Honda CB1000R – 2018

Admin sudah uji adiknya, CB250R, ringan mudah dibawa serta dikawal. Kali ini abang long dia pula kita cuba iaitu Honda CB1000R. Amacam? Rekabentuk dan gayanya memang nampak mantap, retro moden ‘naked bike’. “Berotot” bak kata orang. Honda CB1000R ni nak kata berat dan ringan pun tak juga tapi kuasanya cukup bertenaga bagi sebuah jentera berkuasa 1000cc yang “togel” ini. Apabila admin duduk atas pelananya, dirasakan posisi tunggangan agak agresif seperti saingannya, Ducati Monster dan Yamaha MT10. Kedudukan bar hendal dan tempat duduk agak menjunam sedikit bagi sebuah ‘naked bike’.


Bercakap tentang ‘neo cafe’ CB1000R ini, ia nampak lebih moden daripada model-model ‘naked bike‘ yang lain di pasaran dan akan menjadi perhatian ramai jika digayakan dengan pemakaian penunggang yang bersesuaian. Semasa admin melalui kawasan tumpuan umum di Kuala Lumpur, ramai juga yang menegur di lampu isyarat ketika lampu merah. Rata-rata tidak pernah melihat Honda CB1000R ini secara berhadapan dan kagum dengan reka bentuknya. Apabila lampu bertukar hijau, ia bergerak pantas ke hadapan seperti seekor singa menerkam. Ketinggian tempat duduknya, 830mm, memberi banyak kelegaan dari tanah dengan kedudukan kaki yang tinggi walaupun ini kadangkala menimbulkan sedikit kebimbangan bagi penunggang berketinggian Asia seperti admin. Tempat duduknya agak nipis yang mungkin akan menjejaskan keselesaan jika ditunggang lama.


Pada admin, warna memainkan peranan penting untuk sesuatu model motosikal itu. Skim warna standard Honda CB1000R ini adalah merah dengan sedikit warna perak memang sedia cantik, tetapi jika ia datang dengan warna yang lebih menyerlah pasti akan menjadi lebih menarik dipandang disamping bunyi ekzosnya yang agak garang walaupun dari ekzos asal.

Terdapat tiga mod kuasa, dan ini adalah kritikal untuk memanfaatkan potensi Honda CB1000R ini. Mod ‘SPORT‘, ‘STANDARD‘ dan ‘RAIN‘ membuatkan motosikal ini sesuai untuk ditunggang dalam apa jua keadaan cuaca. Mod ‘SPORT’ menyediakan tetapan kuasa yang paling menarik bagi mereka yang suka tunggangan agresif. Enjinnya membekalkan kuasa maksima dengan kawalan daya tarikan yang membolehkan roda hadapan terangkat jika pendikit dipulas agresif dan brek enjin yang minimum hingga membolehkan roda belakang mengelungsur. Perjalanan dalam mod ini adalah dengan kuasa penuh enjin dalam semua gear dan penunggang harus sentiasa bersedia mengawal pendikitnya. Kawalan kuasa kepada roda belakang dikawal secara elektronik dengan sistem ‘Honda Selectable Torque Control’ (HSTC).

Mod ‘STANDARD’ lebih kepada kuasa enjin Honda CB1000R yang terkawal dan ia melakukan perkara-perkara yang sedikit lembut ketika menunggang. Pada RPM rendah dalam gear yang lebih rendah, tindak balas pendikitnya berbeza daripada mod ‘SPORT’ tetapi masih boleh terasa sedikit “menarik”, terutamanya dalam gear pertama dan kedua. Sekiranya penunggang bersedia untuk menunggang dengan kuasa yang lebih lancar, mod ‘STANDARD’ akan memberikan tunggangan yang terkawal.

Mod ‘RAIN’ sangat membantu sebenarnya dan tidak boleh diambil mudah. Tidak semata-mata untuk digunakan dalam keadaan hujan, ia sebenarnya sangat berguna dan sempurna untuk tunggangan dalam bandar. Ia memberi kuasa yang paling minima daripada ketiga-tiga mod tunggangan CB1000R, dengan penghantaran kuasa yang paling lembut. Ia adalah cara yang baik untuk penunggang baru menyusuri jalan berbukit, kerana pendikit yang lebih mudah dikawal dan kurang risiko. Di bandar, mod ‘RAIN’ adalah mod tunggangan yang sesuai untuk dipilih terutamanya apabila melalui lorong sempit dan dalam kesesakan lalu lintas.

Enjin empat silinder DOHC 2018 CB1000R adalah berasal daripada Honda Fireblade CBR1000RR 2006 tetapi telah dibina semula untuk memberikan peningkatan kuasa dan tork, 107kW pada 10,500rpm dan 104Nm pada 8,250 rpm berbanding dengan model CB1000 lama, 92kW pada 10,000rpm dan 99Nm pada 7,750rpm. Kuasa setinggi 143bhp ini mempunyai lebih banyak tork untuk dinikmati antara 6,000-8,000RPM dibantu dengan teknologi ‘throttle by wire’ menggantikan kabel pendikit dan sistem ekzos yang ringan, seberat 4.5kg. Kotak gear Honda CB1000R ini dilengkapi dengan ‘slipper clutch’ sebagai bantuan untuk tunggangan yang lebih lancar dengan tangki bahan api isian penuh sebanyak 15 liter. Harga yang ditetapkan iaitu RM74,999 anda akan dapat sebuah motosikal “naked” yang moden dan agresif.

GALERI