BMW Malaysia mengelektrifikasi BMW X1 dengan BMW iX1 xDrive30 M Sport yang sulung.

BMW Malaysia hari ini telah memperkenalkan jentera BMW iX1 yang sulung, menggandingkan perwatakan sporty jentera SAV BMW dengan rangkaian pemacu elektrik. Jentera elektrik tulen ini sebagai anggota baharu dalam barisan kenderaan yang terlaris, BMW X1 akan tiba dalam varian M Sport.

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia berkongsi, “Kami telah menerima sambutan yang memberangsangkan bagi model-model BMW i kami, yang telah diterajui oleh jentera BMW i4, BMW iX dan juga BMW iX3 yang diperkenalkan pada Januari 2022. Kenyataan ini menambah keyakinan kami terhadap strategi elektrifikasi kami untuk melihat lebih ramai warga Malaysia menyambut baik anjakan mobiliti elektro, sejajar dengan penyebarluasan infrastruktur pengecasan dan portfolio jentera elektrik kami. Ketibaan BMW iX1 yang sulung menonjolkan gagasan elektrifikasi BMW Group Malaysia untuk tahun 2023, dan ia memperkukuhkan lagi kedudukan kita sebagai pengeluar kenderaan premium yang terkemuka di Malaysia, dengan barisan kenderaan elektrik premium yang paling ekstensif untuk pasaran tempatan.”

BMW iX1 yang sulung bakal menampilkan output maksimum berjumlah 230kW / 313 kk serta jarak operasi sejauh 440 kilometer (WLTP) untuk menjadikan pengembaraan elektrik para pengguna lebih memuaskan. Daya pengecasan berkuasa tinggi pada kadar mencecah 130 kW dapat mengurangkan tempoh tunggu, kerana kenderaan tersebut dapat dicas dari 10 hingga 80 peratus hanya dalam tempoh 29 minit. Turut mendahulukan aspek kelestarian, bahan-bahan kobalt dan litium yang digunakan di dalam bateri BMW iX1 yang sulung diperoleh daripada sumber galian yang bertanggungjawab, dan rangkaian kuasanya pula tidak menggunakan sebarang bahan nadir bumi. BMW iX1 yang sulung mencuri perhatian dengan prestasi pemanduan, pengendalian, jarak operasi yang jauh dan tempoh pengecasan yang memberangsangkan – menjadikannya jentera SAV kompak elektrik yang serba lengkap untuk kegunaan harian.

Lagi banyak pilihan, lebih menarik.

BMW iX1 yang sulung menampilkan bahasa rekaan eksterior yang menawan, dengan seksyen hadapannya yang menegak, menzahirkan iras kemegahan. SAV elektrik baharu ini mencahayakan laluan yang terbentang di hadapannya dengan set lampu hadapan LED adaptif serba langsing, didatangkan dengan ciri lampu puncak serta pencahayaan waktu siang, di samping lampu belakang 3D dalam bentuk L dengan teknologi LED penuh yang menghiasi seksyen belakang. Arkus roda berbentuk petak yang turut mendefinisikan SAV elektrik baharu ini menonjolkan bahasa rekaan BMW X, lengkap dengan pemegang pintu yang sedatar dengan tubuh kenderaan ini, menjadikannya unik berbanding varian-varian rangkaian kuasa yang lain. Standard bagi BMW iX1 yang sulung ialah cahaya aluan dengan iluminasi persekitaran, apron hadapan dengan trim salur masuk udara, serta operasi pintu but automatik yang serba mudah.

Hadir dalam varian M Sport, BMW iX1 menyerlahkan tarikan dinamiknya dengan ciri-ciri seperti lingkaran gril ‘kidney’ dalam material krom, bilah gril ‘kidney’ dalam aluminium satin dan rekaan khas pada ambang sisi, trim arkus roda, serta apron hadapan dan belakang. Juga eksklusif bagi varian ini ialah M high-gloss Shadowline, designasi M di kedua-dua sisi, serta set roda aloi ringan M 19 inci dalam penggayaan dwiruji 871M Bicolour.

Kokpit yang menawan dengan BMW Curved Display.

Mencuri perhatian di dalam BMW iX1 yang sulung ialah BMW Curved Display yang serba moden dan berorientasikan pemandu, ia mula diperkenalkan dalam model-model elektrik BMW iX dan BMW i4. Terletak di atas panel instrumennya yang mewah ialah konfigurasi paparan yang baharu lagi bersofistikasi tinggi, menampilkan kluster instrumen 10.25 inci dan paparan kawalan 10.7 inci, yang menggunakan Sistem Operasi BMW 8 serta dilengkapi dengan BMW Live Cockpit Professional secara standard.

Pemandu mempunyai kuasa ke atas segala fungsi kenderaan melalui Control Display sentral berciri sentuh, butang-butang di stereng kulit M, yang menampilkan padel penukar gear Sport Boost, atau Intelligent Personal Asisstant yang boleh dikawal dengan suara. Ruang merehatkan tangan di hadapan Control Display  memudahkan lagi operasi skrin sentuh, manakala komponen meletak tangan “terapung” menawarkan ruang tambahan di konsol sentral dan ia turut memuatkan tuil gear, pelaras bunyi, serta butang My Modes, yang merangkumi enam mod untuk memperibadikan pengalaman pemanduan. Material Bumbung Antrasit M dan kerusi hadapan yang kini sedikit lebih tinggi menaik taraf aspek kebolehlihatan dan kepuasan pemanduan. Sementara itu, cahaya ruang kaki di hadapan dan belakang pula menambah ambien keluasan jentera ini.

Kerusi sport didatangkan secara standard bagi pemandu dan penumpang hadapan, berserta dengan pelbagai ciri kefungsian untuk kemudahan dan keselesaan tambahan, seperti pelaras elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu. Menerusi rangkuman pakej cermin interior dan eksterior yang standard, pengalaman pemanduan pengguna dapat dipermudahkan dengan fungsi anti silau automatik. Sementara itu, penyaman udara dua zon menjamin keselesaan bertaraf tinggi buat pemandu dan juga penumpang.

SAV elektrik ini lengkap dengan BMW IconicSounds Electric, iaitu landskap bunyi serba baharu yang dibangunkan untuk memperkayakan pengalaman pemanduan, di samping Perlindungan Akustik untuk Pejalan Kaki. Rangkuman standard yang lain meliputi, Papar Pandu BMW (BMW Head-Up Display), sistem pembesar suara Hi-Fi Harman Kardon serta BMW Live Cockpit Professional dengan Augmented View.

Dari segi ruang muatan, BMW iX1 yang sulung membawakan seni bina motor BMW eDrive yang kompak, ia membolehkan bateri voltan tingginya diletakkan di posisi yang amat rendah di antara gandar hadapan dan belakang. Justeru, ruang muatan sebesar 490 liter dapat dibekalkan, yang dapat diluaskan lagi kepada 1,495 liter dengan melipat tempat duduk belakang. Untuk kemudahan tambahan, sistem Comfort Access dengan BMW Digital Key Plus juga didatangkan secara standard bagi SAV elektrik baharu ini.

Sinergi yang sempurna antara prestasi, keefisienan, dan jarak operasi.

BMW iX1 yang sulung dikuasakan oleh sebuah motor segerak elektrik yang kompak (EESM) di setiap gandar. Dengan fungsi penggalak, motor-motor elektrik ini membekalkan output berjumlah 230 kW / 313 kk, berserta 494 Nm tork. Pacuan semua roda elektrik dapat memacu kenderaan ini dengan lancar dari kelajuan 0 hingga 100km/j hanya dalam masa 5.6 saat, dan kelajuan tertingginya dihadkan secara elektronik pada paras 180km/j.

Teknologi BMW eDrive generasi pertama turut menyaksikan perkakasan pengecas dan sel-sel bateri voltan tinggi membentuk lantai kenderaan ini, dengan kapasiti bateri berjumlah 64.7 kWj yang membekalkan jarak operasi sejauh 440 km (WLTP). Biar melalui “Wallbox” atau titik pengecasan awam dan stesen pengecasan berkuasa tinggi (HPC), SAV elektrik baharu ini menawarkan pelbagai kemudahan pengecasan dengan kabel pengecas Flexible Fast Charger dan Mode 3 – untuk pengecasan AC pada paras setinggi 11 kW atau pengecasan pantas HPC pada paras setinggi 130 kW, yang boleh mengecas kenderaan ini dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 29 minit.

Fungsi pengurusan pengecasan yang serba mudah disediakan oleh My BMW App dan Connected Charging – membolehkan pengguna memeriksa status pengecasan dari jauh serta menyemak semua interaksi pengecasan yang pernah dibuat melalui BMW Charging Dashboard.

Dinamik pemanduan luar biasa dengan sistem bantuan pintar.

Suspensi BMW iX1 yang sulung mencerminkan teknologi model-model BMW X1, menjadikannya SAV paling lincah dalam segmen kompak premium. SAV elektrik baharu ini dilengkapi dengan Adaptive M Suspension secara standard, yang dapat mengadaptasi mengikut kondisi laluan serta gaya pemanduan untuk pengalaman yang menyelesakan dan juga keupayaan pemanduan jarak jauh yang lebih cemerlang. Ketegaran redamannya akan meningkat dalam corak pemanduan sporty, menjadikan BMW iX1 yang sulung lebih selamat biarpun tahap pergerakan tubuh kenderaan ini turut meningkat. Ia menaik taraf kejituan dan kestabilan pemanduan, termasuk semasa membelok pada kelajuan yang tinggi.

BMW iX1 yang sulung membawakan aneka sistem bantuan pemandu yang pintar, ia termasuk Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Plus. Fungsi-fungsi standard yang lain meliputi Hill Start Assist, Speed Limiter, Attentiveness Assistant, Lane Departure Warning with active steering intervention. Front Collision Warning and Left Turn Warning – both with braking function, along with Speed Limit Info and Evasion Assistant.

Dari sudut kemudahan keterhubungan, BMW iX1 secara standard hadir dengan Connected Package Professional, Connected Drive Services, Teleservices, Pengintegrasian Telefon Pintar dengan Apple CarPlay dan Android Auto, talam pengecas tanpa wayar, Intelligent Emergency Call, dan indikator tekanan tayar. Perkhidmatan digital mencakupi remote Software Upgrade, BMW Connective Drive Upgrades, di samping BMW Maps.

Penawaran warna eksterior bagi BMW iX1 yang sulung meliputi Alpine White, Black Sapphire, Cape York Green, M Portimao Blue, Storm Bay, dan Space Silver. Upholsteri interior disediakan dalam Alcantara Black dengan sulaman berkontras biru, Leather Vernasca Black atau Leather Vernasca Mocha.

Program pembiayaan dinamik.

Dengan pelan pembiayaan “Straight Line” yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW iX1 xDrive30 M Sport yang sulung boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM 3,290.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh tujuh tahun).

Pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh.

Para pemilik jentera BMW iX1 xDrive30 M Sport yang sulung ini juga dapat menikmati Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW berserta Program Servis Berjadual Percuma
  • Waranti Bateri BMW 8 Tahun / 160,000 km (mana-mana yang dipenuhi dahulu)
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’ – BMW Privileges Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Harga runcit (atas jalan, tanpa insurans) BMW iX1 yang sulung dengan Waranti Lanjutan dan Inklusif Servis & Pembaikan BMW ialah:

BMW iX1 xDrive30 M Sport yang Sulung               RM 285,800.00

Para pelanggan boleh melayari BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my untuk pratempah BMW iX1 yang sulung dengan bayaran RM3,000, atau hubungi wakil pengedar BMW pilihan masing-masing untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *