PELANCARAN MOTOSIKAL ELEKTRIK VOLTRIX DAN PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN PNS “BIKERS PIT”

SEPANG 3 Nov. 2018 – BKZ Motor Sdn Bhd selaku pemasang, pemasar dan pengedar motosikal elektrik jenama Voltrix hari ini  memperkenalkan tiga model terbaru yang akan mula dijual tidak lama lagi.

Model terbaru motosikal tersebut ialah Voltrix Hunter (RM4,750), Voltrix Milano (RM3,950) dan Voltrix SG60 (RM4,950). Kesemua model tersebutdijangka mula berada di pasaran mulai 2019.

Melalui sokongan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), BKZ akan membangunkan program francais pembangunan usahawan motosikal bumiputera di bawah jenama “Bikers Pit” yang ditumpukan di kawasan luar bandar khususnya kawasan-kawasan Felda.

Program tersebut akan dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Litar Antarabangsa Sepang.

Turut hadir ialah Pengasas United Maex Sdn Bhd, He Ying Feng. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BKZ Motor Sdn Bhd., Isma Yusnor, program yang dibangunkan bersama PNS adalah untuk membentuk peniaga Bumiputera berkecimpung di dalam perniagaan motosikal.

Katanya, terdapat tiga pakej yang ditawarkan untuk program ini iaitu Pakej Oren yang bermula dari RM25,000 dengan tiga buah motosikal diberikan untuk pameran serta ruang pameran di kompleks membeli belah.

Pakej Biru merangkumi modal permulaan sebanyak RM50,000 dengan ruangpameran disediakan beserta lima buah motosikal untuk pameran, alat ganti, trak pusat servis dan deposit untuk trak.
Manakala Pakej Perak merangkumi modal permulaan RM250,000, 20 buah motosikal, model bilik pameran, trak pusat servis, spa motosikal, perkhidmatan tunda serta bayaran permulaan untuk trak.

Isma berkata, pihaknya merancang untuk memberi tawaran bagi membuka konsep francais ini antara 10 hingga 20 buah setahun.

Katanya, PNS akan memantau program ini agar ia dapat memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera dan segala bantuan itu diberikan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kesediaan usahawan tersebut.

Selain itu, pihaknya turut merancang untuk membuka dan memberi lebih banyak peluang kepada peneroka Felda bagi menjalankan perniagaan ini. “PNS akan memberi latihan untuk membuka bengkel serta juga latihan untuk mekanik,” katanya.

GALERI