yang berbeza, boleh dipilih dengan mudah menggunakan butang kawalan di palang pemegang bagi mengubahsuai agihan kuasa dan daya kilas dalam apa jua situasi:

– VELOCE menggunakan keseluruhan kuasa dan daya kilas yang ada dengan keluaran kuasa yang lebih cenderung kepada prestasi dan tindak balas dengan setiap pulasan pendikit. Ianya sesuai bagi penunggangan dinamik dan bagi memanfaatkan hampir keseluruhan ciri casis bagi penunggang yang berkemahiran;

– TURISMO memberikan agihan kuasa yang lebih lancar untuk penunggangan jarak jauh yang lebih selesa;

– PIOGGIA adalah pemetaan kuasa yang sesuai bagi keadaan jalan yang licin, mengurangkan daya kilas dan pengurusan pembrekan enjin.

Moto Guzzi MGX-21 juga dilengkapi dengan ABS dwi-saluran dan sistem kawalan cengkaman yang canggih (dan dipatenkan), yang boleh dilaraskan untuk tiga jenis atur cara yang berbeza (dan juga boleh dimatikan). Kawalan bersiar dari Moto Guzzi dengan pelbagai ciri telah diperkenalkan dengan model MGX-21: sistem ini membolehkan penunggang untuk mengekalkan kelajuan yang diingini tanpa perlu menyentuh pendikit, di samping menambah atau mengurangkan kelajuan bersiar menggunakan butang togol di sebelah kiri palang pemegang. Kelajuannya boleh ditingkatkan buat seketika dengan memulas pendikitnya; sebaik sahaja dilepaskan, motosikal akan kembali kepada kelajuan bersiar. Sistem ini dimatikan secara automatik, bukan sekadar dengan membrek atau menekan suis pemilih, tetapi juga dengan memulas pendikit ke arah berlawanan. Sebaik sahaja dimatikan, anda boleh menghidupkan semula atur cara kawalan bersiar yang telah ditetapkan dengan menekan butang “resume”.

Di sebalik reraup atasnya terletak gugusan instrumen yang telah diperhalusi dengan paparan dot matriks monokromatik yang penuh dengan segala maklumat yang diperlukan, antaranya tolok bahanapi dan penunjuk gear, jam, penunjuk penggunaan bahanapi semasa dan purata, serta penunjuk suhu persekitaran. Papan pemuka MGX-21 turut dilengkapi dengan sistem hiburan penuh, lengkap dengan sistem stereo, radio AM/FM dengan amplifier 25W bagi setiap saluran yang disambung kepada sepasang pembesar suara dan ia mengawal sistem interkom. Sebuah modul Bluetooth, yang boleh dipaut ke lima peranti, dan palam USB menjamin interaksi penuh dengan peranti luaran, termasuklah telefon pintar yang boleh digunakan sebagai pemain muzik atau bagi mengawal platform multimedia, turut didatangkan sebagai kelengkapan standard. MG-MP adalah sistem Moto Guzzi yang membolehkan anda memautkan telefon pintar anda kepada motosikal bagi menjadikannya sumber maklumat perjalanan berguna yang menakjubkan. MG-MP juga boleh mengendalikan panggilan telefon (menjawab dan mematikan panggilan boleh dilakukan dengan menekan butang di palang pemegang) dan ia menggunakan ciri pengenalan suara telefon pintar bagi membolehkan anda membuat panggilan telefon atau mengaktifkan senarai muzik. Dengan itu, ia membantu penunggang dengan teknologi tercanggih bagi membolehkan penunggang untuk fokus pada perjalanan dengan aman dan pada masa yang sama, memberikan keseronokan penunggangan yang sepenuhnya secara terkawal dan selamat.

TEKNOLOGI TERKINI UNTUK PENUNGGANGAN MAKSIMUM

Penggunaan roda hadapan 21 inci memacu sebuah evolusi penting bagi kerangka yang memastikan tahap keselesaan dan keseronokan menunggang yang tinggi. Moto Guzzi telah membangunkan sebuah geometri stereng yang menjamin keseimbangan dan kemudahan penunggangan, mengimbang dengan sempurna kedua-dua kualiti: keselesaan dan kapasiti muatan sebuah motosikal buatan khas dengan kedinamikan dan prestasi sebuah motosikal cruiser. Turut menyumbang kepada matlamat ini adalah sistem pemanduan arah yang dipatenkan, yang mengurangkan kecenderungan (yang berkait rapat dengan saiz roda hadapan) stereng untuk “tertutup” sewaktu kelajuan rendah dan darjah pemanduan arah stereng yang tinggi, mengimbang balas berat stereng, semua ini hasil ehsan sebuah sistem pegas regresif dan kinematik khusus.

Satu lagi aspek pada MGX-21 yang telah diberikan perhatian khusus adalah posisi menunggang. Dua buah palang pemegang separa yang didekatkan kepada penunggang, bersama dengan kedudukan tempat letak kaki yang ke hadapan, serta posisi duduk yang amat selesa, hanya 740mm dari tanah, memastikan posisi atas pelana yang terkawal, yang selesa dan dipanjangkan bagi bahagian belakang. Dengan ini, penunggang mempunyai kawalan penuh ke atas motosikal, sama ada sewaktu pegun atau pun ketika bergerak. Mewah dan menggerunkan, model utama dari Mandello ini dengan mudah dapat membawa pembonceng, atau ditunggang bersendirian. Jika anda menunggang secara bersendirian, bahagian pelana di belakang untuk pembonceng dengan mudah dapat ditanggalkan supaya anda boleh menunggang dengan penuh harmoni di atas tunggangan anda. Menggantikan tempat pelana pembonceng, anda boleh memasang penutup karbon fiber atau pendakap rak bagasi atas, kedua-dua boleh didapati dalam katalog aksesori khusus untuk MGX-21.

Struktur kerangka tiub penyangga berganda tertutup, yang dikukuhkan dengan tiub berdiameter lebih besar di seksyen hadapan dan plet pengukuh di belakang, menggunakan sistem pemaut enjin elastik-kinematik yang pintar, yang telah dibangunkan oleh Moto Guzzi bagi melenyapkan gegaran yang dirasai penunggang. Walau bagaimana pun, sewaktu dalam keadaan pegun anda masih akan merasa getaran yang dihasilkan oleh pergerakan dua omboh berdiameter 104mm dalam enjin ‘big block’ Moto Guzzi yang mampu mengujakan penunggang paling berpengalaman, menyerlahkan lagi perwatakan ‘bernyawa’ motosikal ini. Dengan enjin V-Twin terbesar dihasilkan di Eropah, ia mampu menawarkan sehingga 120 Nm tork dengan mudah dan jitu dari kitaran yang amat rendah, dan telah mendapat pengiktirafan EU4 serta sebuah unit ekzos dengan terminal mendatar yang amat panjang. Ianya sebuah penjana kuasa ultra moden, dilengkapi dengan empat injap bagi setiap silinder, dipacu oleh sebuah aci atas bagi setiap baris melalui sebuah sistem penggoyang dan penggolek bagi mengurangkan kehilangan kuasa akibat geseran. Perwatakan moden enjin ini turut dipamerkan pada pencucuh berganda bagi memastikan pembakaran sempurna, dan juga oleh pengesan lambda berganda yang menghasilkan campuran yang seragam di silinder dalam apa-apa jua keadaan operasi, dan dengan itu mempertingkatkan tahap penggunaan dan mengurangkan emisi merbahaya.

Keseluruhan aksi ini dikawal oleh sistem pembrekan yang menjadi tanda aras bagi kategori motosikal lumba, terdiri dari tiga cakera berdiameter besar dan angkuphadapan empat omboh, dan pautan jejari yang berwarna merah bagi menyerlahkan lagi sifat menonjol MGX-21. Sistem ampaiannya juga diperbuat dari bahan yang berkualiti: fork dengan topang berdiameter 45 mm berfungsi dengan sepasang penyerap hentakan belakang yang memiliki hidraulik boleh laras dalam ekstensi dan pra muatan pegas menggunakan pra muatan hidraulik kawalan jauh yang mudah.

RANGKAIAN LUAS AKSESORI UNTUK SEBARANG KEPERLUAN

Menggunakan hanya bahan yang terbaik, seperti aluminium dan karbon, dan melalui prosedur prosesan terhebat, Moto Guzzi telah mencipta satu rangkaian aksesori berprestij dengan matlamat untuk meningkatkan, bukan hanya kenikmatan dan keselesaan penunggangan, tetapi juga keeksklusifan model MGX-21, menghasilkan satu tahap pengkhususan yang amat unik. Ke semua bahagian telah dicipta, direka, dan dibangunkan oleh Moto Guzzi dan telah dikenakan saringan ujian kualiti yang ketat seperti mana-mana alat ganti asli yang lain pada motosikal ini bagi menjamin produk yang berkualiti dan tahan lama. Dan oleh kerana ianya dicipta dan ditala halus oleh Moto Guzzi, aksesori-aksesori ini dengan mudah boleh ditukar ganti dengan bahagian original pengilang, membolehkan anda dengan mudah menukar kembali motosikal anda ke tatarajah asalnya. Ia juga diluluskan penuh dan dengan itu sah dari segi undang-undang jalan raya.

Reraup atas besar: Mempertingkatkan lagi perlindungan dari angin, dan pada masa yang sama menonjolkan lagi gaya tersendiri ‘Batwing’ MGX-21.

Cermin aluminium hitam: Diluluskan untuk kegunaan jalan raya dan diperbuat dari billet aluminium, penyeri ideal bagi estetik MGX-21.

Tuil brek hitam: Diperbuat dari billet aluminium, boleh dilaraskan dalam 4 kedudukan.

Tuil klac hitam: Seperti tuil brek, ianya diperbuat dari billet aluminium dan jarak dari pencengkam boleh dilaras dalam 4 posisi.

Penutup brek dan silinder utama klac: Diperbuat dari billet aluminium dengan saduran anod hitam. Dipasang di atas takungan pengilang.

Pendakap GPS/telefon pintar: Pendakap aluminium anod hitam. Membolehkan pemasangan mudah telefon pintar atau kotak GPS.

Sepasang lampu LED: Lampu LED penjimat tenaga, dengan badan aluminium dan saiz yang lebih kecil, berintegrasi dengan sempurna bersama motosikal dan memberikan tahap keterlihatan dan keselamatan yang lebih baik sewaktu penunggangan sebelah malam.

Penutup tangki bahanapi karbon: Menjadikan pusat kawalan MGX-21 tampak lebih mewah dan agresif.

Penutup penyuntik karbon: Ringan dan elegan. Sentuhan anggun dalam ketelitiannya.

Penutup sisi karbon: Ringan dan berprestij, ia mengekalkan logo MGX-21.

Pelindung sisi silinder: Diperbuat dari billet aluminium dan pendakap keluli tahan karat, ia menjaminkan perlindungan dan keteguhan, jika motosikal terjatuh.

Pelindung haba silinder: Diperbuat dari keluli tahan karat, ia meningkatkan lagi keselesaan menunggang, melindungi penunggang dari haba enjin.

Penutup tempat letak kaki penunggang dan pembonceng: Diperbuat dari billet aluminium anod hitam, memberikan motosikal rupa yang agresif, juga mempertingkatkan lagi tahap penunggangan.

Lantai motosikal: Diperbuat dari billet aluminium anod hitam, ia mengubah penuh rupa motosikal dan meningkatkan keselesaan dan keseronokan ke tahap maksimum.

Penutup tuil brek belakang: Diperbuat dari billet aluminium anod hitam, boleh dipasang dengan mudah pada tuil papan rata

Penutup pedal brek belakang: Diperbuat dari billet aluminium anod hitam boleh dipasang dengan mudah menggantikan pad getah pengilang.

Penutup tuil penukar gear: Diperbuat dari billet aluminium, ia dipasang pada hujung pin lengan ayun.

Penutup takungan bendalir brek belakang: Diperbuat dari billet aluminium dengan kemasan saduran anod hitam, ia mengkhususkan lagi rupa motosikal.

Lilitan ekzos: Berwarna hitam, ia meliputi penyangga ekzos, menonjolkan perwatakan sporty motosikal.

Bag tangki kulit: Diperbuat dari kulit berkualiti Itali dengan kapasiti menakjubkan dan dilengkapi dengan poket, Memiliki tangkai bimbit yang praktikal dan pelindung kalis air.

Bagasi atas kulit: Bahan kulit berkualiti premium Itali dengan reka bentuk yang popular dan elegan beserta kancing aluminium dan logo Moto Guzzi yang dicetak timbul.

Penutup pelana pembonceng karbon: Dicipta khusus bagi perantau solo, ianya dipasang menggantikan pelana pembonceng.

Rak bagasi karbon: Sesuai dengan bentuk agresif motosikal, ia dengan mudah boleh dipasang menggantikan pelana pembonceng.

Pelana penunggang selesa: Seperti pelana yang asal, tetapi dengan lebih banyak pelapik yang selesa. Dilitupi dengan bahan Easy Touch dan label istimewanya juga tampak menawan.

Pelanan pembonceng selesa: Seperti pelana yang asal, tetapi dengan lebih banyak pelapik yang selesa. Dilitupi dengan bahan Easy Touch dan label khas yang memberikannya kesan estetik yang lebih hebat.

Penutup kenderaan: Diperbuat dari fabrik elastik istimewa, ia menyesuaikan diri dengan sempurna pada bentuk motosikal MGX-21 dan aksesorinya.

Moto Guzzi MGX-21 ini telah ditetapkan pada harga RM 172,000 dan boleh didapati di The Gasket Alley, Petaling Jaya. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.motoguzzi.com/my_EN/, dan laman Facebook motoguzziMY.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Liyana Abdullah

Ketua Jabatan Penjenamaan, Moto Guzzi dan Aprilia Malaysia

Emel: liyana@didiresources.com

Talian: 011 2300 8919

MOTO GUZZI MGX-21 – SPESIFIKASI TEKNIKAL

ENJIN

Jenis                                                  : enjin V-Twin 90º, 4-lejang, 4 injap, dwi pencucuh

Sistem penyejukan                               : Pam penyejukan udara dan minyak dan bebas. Radiator minyak dengan kipas kawalan termostat.

Kapasiti enjin                                       : 1,380 cm³

Gerek dan lejang                                  : 104 X 81.2 mm

Nisbah pemampatan                             : 10.5: 1

Kuasa maksimum                                  : 71 kW (96.6 HP) pada 6,500 rpm

Daya kilas (tork) maksimum                    : 121 Nm pada 3,000 rpm

Bekalan bahanapi / Pencucuhan              : suntikan berjujukan elektronik berperingkat Multipoint, Magneti Marelli IAW7SM; badan pendikit Ø 52 mm “Ride-by-Wire”, penyuntik IWP 243 Magneti Marelli, pengesan oksigen berganda, pengurusan berintegrasi 3 pemetaan enjin, kawalan cengkaman, kawalan bersiar

Penghidup                                           : elektrik

Sistem ekzos                                        : keluli tahan karat, jenis ‘2-in-2’, pengubah bermangkin tiga arah dengan prob lambda berganda

Pematuhan emisi                                  : Euro 4

TRANSMISI

Kotak gear                                          : 6 gear

Nisbah gear                                        : pertama 17/38 = 1 : 2.235

                                              : kedua 20/34 = 1 : 1.700

                                               : ketiga 23/31 = 1 : 1.347

                                              : keempat 26/29 = 1 : 1.115

                                               : kelima 31/30 = 1 : 0.967

                                               : keenam 30/24 = 1 : 0.8

Pacuan utama                                     : dengan gancu heliks, nisbah 26/35 = 1 : 1.346

Pacuan akhir                                       : sendi cardan berganda dan gear serong tetap, nisbah pacuan 10/36 = 1 : 3.6

klac                                                   : cakera dengan penampan nyah getaran berintegrasi

CASIS

Kerangka                                           : tiub keluli, penyangga berganda tertutup dengan sistem pendakap enjin elastik-kinematik bagi mengasingkan getaran

Jarak antara roda                             : 1,700 mm

Trail                                                     : 187 mm

Sudut stok kepala                                   : 32º

Ampaian hadapan                                   : fork standard, Ø 45 mm, dengan pendakap pautan angkup jejari

Ruang gerakan roda hadapan                   : 107.7 mm

Ampaian belakang                             : lengan ayun dengan penyerap hentakan berganda dan ekstensi dan pra muatan boleh laras serta tangki jauh

Ruang gerakan roda belakang                    : 80 mm

Brek hadapan                                         : dwi cakera apungan keluli tahan karat 320 mm, angkup jejari dengan 4 omboh melintang berlawanan Brembo

Brek belakang                                         : cakera tetap keluli tahan karat 282 mm, angkup apungan dengan 2 omboh selari Brembo

Roda                                                     : aloi aluminium tanpa tiub

Rim roda hadapan                              : 3.50″ X 21″

Rim roda belakang                                    : 5.50″ X 16″

Tayar hadapan                                  : 120/70 R21″

Tayar belakang                                   : 180/60 R16″

DIMENSI

Panjang                                                   : 2,560 mm

Lebar                                                       : 920 mm

Tinggi                                                       : 1,275 mm

Ketinggian pelana                                       : 740 mm

Berat tanpa muatan                                    : 341 Kg

Kapasiti tangki bahanapi                              : 20.5 liter

takungan simpanan                                   : 5 liter

INFOTAINMEN

Watt sistem audio                               : 50

Pembesar suara                                  : 2

Sumber audio                                     : radio AM/FM/MW/LW

Bahasa antara muka                                   : Inggeris, Jerman, Perancis, Sepanyol

Teknologi                                                 : Keterpautan MP3; Bluetooth; serasi input telefon pintar; kad SD; USB jump drive; keterpautan iPod

Pengenalan suara                               : telefon bimbit dengan bebas tangan – melalui Bluetooth

*berat motosikal sedia ditunggang, diisi penuh dengan bendalir, tanpa bahanapi

GALERI