BMW Group Malaysia Bekerjasama dengan ParkEasy, Shell Malaysia dan Sunway Group untuk Memperkenalkan Tapak Reservasi + Pengecasan Shell Baharu

Pengeluar kenderaan premium terus mendemonstrasikan komitmennya untuk membentuk industri automotif Malaysia menerusi Mobiliti Elektro.

Kuala Lumpur, 12 Jun 2019 – BMW Group Malaysia telah merungkaikan fasiliti-fasiliti parkir, Tapak Reservasi + Pengecasan Shell ‘Reserve + Shell Recharge Bay’ di Sunway Pyramid pada hari ini menerusi usaha sama dengan ParkEasy, Shell Malaysia dan Sunway Group.

Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group yang memberi ucapan sewaktu majlis pelancaran berkenaan menjelaskan, “Kelestarian bukannya sebuah konsep yang abstrak bagi kami. Sunway Group juga ditubuhkan menurut konsep pembangunan lestari. Kita berkumpul di atas tempat ini yang dahulunya merupakan sebuah kawasan perlombongan yang terbiar. Sunway telah memulihkan tanah dan ekosistem kawasan ini, serta berjaya membangunkan kawasan perbandaran hijau yang pertama di Malaysia. Sewaktu mendiang En. Lee Kuan Yew, pengasas negara Singapura mengunjungi kami suatu ketika dahulu, beliau menggelarkannya “transformasi kawasan tandus kepada sebuah perkarangan yang istimewa.” Sunway City Kuala Lumpur kini merupakan halaman kepada sebuah komuniti yang menempatkan lebih daripada 200,000 individu yang menjalani kehidupan seharian mereka dalam sebuah persekitaran yang selamat, sihat serta terhubung; dan ini hanyalah sebuah permulaan. Kami merancang untuk melanjutkan pengintegrasian keupayaan teknologi untuk menjadikan Sunway City Kuala Lumpur sebagai bandar contoh yang bersifat lestari dan pintar dalam abad ke-21 ini. Inisiatif yang diperlihatkan pada hari ini menandakan satu lagi langkah yang diambil ke arah tersebut.”

Dalam pada itu, En. Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Di peringkat global, Malaysia tersenarai sebagai negara yang paling progresif dalam ikhtiarnya untuk memacu Mobiliti Bervisi ke hadapan dengan BMW Group. Ia bukan sahaja melambangkan permintaan yang tinggi terhadap mobiliti elektro di dalam negara, malah keperluan aspek kelestarian untuk jangka panjang. Untuk merealisasikan visi ini, BMW Group Malaysia akan terus meluaskan tahap aksesibiliti fasiliti-fasiliti pengecasan buat pemandu kenderaan elektrik di seluruh negara.”

Ujar Hoelzl lagi, dengan lebih daripada 20 Fasiliti-Fasiliti Pengecasan BMW i di seluruh Malaysia, BMW Group Malaysia berharap untuk meningkatkan angka tersebut bersama ParkEasy dan Shell Malaysia agar negara ini dapat menikmati Mobiliti Masa Hadapan yang terjamin dengan Tapak Reservasi + Pengecasan Shell baharu ini, dan kami juga ingin melihat inisiatif seperti ini terus diterajui pada masa akan datang.

Pelancaran Tapak Reservasi + Pengecasan Shell baharu tersebut membentuk ikhtiar berterusan BMW Group Malaysia untuk memacu tawaran e-mobiliti di Malaysia. Kemudahan dan ketersediaan fasiliti-fasiliti berkenaan adalah penting untuk memupuk peralihan warga Malaysia ke arah Mobiliti Bervisi. 10 tapak pengecasan ini akan dibangunkan di tiga kawasan premis milik Sunway Group, lima daripadanya terletak di Sunway Pyramid, tiga di Sunway Pinnacle dan dua di Sunway Velocity. Dengan sokongan yang diunjurkan oleh Shell Malaysia, ParkEasy sedang melebarkan sayapnya dan ingin bekerja bersama dengan pusat beli-belah progresif yang lain untuk menawarkan fasiliti seperti ini di premis mereka.

Datuk Iain Lo, Pengerusi Shell Malaysia mengulas, “Sementara Shell terus meneroka titik-titik sentuh yang menjangkaui stesen runcit kami yang sedia ada dan menembusi pertubuhan yang bertaraf premium, fokus kami tertumpu kepada pemerkayaan pengalaman kepenggunaan pelanggan kami dan untuk menawarkan solusi hujung-ke-hujung untuk kemudahan mereka. Kolaborasi ini dengan ParkEasy, serta jalinan usaha sama dengan BMW Group Malaysia dan Sunway Group memberi kami peluang untuk terus berkhidmat buat para pelanggan kami dengan kaedah-kaedah berlandaskan teknologi yang baharu untuk menambah baik pengalaman mereka bersama kami.”

Pemilik kenderaan BMW Plug-In Hybrid Electric Vehicles (PHEV) dapat menikmati tawaran Keistimewaan BMW yang eksklusif di Tapak Reservasi + Pengecasan Shell tersebut*. Ia meliputi pek e-permulaan (e-starter) bagi pemilik BMW PHEV baharu, serta kad e-hadiah (e-gift) buat pemilik BMW PHEV sedia ada untuk digunakan di fasiliti berkenaan yang terletak dalam rangkaian hartanah Sunway Group. Pemilik kenderaan tersebut juga boleh menggunakan kod promo BMWMY untuk menebus lima kredit ParkEasy yang dapat digunakan di Tapak Reservasi + Pengecasan Shell ini. Terhad kepada 2,000 pengguna yang terawal mulai hari ini, kod promo tersebut akan luput pada 31 Julai 2019.

En. Warren Chan, Ketua Pegawai Eksekutif ParkEasy mengujarkan, “Kami memperkenalkan ParkEasy untuk meningkatkan keefisienan tugasan memarkir serta mengurangkan masa yang diambil untuk mencari ruang parkir. Dengan peluang yang hadir untuk berkolaborasi bersama Shell Malaysia, yang telah menjurus kepada gandingan di antara kami dengan BMW Group Malaysia serta Sunway Group, kami telah menyahut seruan tersebut kerana kami percaya ParkEasy dapat memudahkan dan memperbaiki tabiat pemandu PHEV melibatkan pengecasan kenderaan elektrik di Malaysia melalui perkhidmatan reservasi parkir kami. Usaha sama yang dijalin dengan Shell Malaysia yang telah mengimbuhkan idea Reservasi + Pengecasan ini merupakan sebahagian daripada inovasi yang kami ingin terapkan.” Platform ParkEasy ialah sebuah aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna kenderaan elektrik (EV) atau PHEV untuk membuat reservasi awal di Tapak Reservasi + Pengecasan dalam tempoh masa setinggi 60 minit, lantas memastikan ruang parkir dan akses pengecasan sentiasa tersedia untuk pengguna. Dikuasakan oleh Fasiliti Pengecasan BMW i, pengguna dapat mengecas kenderaan mereka secara percuma, dan kredit ParkEasy mereka hanya akan ditolak untuk tujuan reservasi yang dibuat serta tempoh ruang parkir tersebut digunakan. Transaksi tanpa tunai ini juga bertujuan untuk memupuk tabiat pengecasan yang beretika dalam kalangan pengguna EV dan PHEV

Portfolio Mobiliti Bervisi milik BMW Group Malaysia turut didukung oleh platform ChargEV melalui usaha samanya dengan Malaysian Green Technology Corporation. Perkhidmatan BMW ChargeNow yang kini ditawarkan menerusi program BMW 360° ELECTRIC juga memberikan akses langsung ke atas fasiliti-fasiliti pengecasan rakan kongsi yang lain seperti ChargEV, ia membolehkan pengguna menikmati bantuan dan akses 24/7 bagi kesemua lokasi pengecasan yang terletak dalam rangkaian ChargEV yang kian berkembang di seluruh negara.

* Tertakluk kepada terma dan syarat.