Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah memperkenalkan satu jenama motosikal yang berasal dari Austria, Brixton Motorcycles. Jenama yang diilhamkan dari reka bentuk motosikal ‘roadster retro’ tetapi dengan reka bentuk yang tersendiri. Brixton Motorcycles mempunyai lebih 500 pengedar di seluruh dunia dan kini Mforce, telah menyertai rangkaian pengedar Brixton Motorcycles dengan memperkenalkan barisan motosikal bersesaran 150cc, BX150, BX150 X dan BX150 R.

Hadir dengan enjin 4 lejang suntikan bahan api, 1 silinder 149cc yang patuh piawaian Euro3, tork maksimum yang dihasilkan ialah 11.9Nm pada 6000rpm manakala output tenaga maksimum ialah 8.7kW (6bhp) pada 8000rpm. Ia dilengkapi dengan kotak gear 5 kelajuan dan brek cakera tunggal depan dan belakang dengan sistem brek gabungan (CBS). Enjin suntikan bahan apinya menjimatkan bahan bakar dan boleh mengembara jauh dengan tangki bahan api 14 liter. Kuasa dari enjin dihantar ke kotak gear lima kelajuan pacuan rantai dan disokong oleh sistem gantungan hadapan jenis teleskopik pra laras dan penyerap kejutan pra beban boleh laras di belakang. Penunggang akan melihat meter dengan kombinasi meter rpm analog dengan meter kelajuan digital paparan LCD. Berat untuk motosikal siri BX150 dengan bahan bakar ialah sekitar 157 kg.

Bagi yang gemarkan gaya retro yang asas dan santai, ini satu peluang untuk anda memiliki sebuah jentera moden dengan rekaan retro ini. Kebetulan semasa Mr. Stick dalam perjalanan pulang dari Tanjung Tualang ke Kuala Lumpur melalui jalan lama, semasa singgah di pekan Kampar terserempak sekumpulan pemuda dari Kuala Lumpur menaiki motosikal Brixton ini. Tabik spring kepada mereka yang sama-sama berkongsi minat dan menunggang untuk ke Tanjung Tualang.

Motosikal seperti ini memiliki gayanya tersendiri dan berpakaian mengikut gaya motosikal itu juga menjadi keutamaan penunggangnya. Fesyen berpakaian ketika menunggang menjadi ikutan dan pengaruh yang kuat dan menjadi sebahagian daripada kekuatan jenama motosikal yang ditunggang. Berbalik kepada Brixton BX150 R ini, Mr. Stick cuba sebaik mungkin untuk menjiwai motosikal ini yang berbeza dari kebiasaannya. Yang paling utama ialah untuk mencuba dan merasai pengalaman dengan motosikal retro ini, mana tahu jauh di dalam jiwa anda ada gaya retro.

Kawalan Brixton BX150 R terasa agak janggal pada mulanya kerana saiz tayar yang tinggi dan besar ditambah dengan kedudukan hendal yang agak “ke bawah”. ‘Racer’ kan… Lama-kelamaan baru Mr. Stick dapat membiasakan diri dengan gaya tunggangan ‘cafe racer’ ini dan secara automatik jiwa kelajuan cahaya Mr. Stick bertukar menjadi jiwa santai, sungguh sopan. Kadangkala faktor jenis sesebuah motosikal itu boleh mengubah gaya tunggangan. Janji dapat menunggang sebuah motosikal, memang jadi je…

Setelah seminggu lebih dengan motosikal Brixton ini, admin berpendapat barisan motosikal Brixton BX150 terutamanya BX150 R yang diuji, lebih kepada motosikal fesyen, hobi dan trend masa kini daripada sebuah motosikal bagi keperluan harian. Untuk kegunaan harian, hanya kepada mereka yang benar-benar meminati motosikal ‘cafe racer’ sahaja boleh menjiwainya. Apa pun, sesekali seronok juga jika kita ubah selera. Brixton BX150 ditawarkan dalam tiga model, BX150 pada RM8,988, BX150X pada RM9,288 dan BX150R pada RM9,588. Semua harga ini adalah harga asas tanpa insurans dan cukai jalan.

GALERI