Honda CB250R – 2018

Motosikal bersesaran 250cc adalah antara motosikal dalam segmen yang paling mendapat sambutan. Memandangkan lesen B2 adalah lesen motosikal yang dmiliki oleh majoriti penunggang di Malaysia dengan had sesaran motosikal yang boleh ditunggang adalah sehingga 250cc, motosikal dengan sesaran dalam lingkungan ini telah menjadi pilihan utama bagi mereka yang inginkan kuasa dan rekabentuk motosikal yang lebih besar. Antara jenama yang memonopoli pasaran kini adalah Kawasaki Ninja 250 dan Yamaha R25.
Kini admin berpeluang untuk menguji dan melihat keupayaan sebuah lagi saingan dalam pasaran 250cc iaitu Honda CB250R, ‘naked bike’ yang moden. Kebetulan kami dapat menguji bersekali dengan abang longnya, CB1000R yang mempunyai reka bentuk hampir sama. Baiklah, berbalik kepada motosikal CB250R ini, ia agak ringan dan mudah ditunggang serta mudah dikawal. Posisi menunggangnya agak tegak dan sentiasa memudahkan pandangan dalam perjalanan.


Honda CB250R ni amat sesuai bagi mereka yang ingin berulang alik ke tempat kerja pada jarak sederhana jauh atau sesekali di hari minggu melayan perjalanan desa dan selekoh mencabar. Bagi wanita yang mahu berjinak-jinak menunggang, CB250R ini amat sesuai sekali untuk mereka kerana ia ringan dan mudah untuk dikawal. Sewaktu admin ke kawasan tumpuan orang ramai, kebanyakan orang tidak mengenali Honda CB250R kerana reka bentuknya mirip dengan Honda CB1000R lebih-lebih lagi jika diletak beraebelahan. Kemunculan Honda CB250R ini ada tarikannya yang tersendiri. Cuma admin rasa ia terlalu ringan, terutamanya jika ditunggang sendirian. Jika ada pembonceng, ia agak stabil sedikit.

Kita perlu ingat, Honda CB250R ini bukanlah sebuah motosikal ‘sportbike’ yang perlu ditunggang secara agresif. Suspensinya yang lembut dan kuasa enjin di peringkat pertengahan memadai untuk kita menunggang dengan santai. Tiada masalah menyusuri deretan kenderaan yang tersekat di dalam jem pada waktu puncak di Kuala Lumpur. Admin yakin jika kena pada harga dan promosi, Honda CB250R ini pasti akan mendapat lebih sambutan, mungkin dengan tambahan skim warna dan grafik yang lebih menarik dengan fesyen masa kini. Jika dikenakan dengan aksoseri tambahan, kena pula dengan gaya peminat motosikal masa kini mengubah suai jentera masing-masing, ia akan menambah minat bagi sesiapa untuk memilikinya

Honda CB250R ini datang dengan enjin bersesaran 250cc sejukan cecair yang menghasilkan 27.2 hp pada 9,000 rpm dan 23.2 Nm tork pada 8,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan. Berat Honda CB250R boleh mencapai 145 kg dan dilengkapi dengan brek cakera tunggal depan dan belakang dengan ABS dua saluran. Terdapat tiga pilihan warna bagi Honda CB250R ini – Matt Bullet Silver, Grafik Black dan Candy Chromosfer Red.
Meter LCD digital memberi infomasi yang jelas dan penting. Tangkinya bahan apinya boleh menampung 10.1 liter petrol. Semua lampu pada motosikal ini juga adalah daripada unit LED yang jelas dan terang. Harga atas jalan terkini bagi mereka yang berminat dengan Honda CB250R ini di Semenanjung Malaysia bermula daripada RM22,999.00 (tanpa insurans dan cukai jalan).

GALERI