Seong Hoe Premium Motors merungkai Fasiliti Pengecasan MINI baharu di negeri Melaka.

Seong Hoe Premium Motors, wakil pengedar yang paling lama berkhidmat di bawah BMW Group Malaysia di negeri Melaka telah merungkaikan Fasiliti Pengecasan MINI yang baharu di Kota Syahbandar, hanya berjarak dua kilometer dari perkarangan Jonker Street yang ikonik, bagi memenuhi permintaan pengguna dari dalam dan luar negeri ke atas infrastruktur kenderaan elektrik (EV) yang sedang berkembang dengan pesat.

Loy Suan Chiow, Pengurus Besar Seong Hoe Premium Motors menyatakan, “Kami sedang melihat bukan sahaja permintaan ke atas kenderaan elektrik meningkat dalam kalangan pelanggan setia kami di Melaka tapi juga ke atas infrastruktur ekosistem EV, terutamanya dalam kalangan pelancong yang datang dari luar negeri untuk melawat dan meneroka bandaraya bersejarah Melaka pada hujung minggu dan cuti panjang. Bersama-sama BMW Group Malaysia, kami sentiasa bersedia untuk menyokong pertumbuhan pasaran Mobiliti Berelektrik di Malaysia, dan kami juga berbesar hati untuk berganding bahu dengan pembekal solusi pengecasan EV serba pintar – ChargeSini, bagi menunaikan komitmen tersebut.”

“Melalui usaha sama dengan Seong Hoe Premium Motors, ChargeSini berbangga untuk mengambil bahagian dalam usaha penyebarluasan rangkaian pengecasan EV yang sedang digagaskan oleh BMW Group Malaysia. Kami juga yakin bahawa kemudahan pengecas Stellar40 DC dan Nexus AC kami di Melaka dapat memangkin penerimagunaan EV di negeri yang bersejarah ini. Kami juga berharap banyak lagi usaha sama yang dapat dijalin dengan BMW Group Malaysia dan jaringan wakil pengedarnya pada masa akan datang,” ujar James Goh, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ChargeSini (ChargeHere EV Solution Sdn Bhd).

Terletak di ruang masuk utama Bank of China yang beralamat di Jalan KSB 1, Taman Kota Syahbandar, fasiliti tersebut dilengkapi dengan empat lot parkir terdiri daripada dua unit pengecas DC Stellar40 40kW – mampu membekalkan 40kW semasa salah satu unit digunakan dan 20kW + 20kW semasa kedua-duanya digunakan, di samping dua unit pengecas AC Nexus 22kW– dikuasakan oleh ChargeSini. Pengguna perlu membuat bayaran caj minimum sebanyak RM5 setelah tempahan bagi khidmat pengecasan tersebut disahkan. Kadar penggunaan bagi unit pengecas DC tersebut ialah RM1.20 per kWj atau RM0.80 per minit, manakala kadar bagi unit pengecas AC pula bermula daripada RM0.07 per minit pada paras 3.7kW hingga ke RM0.40 per minit pada paras 22kW.

Fasiliti Pengecasan MINI yang baharu diperkenalkan oleh Seong Hoe Premium Motors merupakan sebahagian daripada 1,000+ fasiliti pengecasan yang terletak di bawah rangkaian BMW Group Malaysia setakat ini. Akses ke atas lebih 400 daripada fasiliti ini disediakan menerusi usaha sama dengan ChargEV dan Yinson Greentech, manakala usaha sama dengan JomCharge membekalkan akses lebih 100 buah fasiliti pengecasan, Gentari dengan lebih 150 buah fasiliti serta sekitar 160 buah fasiliti daripada rakan-rakan baharu seperti Shell Recharge dengan ParkEasy, ChargeN’Go, ChargeSini, Go To-U dan FlexiParking.

Lebih daripada 100 buah fasiliti pengecasan BMW i dan MINI juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran yang bertauliah, di samping lokasi-lokasi para rakan kongsi di serata negara, dan banyak lagi yang akan menyusul melalui pelan perluasan infrastruktur yang telah disasarkan untuk tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *