PETRONAS AUTOEXPERT KINI DI IPOH

Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini merasmikan sebuah pusat servis kenderaan Is Tayar Maju Sdn Bhd di bawah program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-PETRONAS (PUMP) yang pertama di negeri ini.  Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dato’ Zulfikri Osman berkata, pembukaan pusat servis itu adalah selari dengan objektif MARA dalam membangunkan komuniti usahawan automotif yang dinamik dan kompeten.

Tambah beliau, “Sejak tahun 2021, MARA aktif memperkasa jenama perniagaan program PUMP dalam meningkatkan imej dan menepati piawaian industri, seterusnya memperkukuhkan jenama program supaya ianya dilihat setara atau lebih baik daripada pesaing di pasaran.” “Peningkatan imej ini untuk penampilan imej pusat servis lebih segar, dinamik dan berani serta mampu menarik lebih ramai pelanggan berkunjung dengan rekaan luaran dan dalaman yang ceria, selesa dan bengkel penyelenggaraan dilengkapi kelengkapan moden,” katanya ketika perasmian Is Tayar Maju Sdn Bhd.

Hadir sama, ahli Pengurusan dan Subsidiari MARA, wakil PETRONAS, pemain industri dan usahawan dalam bidang tersebut. PUMP yang berkolaborasi bersama PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMMSB) itu dilengkapi dengan modul Latihan berstruktur yang komprehensif dan seterusnya usahawan akan  melaksanakan proses pengubahsuaian premis bagi mewujudkan outlet di bawah jenama tersebut.

Selain daripada latihan dan pengubahsuaian, usahawan yang terpilih turut akan menerima khidmat nasihat serta dibantu dengan kemudahan pembiayaan perniagaan bagi mereka yang layak. Proses pengubahsuaian dijangka mengambil masa selama 3 bulan. “MARA mensasarkan kepada usahawan yang ingin meningkatkan imej pusat servis serta menaiktaraf pusat servis kepada yang lebih baik. Selain itu, kami turut memberi galakan kepada lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta untuk menceburi atau menjalankan perniagaan dalam bidang Automotif,” katanya. “Pihak PETRONAS amat berbesar hati kerana dapat meneruskan Kerjasama dengan MARA demi memperkasakan ekonomi para usahawan di Malaysia.

Kami akan memberi sokongan penuh kepada seluruh jaringan PETRONAS AutoExpert terutama dari segi kemahiran teknikal, latihan, peralatan dan pemasaran, agar semua pengusaha PUMP mendapat nilai mampan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PLMMSB, Mohd Zameer B Mohd Zahur Hussain yang turut hadir di acara perasmian. Sehingga kini, sebanyak 20 outlet PUMP telah dibangunkan melibatkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM10.3 juta. Usahawan di bawah program ini telah mencapai nilai jualan sebanyak RM15.85 juta. Pembukaan outlet Is Tayar Maju Sdn Bhd yang dimiliki oleh Ismail bin Ahmad, 52, secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *