DRE Safety Academy by DUCATI

“Ramai orang sekarang mampu memiliki motosikal berkuasa tinggi, tetapi adakah mereka mempunyai kemampuan mengendalikannya?” Ini adalah antara ayat yang sering kita dengar mengenai hal ehwal pemilikan sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Kami telah berpeluang menyertai satu kursus tunggangan asas oleh Ducati Riding Experience Safety Academy di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Ia merupakan kursus pertama yang dianjurkan oleh pihak Ducati Malaysia bagi menggalas tanggungjawab untuk memastikan penunggang motor berkuasa tinggi, terutamanya pemilik jentera Ducati, mempunyai pengetahuan asas dalam pengendalian jentera mereka.

Ini adalah kursus peringkat pertama Ducati yang dijalankan di Malaysia di mana kursus sebelum ini telah dijalankan di negara jiran kita, Thailand. Apa yang lebih menarik, kursus ini dikendalikan sendiri oleh 5 orang pelatih dari Malaysia iaitu Haizal Omar, Remon Azrem, Zaid Apandi, Lee Ching Hooi dan Rusydi Razali yang telah mendapat pengiktirafan dari Ducati Asia. Difahamkan kesemua pelatih ini berjaya melepasi ujian dan saringan yang amat ketat dari pihak Ducati Asia.

Kursus ini dijalankan selama satu hari dan kesemua peserta akan menjalani beberapa latihan. Seperti biasa, kelas teori akan dimulakan dahulu bagi memberikan serba sedikit panduan asas seperti kedudukan badan ketika menunggang, cara yang betul memegang hendal untuk memudahkan kawalan klac dan pendikit, dan berbagai lagi. Sesi ini boleh dikatakan membuka mata kebanyakan peserta mengenai apa yang mereka lakukan selama ini. Peserta juga bertukar-tukar pendapat dengan para pelatih bagi mendapatkan kefahaman yang lebih baik.

Sesi latihan praktikal terbahagi kepada 5 bahagian. Peserta diberi pendedahan kepada cara yang betul dalam mengawal pergerakan badan ketika sesi latihan pergerakan membuat nombor 8, mengelak rintangan, mengawal motor di dalam pergerakan bulatan dan ujian brek di kawasan yang berpasir atau licin. Apa yang saya nampak disini, walaupun ada yang sudah agak lama menunggang motosikal berkuasa tinggi, mereka belum tentu boleh mengawal motosikal dengan baik ketika latihan praktikal ini.

Saudara David Lim, Ketua Pemasaran Ducati Malaysia memaklumkan, peringkat kedua DRE Safety Academy sedang dalam penyusunan dan mereka yang sudah melepasi peringkat pertama ini layak untuk ke peringkat kedua. Ketika ini pihak Ducati Malaysia akan terus mempromosikan kursus peringkat pertama ini dan ia terbuka kepada semua. Tidak terhad kepada pemilik Ducati sahaja ye…

Seramai 17 orang peserta berjaya melengkapkan kursus DRE Safety Academy Peringkat pertama ini. Bagi mereka diluar sana yang ingin memperbaiki teknik tunggangan motosikal berkuasa tinggi, mereka boleh menghubungi Ducati Malaysia atau nantikan pengumuman mengenai kursus berikutnya.

Walaupun kita merasakan kita sudah lama dan cekap menunggang motosikal berkuasa tinggi, cubalah hadir ke kursus ini untuk membuat ulangkaji.

Sila “like” & “share” Facebook ENJIN DOTcom & “follow” kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai “see first” di FB anda!

#dre #ducatiridingexperience #ducati #safetyacademy #enjindotcom #ducatipower #backtobasic

GALERI