BMW i3s yang Sulung – Kini Tersedia di Wakil Pengedar BMW i yang Bertauliah

Kuala Lumpur, 2 Ogos 2019 – Dalam BMW Group,kelestarian kini bukan sahaja sebuah idea atau matlamat lagi; ia telah menjadi realiti dengan tindakan pragmatik menjurus kepada perubahan yang didahagakan oleh dunia ini.

Semakin ramai pemilik kenderaan warga Malaysia yang memupuk gaya hidup lestari, dan BMW Malaysia sedang memastikan mobiliti sentiasa menjadi sebahagian daripadanya menerusi BMW i. Tidak asing dengan elemen kelestarian, jenama BMW i membidik untuk menzahirkan kelestarian mewah bagi individu-individu yang semakin cakna terhadap kesihatan alam semula jadi. Bagi warga Malaysia, ia telah menjurus kepada pengenalan jentera BMW i3s yang sulung ini – sebuah kereta yang dibangunkan daripada usul konsep untuk merangkumkan bahan semula jadi, bahan boleh dikitar semula, serta bahan yang telah dikitar semula.

Dengan memandu BMW i3s, ia bermakna anda juga memandu nurani anda menjangkaui jaminan emisi tempatan sifar. Malah sebelum produksi dimulakan, BMW i3s dirumus khas untuk memastikan kuota konsisten yang merangkumi 95% bahan boleh dikitar semula dikecapi, terutamanya bagi bahan-bahan melibatkan aluminium dan kuprum yang tidak boleh dikitar semula.

Inilah caranya BMW i3s menunjukkan pandangan holistik BMW Group mengenai elektro-mobiliti premium.

Permukaan interior diperbuat daripada 80% bahan boleh dikitar semula, bahan natural, termasuk bahan yang telah dikitar semula. Mengimbas ke seksyen hadapan, panel instrumen yang menawan dapat dilihat oleh pengguna, ia diperbuat daripada kayu eucalyptus berliang terbuka yang dituai dengan kaedah yang tertib. Permukaannya yang berciri kalis lembapan bermakna ia memerlukan tahap pemprosesan permukaan yang jauh lebih rendah, iaitu sebanyak 90% berbanding material kayu konvensional. Pada tahun 2013, BMW Group muncul sebagai pengeluar automotif yang pertama mengguna pakai kayu eucalyptus yang didapatkan daripada 100% kayu yang diiktiraf dari pengurusan perhutanan yang bertanggungjawab.

Pelapik pintu (door lining) dan pelitup panel instrumen kenderaan ini, yang biasanya diperbuat daripada bahan plastik berasaskan petroleum sebaliknya digantikan dengan gentian kukuh daripada tumbuhan Kenaf, sejenis tumbuhan berasal daripada keluarga Malvaceae, yang mampu menukar jumlah karbon dioksida yang banyak kepada oksigen ketika fasa pertumbuhannya.

Ia bukan sahaja mengurangkan jumlah berat jentera ini secara signifikan, malah struktur badannya yang mempesonakan juga menyingkirkan keperluan pelekapan, lantas menyumbang kepada elemen kelestarian yang dibawakan oleh reka bentuk BMW i3s. Bersama sebuah agensi pembangunan – Deutsche Gesellschaft für internationale Zusammernarbeit – BMW Group telah melatih sekitar 1,000 petani kenaf tempatan untuk menjamin aktiviti penuaian yang lestari bagi bahan semula jadi ini.

Tempat duduk jentera BMW i3s yang pertama merungkaikan bahan kulit yang diperangkan secara natural dengan ekstrak daun zaitun. Melalui proses yang tertib, daun-daun ini didapatkan daripada hasil tuaian zaitun di selatan Eropah, ia mengelakkan pembaziran skala besar melibatkan bahan-bahan semula jadi. Material kulit tersebut yang diperangkan dengan halus juga membentuk sebuah kemasan empuk, ia menzahirkan aroma kesegaran pada tempat duduk jentera ini, meregulasikan kelembapan serta suhu untuk memperkayakan keselesaan yang dapat diamati ketika pemanduan.

Bahan poliester dikitar semula 100% dijadikan sebagai fabrik untuk menghiasi interior BMW i3s. Material ini, yang meliputi 34% bahan yang didapati daripada botol PET, akan melalui proses inovatif melibatkan pencairan pelet PET untuk membuat fabrik yang bukan sahaja sedap untuk disentuh dan dilihat, malah tahan lasak. Bahan ini kemudiannya digunakan untuk membuat pelapik tempat duduk, kemasan lantai dan bumbung serta hamparan kaki, menggantikan sebanyak 25% bahan sintetik termoplastik yang digunakan dalam kenderaan konvensional. Penawaran terperinci ini membuktikan janji BMW i terhadap kelestarian.

Pada penghujung jangka hayatnya, sebahagian besar BMW i3s dikitar semula untuk meregulasikan penggunaan bahan semula jadinya dengan lebih baik, dan pada masa yang sama, memastikan pembaziran alam sekitar dan ekonomi berada pada paras yang terendah. Pusat kitar semula syarikat ini, BMW Recycling and Dismantling Centre (RDC) di Munich mengitar semula lebih daripada 7,500 kenderaan setiap tahun, ia mencerminkan sebuah contoh peranan yang dimainkan dengan jelas dalam industri automotif. Selain daripada tugasan menganalisis konsep kitar semula yang baharu, RDC juga bekerjasama dengan institusi-institusi penyelidikan untuk membangunkan teknologi kitar semula yang lebih baik.

Dengan visi yang berpaksikan mobiliti masa hadapan, BMW i bersedia untuk mengharungi segala cabaran sementara ia mencorakkan laluan ke hadapan dengan membawakan aspek kelestarian dalam kenderaan elektrik bagi segmen premium. Bermula dari produksi sehingga fasa peleraiannya, jenama BMW i didorong oleh kelestarian dan pendekatan untuk memastikan industri ini mendepani arus kemajuan dengan memastikan kesihatan alam sekitar kita terjamin.

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Pemilik BMW i3s yang pertama ini juga boleh menikmati pengalaman Pemilikan Premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia, dan ia merangkumi:

  • Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Program Waranti Tayar Bertempoh 2 Tahun/24 Bulan oleh BMW untuk penawaran servis ‘Run Flat Tyre’
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW White Card
  • Servis Dalam Talian oleh BMW

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Perbatuan Tanpa Had Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) BMW i3s yang pertama ialah:

BMW i3s yang Pertama – RM 278,800.00

GALERI