Proton SUV X70 Baharu

Segmen kenderaan SUV semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia ketika ini. Kita boleh lihat banyak jenama kenderaan berlumba-lumba dalam mempromosikan model SUV mereka. Begitu juga dengan Proton yang tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan segmen SUV ini walaupun sebelum ini ada juga bisik-bisik, kenapalah Proton tidak memberikan saingan dalam segmen SUV. Akhirnya, semua desas-desus itu terjawab hari ini selepas pihak media dijemput untuk menghadiri majlis pratonton model SUV pertamanya di Pusat Reka Bentuk Proton, Shah Alam.

Proton SUV baharu ini merupakan hasil usaha kumpulan pereka yang diketuai oleh Naib Presiden Eksekutif Rekabentuk Geely, Peter Horbury. Horbury mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam bidang ini dan antara pereka yang disegani.

SUV Proton pertama yang diberi nama PROTON X70 ini merupakan model pertama Proton yang menggunakan sistem abjad angka bagi namanya. Reka bentuk Proton X70 menerapkan elemen-elemen yang terdapat di Malaysia bagi menonjolkan identiti berbeza dari model asal Geely. “Progresif, Harmoni dan Bersemangat” merupakan 3 prinsip falsafah utama rekabentuk X70 ini” ujar Azlan Othman, Ketua Rekabentuk Proton.

Bahagian tepi X70 yang kelihatan energetik ini diilhamkan daripada harimau yang berkuasa dan juga lincah. Begitu juga DRL pada lampu hadapan seakan sepasang mata yang menjadikan SUV ini mudah dikenali. Grill hadapannya pula diilhamkan daripada busur yang melambangkan ketangkasan, kepantasan dan ringan. Unsur-unsur unik “Infinite Weave” yang melambangkan seni ukiran kayu diterapkan pada bahagian gril, bahagian penutup pembesar suara dan juga beberapa bahagian lain di dalam kabinnya bagi menghargai keunikan dan kekayaan persekitaran tradisi dan warisan kita. Tampak sungguh eksklusif dan mewah.

Enjin 1.8 liter TGDI (Turbocharged Gasoline Direct Injection) X70 ini mampu menjana 181 kuasa kuda yang boleh memberi saingan kepada model sekelas dengannya. Jangan mengacahnya di lampu isyarat. Bahagian enjinnya nampak kemas kerana bahagian-bahagian tertentu enjin dilindungi dengan panel plastik. Bahagian tempat duduk dan ruangan dalaman dipadankan dengan balutan kulit Nappa yang membuatkan ruang dalaman nampak mewah. Bahagian paparan panel meter X70 ini menggunakan sistem digital penuh yang boleh diubah grafiknya.

Akhir sekali, apa yang menarik perhatian ialah “Voice Command” yang telah dipertingkatkan bagi memudahkan pemandunya memberi arahan. Admin berpendapat, keseluruhan Proton X70 ini menepati ciri-ciri SUV yang bakal menjadi pilihan rakyat Malaysia dari segi kualiti, teknologi dan aspek keselamatannya.

Mereka yang berminat atau lama memendam rasa pada Proton X70 ini boleh membuat tempahan bermula dari 8 September 2018 dengan bayaran tempahan sebanyak RM1,000.00. Anda boleh memilih daripada empat varian utama iaitu Model Standard 2WD, Executive 2WD, Executive 4WD dan Premium 2WD.

Sila “like” & “share” Facebook ENJIN DOTcom & “follow” kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai “see first” di FB anda!

GALERI