Triumph Street Triple S

Sebut sahaja Triumph, rata-rata orang di Malaysia akan terfikirkan jenama yang amat terkenal semasa zaman ayah-ayah kita dahulu. Triumph kini bukan lagi jenama yang menghasilkan model motosikal rekaan lama yang biasa kita fikirkan. Zaman telah berubah ke arah lebih maju dan moden. Begitu juga dengan model motosikal Triumph yang admin cuba kali ini, Triumph Street Triple S daripada keluarga Street Triple baharu yang direka dengan bentuk ‘naked bike’ atau ‘street fighter’ yang terkenal di U.K. Reka bentuk sebegini amat popular di seluruh dunia kerana ringkas dan mudah dikawal kerana kedudukannya yang selesa menjadikan motosikal dengan rekaan sebegini sebuah jentera yang serba boleh.

Model ‘S’ ini adalah model asas dalam barisan Triumph Street Triple selain daripada model ‘R’ dan ‘RS’. Pada pandangan admin, motosikal ini mempunyai reka bentuk yang agak ‘nakal’, mencabar pandangan untuk menerimanya pada mula. Kedudukan lampu utama yang terbonjol kehadapan, diikuti enjin dan rangka yang terdedah, menyerlahkan karektornya yang tersendiri, tiada pengaruh dari Itali atau Jepun! Motosikal ini sebenarnya padat, tidak terlalu besar dan amat ringan. Bagi penunggang bersusuk tubuh besar dan tinggi, mungkin motosikal ini akan nampak kecil.Tapi jangan terlalu leka kerana kuasa yang terdapat pada Triumph Triple S Ini agak galak juga.

Walaupun tujuan kami di ENJIN DOTcom bukan untuk mengulas secara terperinci dari segi teknikal, sesuai dengan konsep di ENJIN DOTcom iaitu “perjalanan pelancongan dan gaya hidup”, Triumph Street Triple S ini agak selesa untuk bersantai dan bagi yang berjiwa kelajuan pula ia sesekali boleh menggunakannya untuk beraksi di selekoh-selekoh sunyi . Tapi sayang kami tak berpeluang untuk lebih menguji motosikal hebat ini kerana kekangan masa. Jika tidak, tentu dah lepas ke utara pekena pasembor.

ENJIN DOTcom hanya sempat ke Melaka sahaja dengan jentera ini dan kebetulan ketika itu cuaca tidak menentu, kerap hujan. Tak banyak peristiwa boleh dirakam tapi yang bagusnya admin dapat menguji tunggangan di dalam hujan yang tidak mengecewakan dari segi kawalan dan kedudukan menunggang, meyakinkan. Cengkaman brek berfungsi dengan baik, cuma motosikal ini terasa ringan bila mencapai kelajuan tinggi dan perkara yang biasa bagi sebuah motosikal ‘naked’, tamparan angin yang agak kuat.

Bunyi yang terhasil daripada ekzos standard enjin 3 silinder ini agak mengasyikkan juga. Kalau ditukar kepada sistem ekzos ‘aftermarket’, tentu lagi garang. Model-model dari barisan Triumph Street Triple ini jika ditambah dengan aksesori tambahan akan menyerlahkan lagi penampilannya seperti model-model motosikal lain di pasaran. Cuma kekangan buat masa sekarang adalah, model ini asalnya dari Eropah jadi aksesori tambahan untuk jenama ini di pasaran tempatan adalah agak terhad dan sukar. Kuasa dari enjin tiga silinder dengan sejukan cecair 765CC ini adalah diantara ‘mid-range’ terbaik pada masa ini dengan 111 kuasa kuda (83.1kW) pada 11,250 RPM dan tork 73Nm pada 9,100 RPM.

Jika seorang wanita menggunakan Triumph Street Triple, admin yakin ia adalah pilihan yang tepat dengan posisi menunggangnya yang selesa dan ia tidak telalu berat. Agak mudah bagi kaum hawa untuk mengawalnya, terutama ketika berhenti dan mengubah kedudukan motosikal, salah satu pilihan yang terbaik dipasaran. Apa yang admin boleh simpulkan setelah menguji motosikal ini dalam masa yang terhad ini, ia menjanjikan satu pengalaman menunggang yang menarik, terutama motosikal “naked bike” kerana kedudukan menunggangnya yang selesa, ringan dengan kuasa enjin yang bertenaga untuk kita  menunggang ke mana jua destinasi . Hanya hidupkan kunci terus jalan dan tak perlu bersusah payah menolak motosikal ini ketika hendak keluar dari perkarangan rumah sebagaimana motosikal “naked bike” yang berat dan besar.

Harga Triumph Street Triple S bermula daripada RM52,900.00, Street Triple R daripada RM59,900.00 dan Street Triple RS dari RM66,900.00.

GALERI