Triumph Tiger 800

Mungkin ada diantara kita yang ingat-ingat lupa dengan motosikal Triumph. Kalau diceritakan disini, memang berbagai sejarah berkaitannya. Dulu-dulu, Triumph memang menjadi kegilaan muda mudi. Sebelum kita teruskan, kita imbau kembali sedikit sejarah Triumph Motorcycles ni. Tak kenal maka tak cinta. Triumph Motorcycles yang diasaskan pada tahun 1902 dimiliki oleh Triumph Engineering UK. Namun, apabila Triumph Engineering UK menghadapi masalah, seorang usahawan dalam bidang hartanah, John Bloor membeli jenama dan hak pengilangan Triumph. Disebabkan keadaan kilang Triumph Motorcycles yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan syarikat motosikal Jepun, Bloor telah membuat pelancaran semula Triumph dengan model Bonneville. Kemudian beliau meneruskan rancangan pembaharuan Triumph dengan membuat lawatan ke Jepun dan menjalinkan satu projek usahasama dengan salah sebuah jenama Jepun yang terkemuka bagi menghasilkan enjin baharu dimana enjin hasik usahasama ini masih digunakan oleh barisan model Triumph Motorcycles sehingga sekarang. Jadi, boleh dikatakan model Triumph mempunyai sedikit DNA model motosikal Jepun tersebut bagi memberikan kemudahan penyelenggaraan yang agak rendah serta tidak membebankan pemilik Triumph. Bermacam-macam dugaan untuk berjaya. Admin kongsi cerita ini sedikit sahaja dulu ye.

Setelah mendapat panggilan untuk menguji model Triumph Tiger 800 XCx, mulalah bermacam-macam perancangan diatur untuk menguji “adventure bike” Triumph ini. Jadi admin mengatur perancangan pertama untuk memulakan perjalanan mengikut lebuh raya dahulu. Sebelum itu, admin perlu membuat sedikit pengubahsuaian untuk kesesuaian diri ini. Almaklumlah, ku sedar diri ini tidak berapa tinggi untuk model Tiger ini. Tiada diskriminasi bagi mereka yang agak rendah kerana tempat duduknya boleh direndahkan dengan mudah.

Ok mari kita mulakan. Perjalanan pertama kita akan melalui lebuh raya menghala ke Selatan. Selepas keluar dari Plaza Tol Kajang, kebiasaannya admin akan membuat sedikit pecutan untuk meninggalkan kenderaan-kenderaan yang juga baru melepasi plaza tol. Kuasa yang terhasil dari enjin 3 silinder Triumph Tiger 800 ini mengkagumkan dimana ia cukup bertenaga bagi sebuah “adventure bike” bersesaran 800cc. Jadi kita maintain cruising dalam kelajuan 160km/jam (jangan diikut kelajuan ini ye). Terasa lancar dengan tempat duduk yang agak lebar dan empuk menjadikan kita selesa menunggangnya. Apabila kita merasakan rintangan angin yang agak kuat, penghadang angin hadapan Triumph Tiger XCx ini boleh dilaraskan dengan mudah. Panel meter TFT yang jelas memaparkan semua maklumat terkini yang boleh dibaca dengan jelas dan mudah pula mempunyai pilihan 6 jenis paparan dan ia berubah dari mod paparan siang kepada malam dan sebaliknya secara automatik. Perjalanan jarak yang agak jauh menyusuri lebuh raya lebih relaks dan tidak memenatkan dengan Triumph Tiger 800 XCx ini. Admin boleh menumpukan perhatian pada keadaan sekeliling dengan lebih mudah. Ini kerana Triumph Tiger 800 XCx ini juga dilengkapi dengan fungsi “auto cruise” yang boleh dikawal daripada kelajuan serendah 60km/jam sehingga 160km/jam. Boleh nampak bikers lain cemburu dengan fungsi Triumph Tiger 800 yang memudahkan ini.

Bagi perjalanan di lebuh raya, admin berpuas hati dengan karektornya. Kini tiba masa admin menyusuri masuk melalui jalan kampung yang berliku. Sastera ni, hahaha. Ok, kali ini admin memilih tetapan “sport mode”. Sebelum terlupa, Triumph Tiger 800 ini mempunyai 5 mode tunggangan iaitu “road”, “rain”, “sport”, “off road” dan yang terbaharu ialah “off road pro”. Tepuk dada tanyalah selera bila nak pilih tetapan yang bersesuaian. Macam biasa, jalan kampung ni keadaan permukaan jalannya bermacam-macam kan. Ia tidak mengecewakan kerana sistem suspensi WP yang ada pada Triumph Tiger 800 XCx ini memberikan tindak balas terbaik di dalam kelasnya. Malah ketika admin melayani selekoh dengan kelajuan yang agak tinggi, ia mudah dikawal. Admin tidak merasakan berat Triumph Tiger 800 XCx ini yang melebihi 205 kg dengan bahan bakar. Penukaran gear sangat lancar malah respon enjin juga lembut dan cekap membuatkan setiap selekoh diambil terasa sungguh puas. Brek Brembo dengan cakera berkembar di bahagian depan dan brek Nissin dengan cakera tunggal di bahagian belakang juga bertindak cemerlang memperlahankan kelajuan Triumph Tiger 800 XCx ini semasa melayan selekoh. “I feel safe and very confident”. Sekarang terasa lapar, kita berhenti makan dahulu sebelum memulakan perjalanan pulang ke bandar.

Dalam ujian terakhir bersama Triumph Tiger 800 XCx ini ialah tunggangan dalam kawasan bandar. Ok, “thumbs up” kerana ia mudah dikawal ketika tunggangan yang perlahan. Sangat stabil. Jadi dalam hati saya tak salah saya katakan yang Triumph Tiger 800 ini sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan harian ke tempat kerja lebih-lebih lagi apabila saya dimaklumkan kos penyelenggaraannya pun agak berpatutan. Harga bagi model Triumph Tiger 800 2018 bermula dari RM54,900 bagi XR, RM65,900 bagi XRx dan RM69,900 bagi XCx (harga tanpa insurans dan cukai jalan).

Sila “like” & “share” Facebook ENJIN DOTcom & “follow” kami di Instagram.
Jangan lupa menetapkan ENJIN DOTcom sebagai “see first” di FB anda!

GALERI