Kawasaki Z900 RS menyusuri pesisir pantai Selangor

Minggu lepas Mr. Stick berpeluang membuat perjalanan menyusuri jalan pesisir pantai Selangor bermula dari Dataran Morib, yang kebetulan ada program permotoran di sana, hingga ke Bagan Lalang. Terima kasih kepada Kawasaki Motors Malaysia yang sudi meminjamkan model Z900 serba baharu yang telah diperkenalkan pada tahun lepas iaitu Kawasaki Z900 RS. Jentera ini memang sesuai ditunggang santai. Reka bentuk retro modennya nampak bersahaja tetapi cantik, “berseni” bak kata orang. Kuasa enjinnya amat menyakinkan untuk kita perah pada bila-bila masa sahaja. Biar pun jarak perjalanan kali ini dekat, tetapi ia cukup menarik kerana disepanjang laluan, kita berpeluang melawati serta mengabadikan gambar-gambar pantai yang terdapat di kawasan ini. Jika kita berpeluang, singgahlah dan diharap tempat-tempat ini dapat dimajukan dengan lebih teratur beserta kemudahan untuk orang ramai beriadah.

Tempat pertama yang Mr. Stick singgahi ialah Kampung Batu Laut yang terletak di tepi jalan raya kira-kira separuh perjalanan antara Pantai Morib dan Tanjung Sepat. Pemandu yang datang dari KL boleh ke sini melalui jalan Banting – Morib atau melalui jalan Sepang – Bandar Baru Salak Tinggi, bergantung kepada mana yang lebih mudah untuk anda.
Nama Kampung Batu Laut berasal daripada batu-batu besar yang banyak terdapat di tepi pantai pada masa dahulu. Bersempena dengan kewujudan batu yang banyak kerana kejadian semulajadi alam ini, maka penduduk kampung menamakannya sebagai Kampung Batu Laut. Ada juga cerita lain berkenaan asal nama kampung ini yang admin tak dapat perolehi tetapi kisah di atas adalah salah satu kisah popular yang orang kampung ceritakan. Kampung Batu Laut pernah memenangi pertandingan Kampung Tercantik Peringkat Negeri Selangor pada tahun 2001 dan 2002.

Laman web Pelancongan Selangor (www.tourismselangor.my) memaparkan maklumat pantai Kampung Batu Laut adalah tempat pelajar berlatih bagi pertandingan perahu layar di The Yacht Centre. Pada waktu Mr.Stick kesana, tiada aktiviti pelayaran kelihatan, mungkin bukan masanya. Jika anda merancang untuk melakukan aktiviti selain daripada belayar, anda boleh membuat perjalanan dengan melawat ke pantai yang banyak di kawasan ini dan tempat menarik yang lain seperti Pantai Bagan Lalang, Tanjung Sepat, Pantai Cunang, Pantai Morib, Pantai Kelanang, Kampung Endah, Kuan Wellness Eco Park dan Tanjung Rhu.

Dari Kampung Batu Laut, Mr. Stick ke Tanjung Sepat, sebuah pekan kecil yang terletak di daerah Kuala Langat sekitar 100 km dari Kuala Lumpur. Sekiranya anda berada di AVANI Sepang Gold Coast dan Gold Coast Morib, dua resort terkenal di Sepang, mudah untuk anda ke Pantai Tanjung Sepat yang terkenal dengan beberapa jenis makanan yang enak dan kopi tradisional. Banyak juga bas pelancong keluar masuk ketika Mr. Stick melalui kawasan ini, sempat juga melihat konvoi motosikal pusing-pusing mencari arah tujuan (sesat kot). Tanjung Sepat mendapat namanya dari kedudukan geografinya yang bertanjung, dan sepat dari nama sejenis ikan air tawar.


Dalam perjalanan balik dari Tanjung Sepat, Mr. Stick sempat singgah di pantai Tanjung Rhu. Banyak juga tempat menarik pesisir pantai di Selangor, ini baru beberapa lokasi yang sempat diterjah. Nanti kita ronda-ronda lagi bila keadaan dan masa mengizinkan. Bagi kaki makanan laut dan ingin melihat keindahan pantai sambil menunggang motosikal atau memandu kenderaan, bolehlah sesekali mengambil peluang ini untuk pergi bersama keluarga atau rakan-rakan. Tidak banyak kemudahan awam untuk orang ramai di Tanjung Rhu, hanya ada Kem Bina Negara dan jeti nelayan. Membawa bekalan sendiri amat digalakkan buat pelancong yang datang kesini.

Perjalanan singkat Mr. Stick bergandingan dengan Kawasaki Z900 RS ini tepat pada waktunya. Mr. Stick terasa seperti memasuki era 70-an tapi dengan jentera yang lebih bertenaga, melalui jalan pesisir pantai sambil ditampar lembut angin laut, layan beb!!! Kepuasan menunggang dapat dicapai apabila jentera kita lancar, kesihatan tubuh badan baik, tidak kelam kabut sambil menghayati keindahan perjalanan. Tak perlu beradu kelajuan,  cukup dengan menunggang secara selamat dan yakin. Jadikan tujuan kita adalah untuk selamat pergi dan balik kerana ia adalah untuk kepuasan melayan hobi dan minat, bukannya mencabar keberanian dengan jentera kita semata-mata. Jom kita melancong menghayati keindahan dalam setiap perjalanan dan bersyukur atas nikmat Nya.

GALERI