‘Setel’ lebih sekadar aplikasi pembayaran bahan api secara langsung melalui telefon mudah alih di stesen PETRONAS

KUALA LUMPUR, 24 September 2020 – Setel, platform e-pembayaran pertama di Malaysia yang membolehkan pembelian petrol dilakukan secara langsung daripada telefon mudah alih, berjaya mencapai matlamatnya untuk menembusi pasaran peruncitan mudah alih di Malaysia dengan pengenalan ciri Deliver2Me dan pembayaran tanpa tunai di dalam kedai menerusi Setel Wallet. Ciri-ciri baharu dan inovatif ini menyediakan kemudahan yang lebih besar di samping memaksimumkan keselamatan pengguna Setel di stesen-stesen PETRONAS seluruh negara.

Menerusi Deliver2Me, pengguna Setel boleh membeli barangan terpilih di rangkaian Kedai Mesra yang mengambil bahagian dan menikmati penghantaran terus barangan tersebut ke kenderaan semasa mereka sedang mengisi petrol. Menyasarkan mereka yang kesibukan, Deliver2Me menawarkan pilihan yang mudah untuk berbelanja tanpa perlu meninggalkan keselesaan dan keselamatan kenderaan mereka.

Manakala, bagi pengguna yang lebih gemar berbelanja di dalam kedai, Setel memperkenalkan sistem tanpa tunai untuk membayar barangan dengan mudah di 800 rangkaian Kedai Mesra yang mengambil bahagian menggunakan Setel Wallet. Ciri yang menerima permintaan tinggi ini membolehkan pembayaran barangan di Kedai Mesra dilakukan dengan sentuhan fizikal yang minimum sebagai ciri keselamatan tambahan menerusi Setel. Selain itu, pengguna bukan sahaja dapat memperoleh mata ganjaran Mesra, malah menebus mata ganjaran terus daripada aplikasi tersebut.

“Di Setel, kami sentiasa berusaha keras dalam memberikan pengalaman yang menyenangkan dan lancar kepada pelanggan, bukan setakat dalam pembelian petrol sahaja. Sebagai contoh, pelanggan tidak perlu lagi beratur selepas selesai mengisi petrol untuk mendapatkan secawan kopi dan sebungkus nasi lemak dengan menggunakan Deliver2Me. Bukan itu sahaja, pada hari ini juga kami berbesar hati menawarkan kemudahan yang lebih banyak kepada lebih 1.5 juta pengguna Setel dengan memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai di Kedai Mesra. Penambahan dua ciri ini merupakan batu loncatan dalam usaha kami membawakan lebih banyak lagi ciri intuitif yang disesuaikan untuk setiap pelanggan, sejajar dengan kepelbagaian tawaran yang semakin meningkat daripada PETRONAS,” kata Iskandar Ezzahuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Setel.

Deliver2Me kini boleh digunakan di enam stesen PETRONAS yang mengambil bahagian di Lembah Klang dan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua stesen yang menggunakan Setel di seluruh negara bermula pada suku pertama 2021. Setel boleh digunakan di lebih 900 stesen PETRONAS di seluruh negara dan percuma buat pengguna iOS serta Android melalui muat turun di Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Untuk maklumat lanjut mengenai Setel, sila layari https://www.setel.my/.