Nissan Serena baru padat dengan pembaharuan yang lebih praktikal
Nissan Serena 2018 kini tampil dengan wajah baharu dan di tambah baik dengan beberapa sistem bagi memudahkan pemandu dan juga penumpang berbanding model sebelumnya yang dilancarkan pada tahun 2013.
Kalau kita tengok dari luaran, Nissan Serena ini akan kita dapati rekabentuknya tampak elegan dan sporty. Nissan Serena baharu ini dilengkapi dengan lampu projektor LED berkembar bagi memberikan penglihatan yang lebih jelas ketika memandu di waktu malam. Ciri tambahan yang amat membantu pemiliknya adalah pintu belakang berkembar di mana terdapat 2 cara pembukaan. Samada membuka separuh iaitu cermin belakang sahaja atau buka penuh. Pintu tepinya pula sekarang di lengkapi dengan sistem handsfree power sliding door. Kita boleh membuka pintu sisi dengan melalukan kaki kita pada sensor yang terletak di bahagian bawah pintu. Kalau dukung anak tak perlu lagi nak minta tolong orang untuk buka pintu.
Bahagian dalaman pula juga mengalami beberapa perubahan baru di mana bahagian meter digitalnya dilengkapi dengan paparan pelbagai fungsi seperti monitor yang boleh membantu melihat di sekeliling kenderaan melalui 4 kamera. Reka bentuk stering baharu dengan beberapa suis bagi memudahkan pemandunya mengawal kenderaan ini ketika memandu. Terdapat 7 USB port untuk kemudahan pemandu dan penumpang. Tiada lagi masalah untuk caj handphone atau pun untuk kegunaan barangan elektrik lain.
Nissan Serena baharu ini mempunyai 13 pelbagai cara susunan tempat duduknya. Wah macam-macam cara susunan kerusi bagi keselesaan atau pun ruang untuk membawa barang. Untuk kerusi barisan kedua dilengkapi dengan Isofix bagi memudahkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak.
Nissan Serena dilengkapi dengan enjin 2.0 liter CVTC Smart Hybrid beserta EEV bagi memberi penjimatan penggunaan bahan api dan juga membantu untuk memecut. Enjin ini boleh menjana kuasa maksimum 150ps pada 6,000rpm dengan tork maksimum 200Nm pada 4400 rpm.
Apa lagi ciri keselamatan yang ada pada Nissan Serena baru ini? Ye, Serena baru dilengkapi dengan 6 beg udara SRS, pengesan pergerakan objek pintar (i-Mod), pengesan keliling kenderaan melalui 4 kamera (i-AVM), kawalan dinamik kenderaan (VDC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan brek (BA), brek anti-kunci (ABS), pengagihan sistem brek (EBD) dan bantuan mendaki (HSA).
Terdapat dua varian yang boleh dipilih iaitu Highway Star, RM 135,700.00, dan Premium Highway Star, RM147,700.00, dengan 5 tahun jaminan tanpa had perbatuan.
#nissanserena #nissanserena2018 #tanchongmotor #enjindotcom #innovationthatexcites