MERCEDES-BENZ A250 AMG LINE – KOMPAK TAPI MASIH CUKUP MEWAH

“Hey Mercedes..”

Ialah panggilan suara yang anda perlu biasakan jika mahu memesan sesuatu dari sistem pengesan arahan suara komputer pintar Mercedes-Benz A250 dipanggil MBUX.

Tetapi bagi sesiapa yang sangka MBUX sama seperti sistem KITT dalam cerita “Knight Rider” atau JARVIS dalam “Iron Man”, anda mungkin akan kecewa.

Kerana sistem pertanyaan suara Mercedes ini hanya memahami arahan dalam Bahasa Inggeris dan arahan yang telah diprogram terlebih dahulu.

Apa-apa arahan yang belum dikenali tidak akan dilayan, seperti “Hey Mercedes..where’s the best Asam Pedas restaurant in Melaka?”

“How may I help you?” jawab Mercedes.

Sistem suara MBUX nampaknya tak faham “Asam Pedas”.

Terpaksala saya cari dengan memasukkan soalan itu kedalam sistem komputer MBUX secara manual melalui papan pengesan pergerakan jari yang terdapat di antara dua tempat duduk depan.

Senarai restoran dipaparkan pada skrin 10-inci menunjukkan “Asam Pedas Jr.” yang terletak di Jalan PM Mahkota Square, Bandar Hilir, Melaka.

Haaa..dapat pun.

Selepas mengesahkan tujuan perjalanan di sistem penunjuk arah MBUX, saya menyediakan sistem fungsi kenderaan A250 pula.

Perjalanan dari KL ke Bandar Melaka mengambil masa dalam 2 jam lebih, oleh itu saya memilih setting Comfort.

Varian A250 mempunyai pilihan fungsi kenderaan Sport dan Comfort yang akan menyesuaikan program enjin dan kotak gear untuk memberikan tahap pemanduan dan pengendalian yang mantap dari enjin turbo 2.0-liter M260 yang datang dengan varian A250 AMG Line.

Banyak bezanya antara Sport dan Comfort dan ianya dapat dirasai dengan serta-merta.

Dimana setting Comfort semuanya berasa aman, setting Sport menjadikan keadaan lebih cepat dan agresif.

Tetapi setting Comfort ini membuatkan sistem suspensinya sangat lembut dan bila ditambah dengan rendahnya tahap kedudukan suspensi ini (15 mm lebih rendah dari biasa), setting Comfort memang kurang sesuai untuk pengendalian agresif di jalan bengkang-bengkok, kerana bahagian depan kereta akan berbuai.

Yang paling terasa ialah apabila penukaran gear klac berkembar 7 kelajuan bertambah cepat dengan bunyi enjin yang lebih nyata. Memang sangat hebat sistem pintar enjin A250 ini.

Bila tekan pedal minyak, ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat. Sangat berprestasi.

Dengan kuasa enjin turbo 224 bhp dan 350 Nm daya tork, A250 mempunyai kuasa yang lebih banyak dari amaun yang diperlukan, dan ini membuat perjalanan jauh menjadi perjalanan dekat sahaja.

Walaupun A-Class adalah model Mercedes yang bersaiz kecil, namun ruang dalamannya cukup luas untuk 4 orang dewasa untuk berasa selesa pada perjalanan jauh.

Ruang dalamannya juga cukup mewah dan moden, lebih-lebih lagi dengan papan pemuka yang didominasi oleh dua skrin sentuh 10 inci.

Pada waktu malam, susasana mewah akan lebih terserlah bila lampu LED bermacam warna dipasang dan meyelubungi ruang dalam kereta.

Perjalanan lebuhraya saya sangat aman dan selesa, hanya terganggu kerana kejadian kebakaran sebuah lori beberapa kilometer sebelum Ayer Keroh.

Saya tak pernah bosan sesaat pun kerana ada skrin besar dihadapan mata yang menghiburkan dengan paparan status kenderaan, kelajuan, penggunaan tenaga elektrik yang tercas, dan lain-lain. Semuanya ditunjukkan dengan grafik yang sofistikated dan cantik.

Cakap tentang cantik, saya banyak mendapat komen positif tentang rupa A-Class baharu ini.

A-Class baharu menampilkan badan kereta yang lebih langsing, panjang ditambah 30mm dari tayar depan ke tayar belakang, dibuat supaya terdapat lebih ruang dalam berbanding model A-Class lama.

A-Class baharu menggunakan platform Modular Front Architecture 2 (MFA2) yang memiliki ukuran 4,419 mm panjang, 1,796 mm lebar dan 1,440 mm tinggi.

Mungkin pada mata saya model A-Class lama lebih nampak sporty tapi model baharu ini nampak lebih mewah.

Selain A250 AMG Line, yang berharga RM264,000, terdapat juga model A200 Progressive Line yang murah sedikit, dijual pada harga RM228,000. Sampainya di Melaka, saya dan penumpang saya masih berasa segar, tetapi lapar. Mujurlah A250 kami membawa kami tepat ke lokasi restoran Asam Pedas di Bandar Melaka.

GALERI