BMW Group Malaysia Menerajui Segmen Automotif Premium Susulan Kejayaannya pada Tahun 2020

Kuala Lumpur, 19 Februari 2021 – BMW Group Malaysia berjaya menyerahkan 11,016 unit kenderaan dari portfolio BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2020, 87% daripadanya dipasang di dalam negara – lantas mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen automotif premium di Malaysia dengan lebih daripada 52% dalam segmen tersebut.

BMW Group Malaysia bingkas mengatasi cabaran yang terbentang pada tahun 2020, termasuk kemelesetan yang dialami oleh industri automotif global dengan memperkenalkan 25 varian model yang meliputi tiga jenama utamanya – BMW, MINI dan BMW Motorrad; empat daripada varian tersebut merupakan kenderaan berelektrik. Kedudukan BMW Group Malaysia sebagai peneraju dalam arena mobiliti elektro juga dibuktikan melalui penyerahan lebih daripada 2,200 unit kenderaan berelektrik di seluruh negara – kebanyakannya disumbang oleh model-model BMW 5 Series dan BMW 7 Series.

Kejayaan di Malaysia turut mencerminkan kejayaan BMW Group di persada antarabangsa, setelah menyerahkan lebih daripada 2,300,000 unit kenderaan di seluruh dunia; 190,000 daripada angka tersebut merupakan kenderaan berelektrik (EV) oleh jenama BMW dan MINI – lantas merekodkan peningkatan berjumlah lebih daripada 30% dalam penyerahan EV berbanding tahun yang sebelumnya.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kejayaan ini tidak dapat dikecapi tanpa sokongan para pelanggan, rangkain pengedar serta kerajaan Malaysia yang telah membantu industri automotif negara menerusi polisi Pengecualian Cukai Jualan. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka. Selain kekuatan operasi serta keupayaan kami untuk berkhidmat dalam situasi yang mencabar sebagai sebuah pasukan, pencapaian kami juga ditunjangi oleh kesetiaan para pelanggan kami.”

Hoelzl turut menyatakan bahawa BMW Group Malaysia telah mencatat pencapaian yang terbaik dalam ‘Net Promoter Scoring’ bagi perihal kepuasan pelanggan, dimana lebih daripada 90% pengguna memberi maklum balas positif mengenai pengalaman mereka melibatkan jenama BMW dan MINI pada tahun 2020.

Di Malaysia, jenama BMW telah merekodkan 8,903 pemilik baharu pada tahun 2020, sekaligus mendahului keseluruhan segmen premium di Malaysia dengan lebih daripada 47%. Penyerahan unit kenderaan tersebut diterajui oleh portfolio cemerlang BMW 3 Series dengan penyerahan lebih daripada 2,500 unit kenderaan; 1,400 unit daripadanya disumbang oleh BMW 320i Sport. Ia disusuli dengan BMW 5 Series dengan penyerahan melebihi 1,600 unit kenderaan; 900 unit daripadanya terdiri daripada jentera berelektrik, BMW 530e.

Sementara itu, BMW X Family mencatat penyerahan berjumlah lebih daripada 39% berbanding seluruh unit kenderaan yang diserahkan oleh BMW pada tahun 2020 – ia melangkaui 3,200 unit kenderaan dalam portfolio tersebut yang berjaya diserahkan dalam tempoh satu tahun. Kejayaan ini dibelakangi oleh model-model BMW X1, yang mempunyai lebih daripada 1,000 pemilik baharu pada tahun lalu. Portfolio BMW M turut mencerminkan kecemerlangan jenama ini dengan penyerahan melebihi 80 unit kenderaan. Enam varian model kenderaan juga telah diperkenalkan pada tahun lalu, kebanyakannya dirungkaikan di Secret Garage @ M Town pada bulan Ogos.

MINI Malaysia pula berjaya menyerahkan 987 unit kenderaan pada tahun lalu, mengambil lebih daripada 5% kongsi segmen premium Malaysia. Penyerahan ini didahului oleh model-model MINI Countryman yang paling laris – lebih daripada 47% disumbang oleh MINI Cooper S Countryman.

Sementara itu, BMW Motorrad Malaysia telah mencatat pencapaian yang memberangsangkan sepanjang tahun 2020 dengan penyerahan berjumlah 1,126 unit kenderaan, yang melangkaui angka tahun 2019. Penyumbang utama terhadap pertumbuhan ini ialah segmen Kembara (Adventure), yang menyaksikan penyerahan melebihi 670 unit kenderaan, sekitar 300 daripadanya terdiri daripada jentera BMW R 1250 GS Adventure.

Gagasan Mobiliti Bervisi telah menjadi saksi bagi satu lagi pencapaian dengan rekod penyerahan berjumlah 2,200 unit kenderaan berelektrik BMW dan MINI pada tahun lalu, yang diterajui oleh model-model kenderaan BMW 530e dan BMW 740Le xDrive. Penyumbang terbesar yang lain turut meliputi BMW X5 berelektrik, BMW 330e M Sport yang dipasang di dalam negara, serta jentera MINI Elektrik Terbaharu yang diperkenalkan baru-baru ini. Ia membuktikan kadar peralihan segera negara Malaysia ke arah kenderaan berelektrik, yang akan terus memacu penerimagunaan mobiliti elektro pada tahun-tahun yang akan datang.

“Buat julung kalinya, dengan rasa rendah hati kami ingin mengumumkan bahawa seluruh bilangan kenderaan yang berjaya diserahkan telah ditunjangi oleh barisan kenderaan jenama BMW dan MINI yang dipasang di dalam negara – yang melebihi 87% daripada jumlah penyerahan tersebut. Setelah mengharungi cabaran tahun 2020, angka yang dicapai ini memberi kami inspirasi untuk terus menjulang komitmen kami untuk menggiatkan lagi pelaburan dalam industri automotif Malaysia,” ujar Hoelzl.

Kejayaan BMW Group Malaysia turut menjadi acuan bagi BMW Group Financial Services Malaysia, yang berjaya membiayai lebih daripada 42% kenderaan BMW, 45% kenderaan MINI, dan 60% motosikal BMW Motorrad yang telah diserahkan pada tahun lalu. Usaha pendigitalisasian titik-titik sentuh perkhidmatan pelanggan melalui BMW Engage – iaitu platform pembiayaan yang pertama seumpamanya – juga mencatatkan 1 daripada 3 pemohonan pembiayaan dibiayai secara digital menjelang akhir tahun. Melalui kolaborasi dengan Allianz General Insurance Company Malaysia Berhad, perkhidmatan BMW i-Renewal juga telah menyaksikan 5% pemilik membeli insurans kenderaan melalui platform insurans digital tersebut – melepasi tanda aras 2% dalam industry semasa.

Ekoran batasan perjalanan dan penjarakan sosial yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu, BMW Group Malaysia bingkas membuat penyesuaian mengikut arus semasa dengan mendigitalkan banyak titik sentuh dan perkhidmatan yang sedia ada bagi memperkayakan pengalaman pemilikan premium yang dijanjikan buat para pelanggan di Malaysia. Ia dibuktikan melalui pengenalan BMW Shop Online dan MINI eShop, di samping BMW Engage dan BMW i-Renewal – menjadikan proses-proses yang penting dalam komponen pengalaman mobiliti premium selancar yang mungkin.

Tahun 2020 turut menyaksikan pelbagai inisiatif kebajikan komuniti oleh BMW Group Malaysia, di mana sokongan diunjurkan kepada sebilangan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang meliputi Refuge for the Refugees, Tenaganita, Empire Project, dan Malaysia Muda dalam usaha pengagihan makanan dan keperluan asas kepada lebih 80,000 benefisiari ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengeluar kenderaan premium ini juga telah mewujudkan inisiatif #BMWSupportsLocal yang masih berterusan hingga ke hari ini untuk memberi bantuan kepada perniagaan-perniagaan kecil. “Kami masih berharap bahawa landskap automotif Malaysia dapat pulih seperti sedia kala pada tahun 2021. Seperti tahun 2020, BMW Group Malaysia akan melangsungkan usahanya untuk memuaskan para pelanggan dan peminat, memastikan Pengalaman Pemilikan Premium dapat dibekalkan dalam normal baharu seperti yang dijanjikan. Kami benar-benar menghargai para pelanggan, kakitangan dan wakil pengedar kami yang telah berdiri bersama kami ketika detik-detik yang mencabar, dan ingin mengalu-alukan tahun 2021 dengan tangan yang terbuka bersama jaringan warga kerja kami yang berdedikasi,” simpul Hoelzl.