Regas Premium Auto merungkai jentera BMW yang amat Istimewa di Kuching.

Kuching, 23 September 2021 – Regas Premium Auto pada hari ini telah merungkaikan sebuah jentera klasik yang luar biasa – BMW 700 Coupé, ia merasmikan sudut Heritage di pusat pengedaran bertaraf perdana miliknya yang terletak di Kuching, Sarawak.

Gavin Tay, Prinsipal Pengedar di Regas Premium Auto Kuching berkongsi, “BMW 700 Coupé merupakan sebuah jentera abadi dan yang serba klasik dalam sejarah BMW Group, dan kami berasa teruja untuk mempamerkan kenderaan ikonik ini di Regas Premium Auto. Apa yang menariknya ialah BMW 700 Coupé merupakan jentera BMW yang pertama menampilkan struktur monokok, dan ia telah membantu BMW keluar daripada kancah kemuflisan pada tahun 1959. Malah, model ini juga telah membina sebuah legasi dalam dunia automotif bagi kenderaan kecil, sporty dan bertaraf premium yang masih digemari oleh ramai peminat BMW, walaupun 50 tahun sudah berlalu sejak keluaran terakhirnya.”BMW 700 merupakan legasi Wolfgang Denzel, iaitu seorang jurutera automotif dan wakil pengedar bagi jenama ini di Austria. Denzel telah bekerjasama dengan pereka berbangsa Itali, Giovanni Michelotti untuk menggubah konsep kenderaan tersebut berdasarkan casis jentera BMW 600 pada waktu itu.

Berbekalkan casis dan suspensi BMW 600 yang telah mantap penggunaannya, termasuk transmisi empat kelajuan ‘all-synchromesh’, diferensial gear serong, unit kuasa berkembar – yang pada asalnya digunakan pada motosikal BMW, kemudian telah ditingkatkan saiznya daripada 600 cc kepada 700 cc. Model konsep ini telah diluluskan pada Oktober 1958, dan ia telah menjurus kepada pengeluaran varian Coupé dan Sedan oleh BMW. Pada 9 Jun 1959, Lembaga Pengurusan BMW yang dipimpin oleh Ketua Eksekutif Dr. Heinrich Richter-Brohm telah merungkaikan BMW 700 Coupé yang baharu kepada orang ramai di Feldafing, Munich. Ketibaannya telah diraikan di serata dunia kerana ia mampu mengekalkan tahap kelajuan dan pecutan yang tertinggi seperti model yang terdahulu – malah ia juga mampu melakukannya dengan ruang yang lebih besar tanpa berat berlebihan.

Pengeluar kenderaan premium ini berjaya menyerahkan lebih daripada 35,000 kenderaan pada tahun 1960, dan BMW 700 mencakupi 58% daripada seluruh pendapatan jenama ini. Penyerahan jentera BMW 700 telah mencecah 190,000 unit menjelang akhir tahun 1965. Meskipun hanya dikeluarkan selama enam tahun, jentera yang jarang ditemui dan unik ini memperoleh status ikonik yang berkekalan dalam sejarah BMW Group, dan ia masih menambat hati ramai peminat BMW sehingga ke hari ini.

GALERI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *