Yamaha R25 (YZF-R25) Baharu

Apabila Yamaha mengeluarkan model-model terbaharunya, pasti ada kejutan yang akan menjadi ikutan atau trend kepada peminat-peminat motosikal di negara ini. Ia boleh dilihat bermula sudah lama dan ia semakin galak bermula dengan model seperti Yamaha RXZ, TZM dan terkini Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha R25 versi dipertingkat atau facelift yang juga diminati oleh ramai penunggang motosikal sekarang ini selain daripada super moped nya, Y15. Admin berpeluang menguji seketika model ini walaupun ia sudah lama berada di pasaran. Ternyata perubahan yang dibuat benar-benar berhasil dan menarik, kecuali bahagian ekornya seperti tak “kena” dengan bahagian hadapan motosikal dan ini adalah pendapat peribadi admin.

Pada kelajuan biasa dan harian ia agak selesa bagi sebuah jentera sport bike, ringan dan mudah dikawal. Di Kuala Lumpur yang terkenal dengan kesesakan kenderaan pun, Yamaha R25 ini boleh meluncur dengan selesa pada kelajuaan yang mudah kita kawal. Tukaran gear yang lembut menambahkan lagi keselesaan jentera ini. Bagi penunggang wanita yang ingin cuba menunggang motosikal besar, eloklah cuba dan biasakan diri dengan R25 ini dahulu.

Yamaha memandang serius dengan peredaran masa dan kehendak fesyen  reka bentuk motosikal terkini dan Yamaha R25 telah diberikan sedikit sentuhan agar ia lebih baik daripada model sebelumnya. Rekaan tangki bahan api bersaiz 14 liter juga telah diubah bagi menawarkan ciri tunggangan sporty dan nampak lebih langsing. Perubahan ketara yang dapat dilihat ialah kemasan badan motosikal yang kini lebih menampilkan ciri-ciri aerodinamik. Susulan dengan penambahbaikan ciri ini, YZF-R25 2019 ini boleh menghasilkan kelajuan tambahan sebanyak 8 kilometer sejam (km/j) walaupun menggunakan enjin yang sama seperti model sebelumnya. Selain padanan lampu LED di hadapan dan belakang, kedudukan bar hendal juga lebih rendah sebanyak 22 mm berbanding model sebelumnya yang membuatkan tunggangan lebih sporty.

Ciri yang menarik pada Yamaha R25 ini adalah di bahagian suspensi hadapan yang menggunakan fork jenis terbalik (USD) dengan kemasan berwarna emas yang nampak kontra dengan warna jentera dan kelihatan mahal. Suspensi bahagian belakang pula menggunakan sistem penyerap hentak tunggal atau monoshock. Sistem suspensi hadapan USD Kayaba ini menawarkan kelebihan pada tahap redaman dan nisbah hentakan spring yang amat baik terutamanya di jalan beralun dan ini membolehkan penunggang memasuki selekoh dengan pantas pada kelajuan tinggi. Bahagian ini admin suka terutamanya di selekoh pendek yang memerlukan kepantasan gerak badan dan jentera. Tayar kini lebih lebar dengan saiz 110/70 (depan) dan 140/70 (belakang) dengan rim 17 inci. R25 facelift juga dilengkapi suis penghidup jenis gelungsur, reka bentuk suis 3 dalam 1 dan peredam bunyi dengan kemasan baharu.

YZF-R25 2019 dilengkapi enjin 249 CC dengan sejukan cecair, empat lejang 2 silinder sebaris DOHC dengan 8 injap serta omboh aluminium yang ringan bagi menghasilkan pecutan yang lancar dan kuasa yang mudah dikawal. Kuasa yang dihasilkan masih kekal sama dengan model lama iaitu 35.5 HP pada 12,000 RPM dan tork 22.6 Nm pada 10,000 RPM dipadankan dengan kotak gear transmisi klac manual, 6 kelajuan.

Harganya juga tidak banyak beza dengan model sebelumnya apabila ditawarkan pada RM19,988, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Kesimpulannya, dalam kategori motosikal berkuasa sederhana berkapasiti antara 250 CC hingga 400 CC, Yamaha YZF-R25 2019 boleh dikatakan adalah model yang terbaik dalam kelasnya setakat ini. Pengguna sekarang semakin bijak. Jika pengeluar lambat mengubah atau menaik taraf model mereka, pengguna akan beralih arah ke model pesaing. Reka bentuk juga mesti kena dengan generasi muda masa kini kerana sasaran utama motosikal kategori ini adalah golongan muda yang baru berjinak-jinak dengan model sport bike… Ini yang mereka mahu!!!

GALERI