Regas Premium Sabah Perkenal Fasiliti Pengecasan EV Awam yang Sulung di Negeri Dibawah Bayu.

Regas Premium Sabah telah merungkaikan fasiliti pengecasan kenderaan elektrik (EV) awam yang sulung di negeri Sabah, terletak di ruang parkir bawah tanah T1 @ Bundusan. Detik yang bersejarah ini mencerminkan komitmen Regas Premium Sabah dalam merintis solusi-solusi mobiliti elektrik di negeri tersebut, sejajar dengan pelan perluasan infrastruktur pengecasan yang digagaskan oleh BMW Group Malaysia untuk seluruh negara.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Dengan perungkaian rasmi fasiliti pengecasan tersebut, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Regas Premium Sabah yang telah lama bersama dengan kami sebagai rakan pengedar, atas langkah berani yang diambil ini untuk meluaskan aksesibiliti terhadap mobiliti lestari buat para pelanggan dan semua pemilik EV di Kota Kinabalu. Kemustahakan langkah ini terletak pada potensinya untuk mencorak semula tabiat mobiliti di samping memacu penerimagunaan kenderaan elektrik di rantau ini.”

Datuk Matthew Tan Yaw Tzuu, Prinsipal Pengedar merangkap Pengarah Urusan bagi Regas Premium Sabah berkata, “Kami membayangkan Sabah di mana gaya hidup yang berasaskan kepentingan terhadap alam sekitar menjadi satu norma, dan perungkaian fasiliti pengecasan EV awam yang sulung di sini merupakan satu langkah yang besar ke arah visi itu. Ia bukan sahaja menggalakkan penggunaan EV tapi juga berjajaran dengan insentif kerajaan yang dirumus untuk menggalakkan kaedah pengangkutan lestari. Kami di Regas Premium Sabah percaya bahawa bekalan infrastruktur pengecasan yang mudah diakses akan membolehkan lebih ramai individu untuk beralih ke arah pemilikan EV dengan lebih yakin.”

Regas Premium Sabah telah berkolaborasi dengan JomCharge, iaitu pemain utama dalam arena solusi pengecasan EV, bagi mewujudkan rangkaian pengecasan serba canggih yang lebih meluas, memudahkan, serta selari dengan kenaikan permintaan ke atas mobiliti lestari di seluruh negara. Fasiliti pengecasan baharu ini menampilkan dua lot dengan keupayaan pengecasan AC 11 kWj, terletak di ruang parkir bawah tanah T1 @ Bundusan, Jalan Bundusan, Taman Cemerlang, 89500, Kota Kinabalu, Sabah. Fasiliti pengecasan tersebut kini dibuka 24 jam sehari untuk kegunaan orang awam, dengan kadar standard bernilai RM6 sejam.

Pembangunan yang bersejarah ini hanyalah satu permulaan bagi visi Regas Premium Sabah yang lebih besar untuk meluaskan infrastruktur pengecasan EV di seluruh rantau ini. Syarikat ini bertekad untuk meningkatkan aksesibiliti ke atas kemudahan pengecasan EV di seluruh pelosok negeri Sabah, dengan tumpuan terhadap lokasi-lokasi seperti Tawau yang menjadi sebahagian daripada pelan perluasan yang telah dijadualkan. Mengalir dalam nadi yang sama, BMW Group Malaysia juga telah menyediakan lebih daripada 1,000 buah fasiliti pengecasan dalam rangkaiannya setakat ini. Akses ke atas lebih 400 daripada fasiliti ini disediakan menerusi usaha sama dengan ChargEV dan Yinson Greentech, manakala usaha sama dengan JomCharge membekalkan akses ke atas lebih 100 buah fasiliti pengecasan, Gentari dengan lebih 150 buah fasiliti serta sekitar 160 buah fasiliti daripada rakan-rakan baharu seperti Shell Recharge dengan ParkEasy, ChargeN’Go, ChargeSini, Go To-U dan FlexiParking. Lebih daripada 100 buah fasiliti pengecasan BMW i dan MINI juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran yang bertauliah, di samping lokasi-lokasi para rakan kongsi di serata negara, dan banyak lagi yang akan menyusul melalui pelan perluasan infrastruktur yang telah disasarkan untuk tahun hadapan

GALERI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *