GR YARIS DI PERKENALKAN DI MALAYSIA DALAM UNIT TERHAD DENGAN PERFORMANCE PACK EDITION

UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini meraikan ketibaan GR Yaris yang dinanti-nantikan, dengan unit terhad Performance Pack Edition yang kini mula ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Dengan harga RM299,000 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans komprehensif) hanya GR Yaris Performance Pack Edition dengan unit terhad akan dijual di Malaysia dan setiap satunya akan datang dengan plat nombor istimewa eksklusif. GR Yaris ditawarkan dalam tiga warna istimewa: Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black.

“Kami sangat teruja dan gembira untuk memperkenalkan GR Yaris di Malaysia. Ia sebuah kereta yang telah menarik banyak perhatian dan pujian di seluruh dunia, menetapkan penanda aras baharu bukan sahaja untuk kenderaan dalam segmennya, tetapi juga dengan cara ia dibina. Ketika bersemuka dengannya, apa yang dapat saya katakan adalah reputasi GR Yaris sebagai sebuah kereta perlumbaan berprestasi memang jauh ke hadapan, ” ujar Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K.

Beliau menambah, GR Yaris memperluaskan lagi rangkaian kenderaan Toyota Gazoo Racing (GR) di Malaysia yang kini turut merangkumi GR Supra 3.0 liter dan Vios GR-Sport yang baru dilancarkan, memberikan pelanggan lebih pilihan untuk memiliki model berprestasi keluaran Toyota.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama berkata, GR Yaris menegaskan komitmen Toyota untuk unggul di peringkat tertinggi sukan permotoran antarabangsa serta berkongsi pengalaman, pengetahuan dan manfaat demi pengeluaran kenderaan yang lebih baik untuk orang ramai.

“Proses pembuatannya adalah yang pertama buat Toyota, dimana elemen dan keperluan perlumbaan menentukan pembinaan dan kejuruteraan GR Yaris. Produk akhir dan hasilnya sangat luar biasa.”

“Sebagai memperingati model yang dinanti-nantikan ini, yang dibina untuk perlumbaan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala kecil GR Yaris dan mengikuti aktiviti
Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej berkenaan bernilai RM5,000.”

KELAHIRAN PENCABAR PERTANDINGAN RALI DUNIA GR
Yaris merupakan sebuah kereta World Rally Championship (WRC) yang dibina untuk jalan raya dan satu-satunya kereta WRC sah yang boleh dibeli untuk tujuan bukan perlumbaan. Malah, sebelum para pereka menghasilkan lukisan pertama, bayangan konsepnya adalah untuk membina sebuah jentera WRC—serba-serbi tentang GR Yaris mengambil ilham daripada pertandingan rali dunia yang termasyhur itu.

Toyota mencipta GR Yaris sepenuhnya sebagai kereta rali yang dibuat dengan tujuan untuk bersaing di Kejuaraan Rali Dunia (WRC) sebelum memperbaiki dan menyesuaikannya menjadi hot hatch jalan raya berprestasi tinggi. GR Yaris adalah model homologasi pertama Toyota untuk WRC sejak Celica GT-FOUR yang kali terakhir dihasilkan pada tahun 1999.

Dibangun menggunakan platform unik yang menggabungkan platform GA-B terkini (daripada generasi terbaru Yaris hatchback) dan bahagian belakang yang diadaptasi daripada platform GAC (digunakan untuk Corolla dan C-HR), GR Yaris ialah model pertama yang dibina di kilang pembuatan
khas GR di Motomachi, Jepun – fasiliti yang sama bertanggungjawab mengeluarkan supercar Lexus LFA.

GR Yaris dibina dengan harapan yang besar, untuk mewarisi sejarah WRC Toyota sejak tahun 1973 yang memenangi empat anugerah pengeluar dalam perlumbaan WRC dan tiga anugerah kejuaraan untuk pemandunya.

Direka dengan kerjasama pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team dan Tommi Makinen Racing, di bawah pimpinan ketua pasukan dan legenda WRC Tommi Makinen sendiri, GR Yaris mendapat kelebihan daya saing dari segi pembinaan kenderaan, teknologi dan kepakaran sejak daripada peringkat awal penciptaannya.

Pereka dan jurutera WRC dapat menumpukan perhatian untuk menyempurnakan aerodinamik, pengagihan berat dan pembinaan kereta yang ringan – tiga kualiti utama untuk mencapai prestasi dan pengendalian.

Hasilnya ialah garis bumbung yang lebih rendah untuk meningkatkan prestasi aerodinamik GR Yaris; enjin turbo 1.6-liter; kedudukan semula bateri di but kereta untuk keseimbangan casis yang lebih baik untuk meningkatkan pengendalian, kestabilan dan tindak balas; dan kelahiran kerangka badan tiga pintu daripada material ringan termasuk aluminium dan polimer serat karbon untuk mendapat nisbah kuasa kepada berat yang mengkagumkan sementara platform baharu memberi ruang untuk track belakang yang lebih luas dan sistem suspensi belakang double wishbone baharu.

GARANG YANG MENYERLAH
Bentuk hadapan GR Yaris yang garang dan mengancam, menyerlahkan identiti yang sangat kompetitif. Bukaan besar di bampar hadapan mengikut bentuk radiator direka untuk prestasi penyejukan maksima sementara bukaan udara menegak di kedua sisi bampar hadapan pula berfungsi untuk menyejukkan brek. Permukaan dengan tekstur di bampar hadapan berfungsi untuk menyerlahkan kedudukannya agar tampil lebih lebar dan rendah.

Mendekati bahagian belakang, GR Yaris mendapat sentuhan bumbung yang menirus dengan tiang belakang yang disempurnakan dengan spoiler GR yang tinggi bertujuan untuk meningkatkan down force keseluruhan.

GR Yaris dilengkapi dengan rim aloi diperkukuh 18-inci dengan tayar Michelin Pilot 4S bersaiz 225/40R18 – eksklusif untuk Performance Pack Edition. Lencana khas GR juga menghiasi bampar hadapan, fender hadapan dan pintu belakang.

PRESTASI CEMERLANG
Dikuasai dengan enjin tiga-silinder 1,618 cc sebaris, DOHC dan intercooler turbocas, GR Yaris mampu menghasilkan kuasa maksima 261 PS pada 6,500 rpm dan tork 360 Nm pada 3000-4600 rpm.

“Enjin 1.6 liternya mematuhi peraturan WRC 2. Kita boleh menggelarnya sebagai enjin tigasilinder terkuat di dunia, unit turbo 1.6 liter yang paling ringan dan terkecil yang kini dalam pengeluaran,” kata Atsunori Kumagaya yang mengetuai projek pembangunan GR Yaris.

GR Yaris tersedia dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (Intelligent Manual Transmission) yang mengesan operasi pernukaran gear oleh pemandu dan memadankan dengan kelajuan enjin untuk memberikan rasa yang lancar dan selesa ketika peralihan gear.

Setiap perincian dihasilkan untuk menyerlahkan prestasi cemerlangnya. Tombol gear diletakkan tinggi di konsol tengah dan lebih dekat dengan roda stering untuk membolehkan pemandu menukar gear dengan lebih pantas, sementara pergerakan penukaran gear juga dipendekkan dan
diringankan untuk rasa kawalan yang lebih tinggi.

Dengan menggunakan sistem pacuan empat roda sepenuh masa (GR-Four), GR Yaris menawarkan mod pemanduan Normal, Sport dan Track. Ini adalah yang pertama dibangunkan sejak sistem pacuan empat roda yang ada untuk Toyota GT-4 sekitar 20 tahun lalu. Sistem GR-Four mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang melalui gandingan tindak balas tinggi dan klac jenis multi-plat yang dikawal secara elektronik yang menguruskan pemisahan kuasa antara roda depan dan belakang. Dalam mod Normal tork ialah dalam nisbah 60:40 antara depan dan belakang, dalam mod Sport agihan tork adalah 30:70 sementara dalam mod Track, agihan tork adalah 50:50 yang seimbang. Performance Pack Edition juga menyaksikan GR Yaris dilengkapi dengan limited slip differential (LSD) Torsen®.

BADAN RINGAN PRESTASI TINGGI
Memiliki berat 1,280 kg dan untuk layak menjadi pesaing featherweight dalam WRC, GR Yaris menggunakan beberapa material untuk pembinaan badan luarannya bagi mencapai nisbah kuasakepada- berat dan keteguhan kerangka yang ideal.

Ini termasuk bahagian bumbung yang diperbuat daripada material karbon baru yang ditempa (dan bukan dijalin) serta C-SMC (carbon sheet moulding compound); bonet, pintu depan dan but belakang aluminium; reka bentuk tiga pintunya yang mengurangkan 24 kg; kepingan keluli nipis di bahagian sayap dan sisi, dengan keluli tegangan tinggi di bahagian kritikal untuk memastikan keteguhan struktur dan kebolehan untuk menyerap dan menghilangkan kuasa impak.

Prestasi melalui keringanan ini juga dipengaruhi oleh reka bentuk enjin 1.6 liter turbo tiga-silinder baru; komponen suspensi, brek dan enjin; dan dilanjutkan juga hinggalah ke bahagian dalaman.

Suspensi rali yang ditala oleh pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally mempunyai geometri dan tetapan yang ditentukan untuk memaksimumkan cengkaman tayar. Bar anti-roll depan Performance Edition Pack lebih tebal dan diameter spring pada suspensi depan ditambah untuk meningkatkan kestabilan dan kelincahan.

Kuasa pemberhentian datang daripada cakera brek dua bahagian berliang dengan saiz 356 mm dengan angkup GR aluminium merah empat piston di bahagian depan, manakala cakera berliang dalam saiz 297 mm dengan angkup GR merah aluminium dua omboh di bahagian belakang. GR
Yaris juga dilengkapi dengan brek parkir yang dikendalikan dengan tangan secara mekanikal untuk membolehkan belokan maksima seperti dalam perlumbaan rali.

DALAMAN RINGKAS, ELEGAN & DIREKA UNTUK PEMANDUAN BERPRESTASI TINGGI
Bahagian dalam GR Yaris menggabungkan keringkasan, elegan dan fungsi yang menyerlahkan sisi kesukanan dan prestasi. Keringanan sekali lagi menjadi hal utama dan ini merangkumi rangka tempat duduk yang ringan tetapi teguh dengan balutan kulit hitam dan jahitan merah untuk tempat duduk sport serta tempat duduk belakang serba hitam.

Kereta ini mempunyai stereng multifungsi balutan kulit tiga jejari GR khas, sementara bahagian dalaman keseluruhannya berwarna hitam dengan perincian trim rona perak di pemegang pintu dalam, lubang udara sisi dan konsol tengah.

Ketelitian GR Yaris terhadap perincian sangat mengkagumkan. Pedal sukan aluminium yang digerudi yang direka dengan permukaan yang lebih luas membuatkan menukar pedal menjadi lebih mudah dan membantu pertukaran tumit dan kaki antara brek dan pemanduan laju. Kedudukan pedal, sudut pad dan sudut injak juga telah dikira sesuai dengan titik pinggul pemandu untuk mendapatkan kawalan yang terbaik.

Paparan maklumat dalam GR Yaris terdiri daripada meter analog yang menampilkan angka putih dengan penunjuk merah untuk pemanduan sport dengan jarak pandang tinggi, dan paparan multi-maklumat berwarna TFT 4.2-inci (MID) dengan penunjuk pacuan semua roda yang memaparkan taburan tork dan mod pemanduan yang dipilih untuk sistem GR- FOUR, penunjuk kedudukan gear, serta monitor tekanan turbo. GR Yaris juga mempunyai head-up display (HUD).

Aspek hiburan disediakan dalam bentuk skrin sentuh 7-inci dengan Apple CarPlay™ dan Android Auto™ Connectivity*, radio FM, USB, Bluetooth® dan sistem audio enam-pembesar suara. Turut terdapat ciri kawalan pendingin udara automatik dwi-zon, cermin pandang belakang electrochromic, stereng elektrik berkuasa (EPS), sistem smart entry pintar, butang kuasa dengan lencana GR, dan tingkap berkuasa dengan fungsi automatik buka/tutup dengan Jam Protection.

Sementara itu, sistem penambahbaikan bunyi enjin menghantar bunyi yang menyeronokkan ke dalam kabin bersesuaian dengan pemecutan dan tork yang dikerah.

KESELAMATAN ADALAH KEUTAMAAN
Berpandukan tahap keselamatan yang tinggi untuk sebuah kereta WRC, GR Yaris diperkasakan dengan sistem keselamatan Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control (TRC). VSC juga dilengkapi mod Pakar yang membolehkan pemandu menyahaktifkannya bersama TRC sekali. Ciri
standard lain termasuk Anti-Lock Braking System (ABS); Brake Assist (BA); dan Eletronic Brake Force Distribution (EBD).

Ciri keselamatan dipertingkatkan lagi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Pre-Crash System (PCS); Dynamic Radar Cruise Control (DRCC); Lane Departure Alert (LDA); Lane Tracing Assist (LTA); dan Auto High Beam (AHB).

Dilengkapi dengan perlindungan enam-beg SRS, ciri keselamatan yang lain termasuk Hill-Start Assist Control (HAC); peringatan tali pinggang depan & belakang; cermin sisi kawalan automatik dengan lampu signal; pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan; perakam video kereta;
sensor parkir belakang; sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS); tali pinggang keselamatan tigapoin dengan Emergency Locking Retractor (ELR) bersama dua pre-tensioners dan force limiters; Isofix tersedia; alat imobilisasi, siren dan sensor pencerobohan; serta filem penapis haba premium Toyota. Vehicle Telematics System juga ada sebagai aksesori pilihan.

GR Yaris mempunyai jaminan selama lima-tahun daripada tarikh pertama pendaftaran, tanpa had perbatuan (tertakluk terma dan syarat).

Dengan pengeluaran hanya sebanyak 25,000 unit untuk seluruh dunia dan hanya 200 unit yang diperuntukan di Malaysia, GR Yaris bukan sahaja terhad tetapi sangat istimewa dan unik untuk dimiliki. GR yang sangat mengkagumkan ini boleh didapati di semua cawangan GR Garage. Untuk
maklumat lanjut mengenai GR Yaris sila lawati laman web www.toyota.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *