BMW Group Malaysia Persembahkan RAHASIA oleh Syahmi Norsan, Pemenang Hadiah Utama BMW Shorties 2022.

BMW Shorties oleh BMW Group Malaysia, iaitu pertandingan filem pendek yang paling berprestij dan dengan sejarah penganjuran yang paling lama di Malaysia, telah membuat tayangan perdana bagi filem ‘RAHASIA’ – sebuah karya pembiayaan BMW yang dibikin oleh Pemenang Hadiah Utama BMW Shorties 2022, Syahmi Norsan.

Dilatari landskap Pulau Carey yang mengagumkan, RAHASIA merangkap sebuah kisah yang bertemakan identiti, keluarga, dan legasi yang berakar umbi dalam suku kaum purba Mah Meri. Filem ini menyulam sebuah cerita yang rumit dengan seni visual yang memukau, menggambarkan bagaimana kehidupan di bandar telah menjauhkan watak utamanya, Samri daripada asal-usul beliau sebagai warga suku kaum Mah Meri dan juga daripada bapanya. Apabila Samri mendapat khabar mengenai adiknya yang sedang sakit tenat, beliau terpaksa pulang dan hadapi segala perkara yang beliau cuba elakkan selama ini.

Pengarah RAHASIA, Syahmi Norsan telah menzahirkan penghargaan beliau kepada BMW Shorties atas peluang unik yang diberikan kepada beliau untuk mengetengahkan sebuah subjek yang amat dekat dengan hatinya, ia termasuk suku kaum Mah Meri yang kurang mendapat perhatian di Malaysia – yakni antara suku yang tertua di Semenanjung Malaysia.

“Tugas untuk menghidupkan filem pendek ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana kami terpaksa berhadapan dengan cabaran demi cabaran sepanjang proses pembikinannya – dari membentuk hubungan dengan suku kaum tersebut, memperoleh kepercayaan mereka untuk bukan sahaja menjejakkan kaki di tanah keramat mereka tapi juga untuk memastikan mereka selesa berkongsi tentang kisah mereka, hinggalah ke memastikan suku kaum ini digambarkan dengan sebetul-betulnya – terutamanya di pentas global. Saya amat bersyukur atas peluang yang diberikan oleh BMW Shorties dan saya berharap untuk melihat lebih ramai pembikin filem watan seperti saya memanfaatkan platform ini bagi mendukung satu sama lain dalam landskap perfileman hari ini yang kian mencabar,” sebut Syahmi.

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian di BMW Group Malaysia berkongsi, “RAHASIA merupakan sebuah filem dengan visual yang amat memukau, turut membawakan sebuah naratif yang sama hebatnya, dan filem pendek ini menonjolkan Malaysia dari satu sudut yang baharu. Seperti matlamat yang kami bidik menerusi BMW Shorties, iaitu untuk menyediakan platform bagi menemukan bakat-bakat baharu, karya Syahmi juga telah menyuluh dan memberi penghormatan kepada suku kaum peribumi yang tertua di Malaysia ini. Ia merupakan antara prinsip yang kami genggam erat di BMW Group Malaysia, di mana Diversiti, Kesaksamaan, dan Keterangkuman menjadi elemen utama dalam budaya seluruh organisasi kami.”

Tambah Sashi, “Saban tahun, pemenang hadiah utama BMW Shorties terus membuat saya berasa kagum dengan karya-karya mereka, dan mereka ini juga merupakan pelapis bagi dunia seni tanah air kita untuk masa akan datang.”

Tahun ini, BMW Shorties Awards Night akan diadakan bersempena dengan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-6, sejajar dengan komitmen yang kita kongsi bersama untuk meraikan karya perfileman tanah air bersama karya-karya antarabangsa. Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-6 akan berlangsung dari 23 Julai hingga 28 Julai 2023 di pelbagai lokasi serata Kuala Lumpur, dibarisi aneka program sepanjang minggu tersebut, termasuk tayangan filem, kelas pakar, dan peluang untuk bersuai kenal.

Tayangan eksklusif filem RAHASIA akan diadakan di GSC MyTown Shopping Centre pada 28 Julai 2023 dengan tempat duduk yang terhad. Mereka yang berminat untuk menghadirkan diri boleh mengisi borang melalui Google Form; lalu e-mel pengesahan akan dihantar berserta butiran lanjut mengenai tayangan tersebut menjelang tarikh tayangan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai acara BMW Shorties, sila layari laman sesawang rasmi BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my atau laman Facebooknya di www.facebook.com/bmwshorties dan laman Instagramnya di www.instagram.com/bmwshorties.

-Tamat-