BMW Shorties Meraikan Tahun yang ke-13 dengan tema, ‘UNCHARTED’

Kuala Lumpur, 8 Ogos 2019 – BMW Group Malaysia hari ini mengumumkan acara BMW Shorties edisi ke-13, iaitu sebuah pertandingan filem pendek yang paling berprestij dengan yang paling lama dianjurkan di Malaysia.

“BMW Shorties telah menemui lebih daripada 900 bakat untuk filem dan industri kandungan digital sejak 12 tahun yang lalu. Sebagai pertandingan filem pendek yang paling tersohor dan diiktiraf di Malaysia, BMW Shorties akan meneruskan ikhtiarnya untuk menyediakan wadah bagi para pembikin filem dan kandungan digital yang ingin menempah nama mereka dengan menterjemahkan kreativiti masing-masing sekali lagi pada tahun ini. Kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pencapaian yang digarap oleh para alumni yang dilahirkan oleh BMW Shorties sejak tahun 2006. Dengan nukilan yang berjaya ke layar lebar seperti ‘Jagat’ oleh Shanjey Kumar, ‘Guang’ oleh Quek Shio Chuan, dan ‘Fly By Night’ oleh Zahir Omar, kami berasa teruja untuk menyaksikan bakat-bakat baharu daripada BMW Shorties 2019,” ujar Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat, BMW Group Malaysia.

Tema bagi BMW Shorties edisi ke-13 ialah ‘UNCHARTED’. Meraikan konsep penerokaan dan penjelajahan, ia melambangkan sebuah kombinasi sempurna – sifat ingin tahu serta kecekalan.

“Matlamat kami dengan UNCHARTED adalah untuk menggalakkan minda-minda kreatif di negara kita bebas untuk menjelajah idea baharu. Sewaktu BMW Shorties mula-mula diperkenalkan 13 tahun yang lalu, kami telah menjejakkan kaki ke sebuah dunia yang masih belum lagi diterokai, namun kami berbuat demikian untuk memberi peluang kepada para individu yang ingin merealisasikan aspirasi kreatif mereka di mana, peluang itu tidak wujud lagi pada masa itu. Langkah berani yang diambil oleh BMW Group Malaysia berjaya melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang perfileman dan pembikin kandungan digital agar mereka juga dapat menjadi pelopor dengan cara mereka sendiri dalam industri ini pada masa yang akan datang,” jelas Ambi.

Barisan para juri buat tahun ini terdiri daripada pembikin-pembikin filem dan veteran yang teriktiraf dalam industri perfileman tanah air. Juri-juri tersebut ialah:  Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang dan Rise: Ini Kalilah); Indrani Kopal (The Game Changer dan Incarcerated Rhythm), Amanda Nell Eu (Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu), serta panel penasihat bagi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) – Nadira Ilana (The Silent Riot) dan Adrian Teh (Ice Kacang Puppy Love dan PASKAL The Movie).

“BMW Shorties telah menyediakan platform yang terbaik untuk mengasah bakat-bakat dalam industri ini, rentetan itu, banyak karya yang berkualiti juga berjaya dihasilkan. Untuk penyertaan tahun ini, saya ingin melihat naratif yang berkualiti tinggi, dan saya berpendapat penting juga bagi para peserta untuk berasa yakin dengan nukilan yang akan dibawakan,” ujar Indrani.

Amanda Nell turut berkongsi sentimen beliau dengan menyatakan, “Saya ingin melihat para peserta mengambil risiko pada tahun ini dari segi naratif, gaya atau genre; mungkin penceritaan semula dengan perspektif atau visi baharu yang tidak dijangkakan – suara yang berani dan serba baharu. Industri perfileman Malaysia memerlukan individu yang berani untuk menjadi diri mereka sendiri dan tidak gentar untuk menyuarakan pandangan mereka.”

Tambah Nadira, “Penceritaan mempunyai pengaruh dan kuasanya sendiri, ia merupakan sebuah alat yang dimiliki oleh generasi pembikin filem masa kini, maka suara yang lantang dan berani menjadi inti sari yang penting dalam hasil karya mereka.”

Berkenaan dengan masa depan dunia pembikinan filem di Malaysia, Saw ungkapkan, “Waktu ini sangat mengujakan bagi industri perfileman tempatan kerana hadirnya pelbagai suara serta naratif yang baharu dan berkualiti tinggi. Pastinya, kami ingin melihat keberanian dan keazaman ditonjolkan oleh bakat-bakat baharu ini.” Rentetan komen itu, Adrian berkongsi, “Kami memerlukan bakat untuk masuk dan bekerjasama dengan kami. Anda tidak akan pernah tahu apa yang anda boleh menawarkan jika anda melihat dari jauh. Jika anda fikir anda berpotensi, mulailah di tempat seperti BMW Shorties – yang memberi peluang kepada anda untuk mengukir laluan karier anda ke dalam industri. Serlahkan bakat anda.”

BMW Shorties 2019 akan menghadiahkan pemenang utama sebuah geran produksi yang bernilai RM 80,000. Pelbagai faset pembikinan filem yang lain juga akan diiktiraf melalui kategori penganugerahan seperti: Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Terbaik, Rekaan Bunyi Terbaik, Anugerah Pilihan Popular serta kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini, Anugerah Pelajar Terbaik.

Acara BMW Shorties akan dibuka untuk menerima penyertaan bermula 8 Ogos 2019 sehingga 11 Oktober 2019 pada jam 6:00 petang untuk para pembikin filem serta kandungan digital yang beraspirasi menghantar penyertaan masing-masing.

Tahun ini, BMW Shorties juga akan menerajui segmen filem Urbanscapes – pesta seni kreatif yang paling lama di Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai BMW Shorties dan cara untuk menyertainya, boleh didapati di laman web rasmi BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my atau laman Facebook rasmi BMW Shorties di www.facebook.com/bmwshorties serta laman Instagram di www.instagram.com/bmwshorties.