Ducati Multistrada 950

Ada ketikanya untuk memahirkan diri menunggang “Adventure Bike” memerlukan masa yang agak lama. Ada juga ketika membuat pilihan, terlalu banyak perkara yang menjadi tanda tanya tentang karektor motosikal, sesuai atau tidak dengan keupayaan kita menunggangnya (bergantung kepada sesetengah orang) dan bermacam-macam lagi.

Kali ini admin berpeluang untuk menunggang uji sebuah “Adventure Bike” dari Ducati iaitu Multistrada 950. Pertama kali admin melihat Ducati Multistrada 950 ini, ia nampak sungguh “kacak” dan kemas. Yelah, produk dari Itali ni selalunya bukan sembarangan-orang yang kata begitu. Tapi kalau hati dah suka, layankan sahaja minat anda.

Ok, mari kita tengok kembali Ducati Multistrada 950 ini. “My First, My Last, My Everything” adalah slogan Ducati bagi model ini. Agak mendalam bayangannya. Multistrada 950 boleh dikatakan model yang terkecil dalam keluarga “multibike” Ducati. Apa yang admin nampak, reka bentuknya hampir sama dengan abangnya, Multistrada 1200. Kemas dan menunjukkan ketelitian Ducati dalam penghasilan produk mereka.

Jom, sekarang masa untuk kita bersiar-siar. Admin memang dah buat perancangan untuk ber”dating” dengan Ducati Multistrada 950 ni. Jalan jauh sikit rancangnya. “MY FIRST”. Selepas ambil dari “showroom”, admin sudah menempuh lalu lintas yang boleh dikatakan sesak. Mulanya panik juga kerana susuk tubuh admin yang kecil dan untuk mengawal sebuah motosikal yang agak tinggi mesti kena betul-betul “balance”. Tetapi kedudukan admin ketika menunggang Ducati Multistrada 950 ini membuatkan ia sangat mudah untuk dikawal. Amat mudah untuk menyesuaikan diri pada kali pertama menunggangnya. Sebagai contoh, bahagian tangkinya direka bagi membolehkan penunggang merapatkan kaki pada tangki itu secara semulajadi berbanding sesetengah jenama lain yang mempunyai tangki yang agak besar dan membuatkan kedudukan penunggang yang tidak “bersekali” dengan motosikal itu. Kedudukan hendal yang agak tinggi juga membantu memudahkan penunggang mengawalnya. Tak rasa seperti mengawal sebuah motor yang agak besar. Mencelah juga mudah, seperti sudah mahir menunggang Ducati Multistrada 950 ini.

Selepas meredah kesesakan lalu lintas dengan aksi “cilok-mencilok”, tetapi dengan penuh berhati-hati, admin sampai ke rumah untuk mempersiapkan diri bagi perjalanan untuk “gathering” yang jauh sikit. Tak sah kalau tak cari tempat makan kerana biasanya destinasi sebegini mesti ada ramai rakan bikers. Kebetulan rakan bikers dari Singapura pun dah merancang untuk perjumpaan sebegini, jadi lebuh raya menjadi tempat ujian seterusnya. Walaupun perjalanan agak jauh, bila menunggang Ducati Multistrada 950 ini, admin rasa kurang cepat rasa penat atau lenguh-lenguh badan. Seperti yang admin maklumkan di awal artikel ini, kedudukan menunggang Ducati Multistrada 950 ini secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan kepada penunggangnya bagi perjalanan jarak jauh. Tetapi apa yang admin suka dengan Ducati Multistrada 950 ialah respon enjinnya. Enjin Testastretta Ducati dengan konfigurasi L-Twin, 4 injap setiap silinder, menghasilkan 113hp (83kw) yang amat mengasyikkan. Deruman yang dihasilkan membuatkan admin gemar untuk memecut setiap kali selepas memperlahankan kelajuan Ducati Multistrada 950 ini. Senyum je bila memecut meninggalkan kenderaan lain. Oh ye, sesekali admin akan menukar “riding mode” mengikut kesesuaian keadaan. Ducati Multistrada 950 ini mempunyai 4 “riding mode” – “touring”, “sports”, “urban” dan “enduro”. Ketika di lebuh raya dalam kelajuan tinggi, penunggang motosikal boleh cepat merasa letih kerana badan menahan angin yang kuat. Perkara ini dapat dikurangkan bila menunggang Ducati Multistrada 950 kerana penghadang angin (visor) hadapannya boleh dilaras secara manual dengan sebelah tangan sahaja bagi memberikan ciri aerodinamik yang terbaik. Mudah. Terlalu seronok menunggangnya, sedar-sedar je dah sampai di tempat berkumpul untuk makan tengah hari bersama rakan bikers dari Singapura. Masa sampai tu, rakan-rakan admin dari sana macam tak sabar menerkam untuk melihat si kuda merah model baharu ni dari dekat. Seksi bang Ducati ni. Ok, apa-apa pun isi perut dulu, lepas tu boleh sembang pasal motor. Nampak ketara perbezaan selepas kita duduk di atas motor lain dan kemudian kita duduk semula di atas Ducati Multistrada 950 ini. Satu perkataan sahaja yang boleh diungkap. SLIM. Rasa macam bawa motor kecil sahaja kata mereka. Selesai dah satu perkara dengan meracuni mereka. Kalau ada komisen jualan antarabangsa ni mesti admin boleh jadi kaya segera.

Selepas melalui perjalanan jauh dan agak santai, keesokannya admin cuba menunggang Ducati Multistrada 950 ini secara agresif, uji main “koner” katanya. “MY LAST”. Apa lagi, jom kita ke Genting Highland. Laluan Lebuh Raya Karak ni agak terkenal bagi bikers melayan “koner”. Selepas Tol Gombak, kita berada di acara pemanas badan untuk sesi melayan “koner”. Ketika ini Ducati Multistrada 950 tiada masalah langsung. Walaupun sesekali “angle” yang diambil agak sedikit agresif, ia mengikut sahaja semua rentak penunggang. Sampai di Hentian Genting Sempah, admin berhenti seketika untuk memeriksa tayar dan apa-apa yang patut sebelum memulakan pendakian kerana kebanyakan selekoh naik ke Genting Highland agak “tight”. Sampai di puncak, admin duduk sebentar memerhatikan keseluruhan Ducati Multistrada 950 ini. Puas hati dan tiada komen lebih kerana bagi admin yang bersusuk tubuh kecil ni (orang katalah), tiada masalah untuk melayan semua “koner”. Admin boleh merasakan ia ringan dan mudah dikawal, tak terasa seperti menunggang motosikal berkuasa besar pula. Gabungan sistem brek, suspensi, kuasa enjin dan reka bentuknya yang mesra pengguna merupakan resepi utama yang boleh admin katakan, “MY EVERYTHING”.

Kepuasan menunggang memang agenda utama bagi Ducati Multistrada 950. Hampir semua perkara mengenai Ducati Multistrada 950 menepati kriteria sebagai motosikal pilihan dan idaman bagi mereka yang ingin menaik taraf tanpa perlu berfikir panjang tentang apa yang kurang. Malah, dari apa yang admin dimaklumkan dan juga “survey” admin sendiri, kos untuk penyelenggaraan juga agak rendah. Servis berkala pada setiap 15,000 km atau 12 bulan. Jadi apa lagi. Kalau ada yang berkenan, harga Ducati Multistrada 950 ini bermula dari RM81,038.00 sehingga RM 85,755.00 dan ia hadir dengan 2 warna utama, Ducati Red dan juga Star White Silk.

Sila like & share Facebook ENJIN DOTcom follow kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai “see first” di FB anda!

GALERI