KUMPULAN PIAGGIO MENGUMUMKAN WAKIL PENGEDAR RASMI UNTUK PIAGGIO & VESPA DI MALAYSIA

Petaling Jaya, 29 November 2019 – Kumpulan Piaggio secara rasmi mengumumkan pelantikan Didi Resources Sdn. Bhd. sebagai pengedar rasmi 2 jenama skuter premium, Piaggio & Vespa, di Malaysia.

Didi Resources Sdn. Bhd. akan menguruskan Piaggio dan Vespa menggantikan pengedar sebelum ini, Naza Premira Sdn. Bhd.. Piaggio Group mengucapkan terima kasih kepada Naza Premira Sdn. Bhd., untuk usaha pembinaan jenama dan sokongan berterusan sejak tahun 2010. Encik Gianluca Fiume, Pengerusi & Ketua Pengarah Piaggio Vietnam merangkap Naib Presiden Eksekutif Asia Pacific 2 Wheeler berkata, “Pelantikan Didi Resources adalah sebahagian daripada strategi perniagaan Piaggio untuk menyusun jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu bumbung bagi memaksimumkan kecekapan merentas semua aspek perniagaan dan mengukuhkan komitmen terhadap pelanggan di Malaysia. Dengan jenama Piaggio Group di bawah satu bumbung yang ditubuhkan di bawah Konsep Motoplex, kami berupaya menawarkan pilihan yang lebih luas kepada pelanggan berpotensi yang mencari pengalaman dua roda Itali disokong oleh gaya, teknologi, prestasi unggul dan warisan yang kaya. Kami harap untuk bekerjasama rapat dengan Didi Resources bagi membawa jenama ini maju ke hadapan ke tahap yang lebih tinggi.”

Menurut Encik Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Resources Sdn. Bhd, “Selain daripada mengendalikan Aprilia dan Moto Guzzi, kami amat berbesar hati diberi peluang ini bagi menguruskan Piaggio dan Vespa, jenama skuter premium yang telah mengubah konsep pergerakan dan kebebasan individu. Dengan pengambilalihan ini, kami kini boleh menguruskan Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah konsep Motoplex, ikon Kumpulan Piaggio yang berprestij untuk pasaran Malaysia. Didi Resources komited untuk mengukuhkan kedudukan jenama dengan memperhebat usaha pemasaran dan perhubungan, yang menawarkan perkhidmatan sokongan selepas jualan, meyakinkan masyarakat, dan memastikan penglibatan dengan jenama itu berterusan dalam suasana persekitaran dua roda yang kompetitif di Malaysia.”

Motoplex adalah model runcit yang paling inovatif untuk industri dua roda dan membolehkan pengimport dan peniaga memanfaatkan potensi jenama dan produk Piaggio Group di outlet yang sama. Setiap Kedai Motoplex menyediakan tawaran penuh bagi jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di lokasi tunggal, bersama dengan perkhidmatan, aksesori, barangan dan hiburan, untuk memberi pelanggan gambaran global yang menarik dan pengalaman unik dunia dua roda.

Dilancarkan pada 2015, Piaggio Group telah melepasi sasaran penting membuka 500 Motoplex di seluruh dunia – di Eropah, Amerika, Oceania, Asia, dan India di samping rangkaian pengedaran tradisional. Antara bandar utama di mana Motoplex Stores telah dibuka ialah New York, Bangkok, Tokyo, Milan, Pune, Malta, Madrid, London, Berlin, Vienna, Lisbon, Stuttgart, Sydney, Jakarta dan Bali.
Pelantikan rasmi Didi Resources sebagai pengimport tunggal dan pengedar untuk Piaggio dan Vespa akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020. Rancangan untuk pembinaan Motoplex sedang dilaksanakan dengan pelancaran yang dijadualkan pada awal tahun 2020. Senarai lengkap peniaga Vespa boleh diperolehi di https://www.vespa.com/my_EN/store-locator.htm