Apabila mendapat panggilan untuk berkerjasama dengan media automotif ternama Malaysia seperti BH Auto dan Fastlenz TV, kami di ENJIN DOTcom bersyukur kerana usaha ini amat bermakna dan baik sekali sebagai pemangkin untuk kami dikenali lagi sebagai media dunia permotoran terutama sekali bagi segmen automotif pelancongan dan gaya hidup. Apatah lagi, jenama yang akan kami uji terdiri daripada antara jentera utama BMW iaitu BMW S1000R, BMW S1000RR dan BMW S1000XR.

Wakil ENJIN DOTcom, Mr. Stick, diberi tugasan menguji BMW S1000RR 2018 yang terkenal sebagai sebuah jentera “supersport” yang berteknologi tinggi dan berkuasa dalam kelasnya. Model ini pernah diangkat menjadi ikon di kalangan model-model “superbike”. BMW S1000RR adalah sebuah model yang pada mulanya dibina oleh BMW Motorrad untuk bersaing dalam Kejohanan Superbike Dunia 2009. Jentera ini telah dikeluarkan secara komersial dan diperkenalkan di Munich pada bulan April 2008.

BMW S1000RR mencetuskan revolusi dalam kategori “supersport” dari mula lagi ia diperkenalkan. Selepas itu, model ini terus menjalani pembangunan oleh BMW, dengan konsep yang diuji yang menjadikannya semakin maju dan padat dengan teknologi terkini.

BMW S1000RR dilengkapi dengan “Dynamic Traction Control” (DTC) sebagai piawaian untuk tunggangan yang dinamik dan tahap keselamatan di atas jalan raya yang lebih baik. Ini menjadikan BMW S1000RR kekal sebagai sebuah jentera pesaing utama di kalangan model “supersport” sama ada di jalan raya atau di litar perlumbaan. Dengan teknologi yang inovatif, ia membolehkan penunggang mengalami sendiri prestasi BMW S1000RR dengan keupayaan dan kejayaan yang lebih besar dari sebelumnya.

Enjin empat silinder dengan sejukan cecair BMW S1000RR ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 146kW (199HP) pada 13,5000RPM, dan tork maksimum 113Nm pada 10,500RPM. Statistik mengkagumkan ini dapat dirasakan setiap kali menunggangnya. Bagi jentera yang berada pada tahap prestasi seperti ini, Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) yang hadir secara standard pada model ini dapat memastikan keselamatan berada di tahap yang terbaik. Banyak ciri pada BMW S1000RR membolehkan penunggang mengalami prestasi jentera ini dengan lebih menyeluruh dan memberi pengalaman tunggangan yang lebih baik dalam semua situasi. Terdapat tiga mod tunggangan iaitu “Rain”, “Sport”dan “Race” pada BMW S1000RR bagi memastikan keselarasan yang optimum terhadap pendikit elektronik, ABS dan ASC, walaupun dalam keadaan tunggangan yang sentiasa berubah. Panel instrumen beresolusi tinggi, memberikan paparan jelas dan mudah dibaca.

Menunggang sebuah model “supersport” biasanya akan membuat penungang merasa cepat letih jika ditunggang secara berterusan kerana kedudukan menunggangnya yang membongkok dan agresif. Walaupun mungkin tidak selesa seperti sebuah motosikal kembara, BMW S1000RR ini sungguh mudah dan mengasyikkan ketika diuji sehingga Mr. Stick kita tak sedar terlajak hingga ke Temerloh, Pahang. Tindak balas pendikit amat memberangsangkan. Lembut, tetapi harus sentiasa berhati-hati kerana dalam kelembutan itu ia boleh menjadi sangat responsif sehingga meter kelajuan melebihi had laju kebangsaan dengan pantas. Sistem “quickshift” pada BMW S1000RR ini sememangnya terbaik dan mengujakan naluri seorang penunggang berjiwa kelajuan. Laluan Lebuhraya Karak pergi dan balik tak perlu dilayan dengan perasaan was-was lagi. Setiap selekoh dengan mudah dilayani, kiri dan kanan. Sepanjang perjalanan di Lebuhraya Karak, kita boleh menuju ke tempat makan yang popular. Cakap sahaja, dari Lemang To’Ki ke masak lemak ikan patin. Semua ini menjadi alasan dan dorongan buat “bikers” kita teruja setiap minggu. Menunggang BMW S1000RR ini juga tidak terlepas daripada dorongan-dorongan lebuhraya terkenal ini.

Menunggang di dalam bandar yang sibuk dengan trafik yang sesak memang amat memilukan bagi sebuah motosikal supersport tetapi bagi BMW S1000RR, ia sungguh mudah dan ringan. Ini terbukti apabila Mr. Stick dilihat bersahaja di dalam kesesakan jalan raya (biar pun dah berpeluh-peluh sebenarnya sebab panas). Dinasihatkan supaya jangan berseluar pendek dan memakai kasut biasa sahaja semasa menunggang BMW S1000RR ini kerana haba yang terhasil dari enjinnya boleh merentungkan kaki kita.

Dengan harga yang ditawarkan iaitu RM106,900 membuatkan ramai peminat motosikal terutama BMW S1000RR ini tak tenteram jiwa dan raga. Dengar khabar ia juga antara model “supersport” kegemaran wanita diluar sana. Ini terbukti pada salah seorang rakan media kami kerana apabila beliau membawa pulang jentera BMW S1000RR ini, isteri tercinta terus ingin bergambar bersama. Amat besar pengaruhnya!

GALERI