Yamaha telah menghasilkan beberapa model “naked bike” terbaik dan yang telah berada dipasaran kita adalah Yamaha MT-07 dan Yamaha MT-09. Terkini, Yamaha MT-10 telah muncul dengan rekabentuk serta kuasa pada sebuah jentera yang diimpikan ramai. Bagi peminat yang gemarkan kelajuan dan pengembaraan, tentunya mengimpikan jentera yang boleh memenuhi kehendak mereka bagi kedua-dua ciri aspek ini hadir dalam bentuk sebuah jentera bersesaran 1000cc. Kita akan berasa begitu yakin apabila menunggang jentera MT-10 ini, samada menguji selekoh-selekoh atau ke destinasi pelancongan di Malaysia. Jika menginginkan sebuah jentera yang berkuasa dan boleh dijinakkan, ini antara yang terbaik.

Yamaha MT-10 ini telah diperkenalkan oleh Rossi dan Lorenzo sewaktu sesi sidang akhbar pelancaran Yamaha di 2015 EICMA, Milan, Itali. Bercakap mengenai MT-10, kita dapat lihat Yamaha telah menghasilkan sesuatu yang istimewa dan ia bukan sebarangan motosikal. Pada asasnya ia adalah model R1-M tanpa fairing penuh dan beberapa ciri yang diubah seperti bar hendal yang lebih lebar serta rekabentuk yang lebih nampak besar dan berotot. Selepas beberapa hari menunggang Yamaha MT-10 ini, semakin terasa keseronokan menunggang dengan jarak perjalanan lebih dari 220km di dalam kesesakan bandaraya dan laluan lurus lebuh raya. Tidak mudah terasa keletihan bila menunggang Yamaha MT-10 dan ini membuatkan admin terpesona dengan model baharu Yamaha ini. Walaupun pukulan angin yang luar biasa semasa menunggang laju, ia masih lagi mudah untuk dikawal dan ditunggang dengan agresif bagi penunggang yang berpengalaman dan berani. Walau apa pun, jangan pula mencuba di jalan raya yang sibuk sehingga menganggu pengguna lain. Yamaha MT-10 ini mempunyai tenaga yang membuak dan boleh menjadi agak agresif, yang boleh mencabar kemampuan serta kemahiran kita.

Yamaha MT-10 menggunakan enjin Yamaha CP4 yang cemerlang. Jentera yang dijanakan dengan nadi baru ini menghasilkan 158.3bhp pada 11,500rpm, berbanding kuasa R1-M, 197.2bhp. Nampak macam kurang kuasanya dari mesin R1-M, tetapi percayalah, kuasa ia cukup dan memuaskan sehingga kita tak sedar dengan kelajuan yang telah dicapai. Tork Yamaha MT-10 ini boleh dikatakan tinggi. Ia menghasilkan 111Nm tork pada 9000rpm. Apa yang agak sama antara MT-10 dan R1-M ialah, pecutan di setiap gear 6-kelajuan motosikal ini boleh mencapai kelajuan yang anda sanggup dan berani. Admin tidak berpeluang untuk menguji kelajuan tertinggi Yamaha MT-10 ini, tetapi dengan skil penukaran gear yang cepat dan tepat, admin dengan mudah boleh mengangkat roda depan walaupun dalam gear keempat. Yamaha MT-10 jika ditunggang pada kelajuan yang lebih rendah, ia boleh menjadi motosikal yang mesra dan santai di dalam dan luar bandar sambil melayani perjalanan seperti pelancong yang menikmati keindahan alam…menarik bukan? Seolah-olah seperti raksasa yang dalam hatinya ada taman.

Terdapat tiga mod tetapan – Mod A, B dan ‘Std’. B adalah tetapan yang paling agresif dan mencabar, yang bertindak balas cemerlang dengan pulasan pendikit walaupun sedikit. Mod A adalah tetapan yang kurang agresif, tetapi bagi kebanyakan penunggang, tetapan ‘Std’ berfungsi dengan cukup sempurna dan sesuai untuk tunggangan harian. Tindak balas lembut semasa dalam putaran enjin rendah, menjadikannya mudah untuk ditunggang di dalam bandar seperti semua siri MT Yamaha yang lain…MT-125, MT-03, MT-07, MT-09 dan kini, MT-10.

Di kokpit pula terdapat paparan meter LCD monokrom tunggal yang memaparkan maklumat untuk penunggang seperti paras minyak dan kedudukan gear, yang amat berguna lebih-lebih lagi untuk perjalanan jauh serta mod kawalan dan traction yang dengan mudah boleh dipilih menggunakan suis pada pod kiri dan kanan hendal. Juga terdapat butang navigation control dan soket 12 volt untuk mengecas peralatan elektronik.

Malang sekali Hong Leong Yamaha tidak membawa masuk model MT-10 untuk pasaran Malaysia. Jika ada permintaan tinggi di pasaran ia adalah tidak mustahil, dengan harapan ekonomi Malaysia kembali pulih dan peminat-peminat berpeluang memilikinya nanti. Siapa yang tidak mahukan jentera hebat seperti MT-10? Pasti banyak mata yang akan tertumpu ke arah anda bila menunggangnya, itu lah tarikan Yamaha MT-10.

#hongleongyamahamotor #yamaha #yamahamt10 #givihelmetmalaysia #givimalaysia #givi #nakedbike #superbike #putrajaya #jalanjalancarimakan #jommelancong #enjindotcom #revsyourheart #exploreenjoy

GALERI