Triumph Bonneville Bobber

Pada zaman sekarang, fesyen diterapkan bersekali dengan gaya motosikal itu sendiri. Antaranya ialah Triumph Bonneville Bobber yang mempunyai tork yang tinggi ini. Enjin Bonneville bersesaran 1,200CC dengan sejukan cecair menghasilkan 77HP, 20HP kurang daripada varian Thruxton R. Walaupun kuasanya lebih rendah, tork tertingginya terhasil pada kitaran enjin serendah 4,000 RPM dan kuasa puncak pada 6,100 RPM. Apabila kita pulas sahaja pendikit, ia akan memecut dengan segera sehingga anda terasa mudah melewati apa sahaja yang anda sedang pintas. Perkara ini biasa terjadi kepada admin di lampu isyarat apabila dengan mudah meninggalkan kenderaan lain. Lain macam perasaannya bila Triumph Bonneville Bobber ini menerkam kehadapan, laju dan bertenaga.

Antara maklumat yang ditunjukkan di paparan digital kecil di bawah meter kelajuan analognya ialah kawalan cengkaman (traction control) dengan dua mod menunggang iaitu ‘Road’ dan ‘Rain’. Kebetulan waktu petang di sini, cuaca tak menentu dan semasa di Lebuhraya Karak admin menggunakan mod ‘Rain’ bila jalan basah kerana hujan, tindak balas pendikit menjadi lembut dalam mod ini bagi memudahkan kawalan penghantaran kuasa ke tayar belakang sebelum beralih ke mod ‘Road’ bila hujan berhenti dan jalan menjadi kering. Triumph Bonneville Bobber bertindak cemerlang dan admin hanya ternampak gelengan kepala pemandu lain melihat Bobber ini meluncur lancar seolah-olah tiada halangan di hadapannya, bersahaja.


Triumph Bobber Black 9.5 kg lebih berat daripada kembar versi biasanya, 237.5 kg berat kering berbanding 228 kg bagi Bonneville Bobber. Bukan kerana ia berwarna hitam yang menjadikan ia berat. Ini kerana tambahan di bahagian hadapan yang di kemas kini iaitu penyerap hentak dengan diameter 47mm berbanding 41mm bagi Bonneville Bobber, rim hadapan 16 inci diimbangi dengan tayar hadapan yang lebih gemuk, serta cakera brek hadapan berkembar berbanding cakera tunggal bagi Bonneville Bobber.


Menunggang Bobber ini membuatkan anda tidak perlu berfikir tentang penat bersandar dan  berhempas pulas mengawal motosikal setiap kali anda melihat selekoh. Kedudukan menunggang menawarkan tahap keselesaan yang tidak akan menyusahkan anda dengan sedikit capaian kepada bar hendal lurusnya, anda dapat menikmati perjalanan yang aman dan seronok. Tempat duduknya selesa dan mantap walaupun anda duduk selama beberapa jam menunggang. Admin berpendapat ini kerana bentuknya yang rata mengurangkan tekanan semasa menunggang dengan lama.Walaupun nampak ringkas dengan apa yang diperoleh daripada Triumph Bobber ini seperti ABS, ‘traction control’ dan 2 mod menunggang ‘Road’ dan ‘Rain’, terdapat juga fungsi yang memudahkan penunggangnya iaitu ‘cruise control’ yang dikendalikan dengan menggunakan butang tunggal. Tekan sekali untuk masuk ke dalam mod ‘cruise control’ dan sekali lagi untuk menetapkan kelajuan anda. Anda boleh membatalkan fungsi ini dengan menarik brek hadapan sedikit atau memutarkan pendikit seperti biasa. Triumph Bonneville Bobber Black juga dilengkapi dengan lampu hadapan LED.

Secara keseluruhannya, Triumph Bonneville Bobber ini pada pendapat admin adalah sesuatu yang tidak disangka selagi kita tidak mencubanya. Keseronokan menunggang disepanjang perjalanan menjadi lebih bermakna dan dapat dihayati sepenuhnya. Tambahan pula dengan karakter dan imej motosikal ini yang ranggi dan bergaya, anda pasti akan menjadi tumpuan ketika meyusuri jalan raya.
Salah satu model berkualiti daripada Triumph untuk peminat motosikal dengan rekaan klasik, Bobber dengan imej yang penuh bergaya.

GALERI