BMW Malaysia, Safe ‘n Sound dan Childline Foundation Bakal Memperkenalkan Program Subsidi Kerusi Kereta Kanak-Kanak

  • BMW Malaysia, Safe ‘n Sound dan Childline Foundation akan mensubsidikan 150 buah kerusi kereta kanak-kanak.
  • Program latihan keselamatan penumpang kanak-kanak bakal diperkenalkan di hospital.
  • Enam bayi pertama yang dilahirkan pada tanggal Hari Bapa di Hospital Putrajaya dihadiahkan dengan set kerusi kereta kanak-kanak daripada Chicco Malaysia.

Kuala Lumpur, 17Jun 2019 – Menerusi program, ‘BMW Safety 360° programme’ edisi kelima, BMW Malaysia telah menjalin kerjasama dengan Childline Foundation – sebuah organisasi bukan bermotifkan untung yang bermatlamat untuk memberi kesedaran dan didikan mengenai keselamatan kanak-kanak – untuk melancarkan ‘Dari Hari Pertama’ (‘From Day One’), sebuah kempen yang membidik untuk menaungi kepentingan kerusi kereta kanak-kanak, terutamanya bagi kelahiran bayi baharu.

Menerusi sokongan yang diunjurkan oleh Chicco Malaysia, kempen ini dimulakan dengan pemberian kerusi kereta kanak-kanak Chicco KeyFit 30 kepada enam bayi pertama yang dilahirkan pada Hari Bapa di Hospital Putrajaya. Ibu bapa kanak-kanak ini juga telah mempelajari amalan betul yang berkenaan dengan keselamatan kanak-kanak daripada konsultan keselamatan penumpang yang mewakili Childline Foundation. Sesi perkongsian tersebut meliputi kriteria pemilihan kerusi kereta kanak-kanak yang wajar, kaedah pemasangan yang betul, serta kitaran hidup kerusi khas berkenaan.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Peraturan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak yang diwajibkan bakal berkuat kuasa tidak lama lagi sebaik sahaja tahun 2020 membuka tirai, kami percaya usaha berterusan untuk menerapkan kepentingan kerusi khas ini diperlukan, terutamanya demi keselamatan anak-anak yang baru dilahirkan. Fokus yang diberikan ‘Dari Hari Pertama’ adalah untuk memastikan para ibu bapa tahu bagaimana mereka dapat memelihara keselamatan anak-anak mereka sejurus mereka keluar dari hospital bersalin. Amalan penggunaan kerusi khas kanak-kanak yang diterapkan oleh ibu bapa dalam diri mereka akan memenuhi hasrat kami. Atas tujuan tersebut, kami berikhtiar secara berterusan untuk menjalin kerjasama dengan pakar-pakar dalam industri ini agar didikan mengenai keselamatan kanak-kanak dapat diberikan kepada pihak ibu bapa serta memastikan kerusi khas ini dapat diakses secara meluas oleh orang ramai.”

Dalam fasa ‘Dari Hari Pertama’ yang seterusnya, BMW Malaysia akan menerajui usaha sama yang dijalin dengan Childline Foundation untuk memperkenalkan program subsidi kerusi kereta kanak-kanak bersama Safe ‘n Sound, iaitu pengedar produk kerusi dan peralatan kereta kanak-kanak. 

Program subsidi tersebut akan diperkenalkan terlebih dahulu kepada lima hospital kerajaan yang terletak di Lembah Klang. BMW Malaysia dan Safe ‘n Sound akan mensubsidikan 150 kerusi kereta mudah bawa (carrier) ‘snskidz Ace’ yang setiap satunya bernilai RM100. Dengan tetapan menghala ke belakang, kerusi khas yang bernilai RM199 ini boleh digunakan dari usia kelahiran awal sehingga berat bayi mencecah 13kg, serta produk tersebut hadir dengan persijilan ECE R44-04.

Tambah Hoelzl, “Kami akan terus menggalakkan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak dengan menawarkan subsidi bersama Safe ‘n Sound untuk meningkatkan tahap aksesibiliti kerusi khas ini. Bagaimanapun, tidak cukup jika ibu bapa menggunakan kerusi tersebut tanpa memahami kaedah yang betul melibatkan pemilihan dan pemasangannya untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka dapat dipelihara. Sehubungan itu, kami akan berganding bahu dengan Childline Foundation untuk berkomunikasi dengan pihak hospital secara langsung agar pengimplementasian program latihan keselamatan penumpang kanak-kanak dapat dibuat seperti yang dirancang. Program ini juga akan disuaikan untuk pihak ibu bapa yang menghadiri kelas antenatal supaya didikan mengenai kerusi khas buat kanak-kanak dimulakan sebaik sahaja anak mereka dilahirkan.”

Program latihan keselamatan penumpang kanak-kanak akan diperkenalkan kepada lima hospital kerajaan yang terpilih, kakitangan hospital-hospital berkenaan akan belajar tentang amalan keselamatan kanak-kanak yang betul daripada konsultan keselamatan penumpang yang mewakili Childline Foundation. Ceramah dan konsultasi berkenaan dengan keselamatan penumpang kanak-kanak juga akan diberikan kepada ibu bapa yang menghadiri kelas antenatal di hospital berkenaan.

Datin Wong Poai Hong dari Childline Foundation berkata, “Waktu dan tempat yang terbaik untuk para ibu bapa mula mempelajari amalan keselamatan kanak-kanak yang betul ialah sebelum kelahiran anak dan di hospital. Ia berfungsi sebagai titik sentuh yang penting – dengan mendidik kakitangan hospital, sebuah kaedah yang bersinambungan dapat dizahirkan untuk mendidik dan memastikan ibu bapa yang mempunyai kenderaan untuk mendapatkan kerusi khas yang sesuai sejurus mereka meninggalkan hospital.”

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat untuk BMW Group Malaysia mengulas, “Sementara kami meneruskan ikhtiar untuk menaungi kepentingan keselamatan kanak-kanak dengan BMW Safety 360° Programme, kami ingin menggesa rakan-rakan kongsi yang lain untuk mengambil bahagian dalam inisiatif ini untuk melazimkan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak – sama ada dengan meningkatkan tahap kesedaran tentang perkara ini melalui pendidikan, meningkatkan tahap aksesibiliti kerusi kereta kanak-kanak, ataupun dengan menyertai program tersebut. Kami berharap untuk melihat peningkatan dalam penggunaan kerusi khas ini sebaik sahaja peraturan yang diusulkan oleh kerajaan mula berkuat kuasa, kerana natijahnya, keselamatan anak-anak kita di atas jalan raya bermula dengan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak yang betul.”

GALERI