Honda Forza 300 Skuter

Selepas kemunculan Skuter Honda Forza 300 terbaharu ini ramai juga peminat peminat skuter amnya akan menjangkakan model ini akan kurang mendapat sambutan. Lebih lebih lagi dengan kapasiti enjin melebihi 250cc yang memerlukan lesen B “Full” dan aspek harganya membuatkan pilihan mereka beralih kepada jenama skuter 250 cc sahaja. Bukan admin tak tahu rata-rata pemilik skuter tidak pernah puas dengan apa yang ada pada jentera masing masing. Tidak mengapa itu mungkin satu andaian admin. Jangan marah.

Tahun Lepas Admin ada menunggang uji Honda NSS 300, dan admin akui produk Honda lebih mementingkan keselesaan ketika tunggangan dan juga penggunaan minyak yang baik. Walaupun admin tak berapa minat rekabentuknya. Akan tetapi dengan model Forza 300 admin rasa bagai satu pakej lengkap bagi mereka yang menghargainya.

Rekabentuk Forza 300 ini boleh diklasifikasikan agak sporty dan slim mengikut kesesuaian trend skuter masa kini berbanding model sebelumnya yang kelihatan agak bulky. Jom kita tengok lagi apa yang ada pada Skuter Premium ini. Forza 300 ini lebih ringan hampir 12kg dari model sebelum ini. Seat yang selesa dan juga kedudukan handlebar yang baik membantu penunggangnya melayani perjalanan ke mana sahaja hendak pergi tanpa kurang rasa penat. Sekarang pun ramai yang berulang alik dari tempat kerja ke rumah dengan jarak perjalanan 50km ke atas. Memang sesuai sangat punggunaan skuter sebegini sebagai pengangkutan utama.

Ketika menunggang panel meter honda Forza gabungan analog speedometer dan digital hampir menyerupai panel meter kereta untuk memberi informasi penuh dan mudah dibaca. Termasuk kadar penggunaan minyak, bateri, suhu semasa dan sebagainya. Memang kemas macam bukan papan meter sebuah motorsikal. Visor hadapan boleh laras secara automatik dengan menekan butang di bahagian sebelah kiri mengikut kesesuaian semasa atau penunggangnya. Admin selalu rendahkannya ketika menunggang secara perlahan untuk mendapatkan angin lebih ataupun ketika di lebuhraya tinggikan sikit bagi mendapatkan aerodinamik yang baik ketika menunggang laju.

SIstem Suspensinya juga ditambah baik dengan 33mm fork teleskopik dan shock berkembar dibahagian belakang memberikan keselesaan optimum walaupun jika naik berdua lebih lebih lagi ketika melayani selekoh.

Di bawah tempat duduknya yang luas boleh memuatkan dua helmet fullface atau menyimpan beg kecil kelengkapan untuk mengembara. ini antara kelebihan menggunakan skuter sentiasa ada ruang untuk penyimpanan barang walaupun tiada kotak tambahan. di bahagian hadapan pula ada ruangan yang kecil lengkap dengan power socket 12 volt bagi memudahkan anda mengecas telefon bimbit.

Keyless Entry bagi menggantikan kunci juga sangat membantu. Tidak perlu hendak menyelok poket bagi mengeluarkan kunci lebih lebih lagi ketika agak tergesa gesa. Cuma perlu dekat pada skuter semuanya boleh dikawal.

Walaupun Enjin Forza 300 ini adalah sama dengan model sebelumnya, “single overhead cam” penyejuk cecair 25hp pada 7000 rpm, namun ianya telah di lakukan perubahan bagi memberikan tunggangan yang lancar bagi semua kelajuan dan juga penggunaan minyak yang sungguh ekonomi. Deangan satu tangki penuh 11.5 liter ini anda mampu menunggang dengan jarak sejauh 370km. Itupun admin hanya sempat buat perkiraan perjalanan di dalam bandar. Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang ada pada model ini juga memberikan lagi konfiden pada si pengunggang. Mudah cerita sistem ini akan mengawal dari tayar hadapan memintas tayar hadapan. HSTC ini boleh juga di nyah aktifkan ikut kepada kesesuai orangnya.

Untuk pasaran Malaysia, 3 warna boleh dipilih mengikut kesesuaian atau minat kita iaitu Pearl Horizon White, Sword Silver Metallic, Asteroid Black Metallic dengan harga sebelum cukai dan insuran dari RM30,999.00.

Kalau hati dah minat buat buatlah singgah ke wakil penjual dan lihat sendiri apa yang ada pada Skuter yang boleh di anggap kelas Premium ini.